Datang dari ketua negara
Membanteras rasuah dan cara membasminya mesti datang dari ketua negara. Contoh teladan yang terpancar dari ketua negara terutama dalam konteks semangat menentang rasuah akan turun ke bawah.
Akhlak baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam mengamalkan cara hidup sederhana, melawan nepotisma, dan juga membanteras rasuah cuba diikuti oleh sahabat muttaqeen.
Selepas Perang Dunia Kedua, kemunculan negara-negara Eropah Barat dalam kejayaan revolosi industri meletakkan negara-negara berkenaan tergolong sebagai negara maju. Jika usaha pembanterasan rasuah diukur dari sudut fizikal kebendaan semata-mata, maka negara-negara Eropah Barat ini dianggap berjaya.
Ketirisan kewangan dalam menguruskan pembangunan negara dapat diminimakan. Wang negara dapat dibelanjakan mengikut nilai projek yang diumumkan oleh kementerian kewangan. Oleh itu kemajuan negara dapat diselaraskan dengen pendapatan negara.
Tidak cukup setakat azam
Di Malaysia usaha membanteras rasuah masih jauh dari tahap kejayaan. Dr Mahathir Mohamad di awal pemerintahannya dilihat amat berazam untuk membasmi rasuah hingga ke akar umbi. Namun apa yang berlaku, di penghujung era pemerintahan Dr Mahathir indeks rasuah berada pada tahap yabg memalukan mengikut kajian badan antarabangsa.
Saya yakin indeks rasuah di bawah kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, atau siapa sahaja yang menerajui Malaysia, tidak akan mengalami perubahan. Walaupun undang-undang dipertingkat untuk mengawal rasuah dan suruhanjaya rasuah dibentuk untuk membanteras jenayah ini, ia tidak akan berjaya selagi perkara asas penyebab kepada rasuah tidak dibasmi.
Amalan oleh kerajaan BN atau mana-mana kerajaan yang berkuasa, selagi asas nepotisma dan pilih kasih tidak dihapuskan, selagi itulah indeks rasuah tidak dapat dikurangkan. Suruhanjaya atau agensi penguatkuasa undang-undang mencegah rasuah hanya menjadi kosmetik semata-mata.
Kenapa ribuan juta ringgit terpaksa disuntik untuk menyelamatkan Bank Bumiputra? Kenapa lebih RM40 juta wang PPRT lesap? Kenapa banyak projek kerajaan tergendala dan peruntukan tambahan terpaksa dikeluarkan untuk menyiapkan projek tergendala itu? Terlalu banyak contoh projek yang boleh dipaparkan di sini.
Selagi kerajaan mengamalkan konsep "you know who, bukan you know how", selagi itulah rasuah tidak dapat dibenteras. Misalnya, untuk mendapatkan projek kecil pun pemohonnya mesti ahli Umno; nak dapat bantuan Tekun pun mesti menjadi ahli Umno. Selepas mendapat projek besar, disyaratkan pula mesti "sedekah" ke dalam tabung Umno.
Nilai profesional seseorang tidak berguna langsung kepada kerajaan BN. Selagi amalan seperti di atas diamalkan oleh kerajaan BN selagi itulah suara riuh-rendah kerajaan Abdullah Ahmad Badawi mahu membasmi amalan rasuah hanya ibarat "burung berkicau di waktu pagi, matahari terang hilanglah suaranya".
Kerajaan baru Pakatan Rakyat akan membuat ulangan kesilapan yang sama apabila berkuasa nanti di peringkat pusat, selagi akar umbi rasuah itu tidak ditangani.
Ketua negara mesti memulakan azam baru membasmi rasuah. Beliau mesti bersih dan dilihat bersih. Saya melihat tidak ada seorang pun pemimpin kerajaan BN yang mampu membuat pembaharuan membanteras rasuah, melainkan muncul seseorang yang belum muncul.
Sumber: Harakah 15 Disember 2008
No comments:
Post a Comment