Saturday, November 29, 2008

FORUM RAKYAT

PEMGUMUMAN


FORUM RAKYAT


Tarikh: 1 Disember 2008

Hari: Isnin

Masa: 8 Malam

Tempat: Auditorium Bar Council,
Leboh Pasar Besar,
Kuala Lumpur.

AHLI PANEL

1) Sdr. Hishamuddin Rais (Aktivis Reformasi, Kolumnis)
2) Tn Hj. Mohammad Sabu (Naib Presiden PAS)
3) Sdri. Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh)
4) Raja Petra Kamarudin (Editor Malaysia Today)
5) T S Thenintharan (Indian Opressed Group)
6) Syed Ibrahim (Gerakan Mansuhkan ISA)
7) Faridzun Nasaruddin (Jurucakap Mahasiswa Mansuhkan ISA dan AUKU)

Anjuran: Cakap Rakyat Group.


DATANGLAH BERAMAI-RAMAI.

BABI OH BABI (2)

Panjang pula cerita babi ini. Sedih sekali sahabatku Alwi memikirkannya walaupun nak operate mata pada esok hari. Saudara Aris Awang, aktivis Pas Kedah yang tak minat bertanding pilihan raya di Kedah Mac lalu melaporkan kesah bermulanya isu babi ini seperti dalam blognya. Klik di sini.

Rasanya projek ladang moden babi di Kedah tak jadi dengan syarat rakyat Kedah menunjukkan protesnya. Itulah pentingnya kuasa rakyat. Bagaimana pun usaha mengatasi ladang babi yang bersepah-sepah perlu dibuat. Jika tidak, terjadilah seperti di Negeri Sembilan. Ketika menjadi ketua Pemuda Negeri Sembilan dulu sedap betul saya menghentam Isa Samad kerana rupa-rupanya negeriku pengekspot babi terbesar. Ingatkan Negeri Sembilan pengeluar sayur maman terbesar. Ha ha.

Pandangan Dr Zaini Ujang, Naib Chanselor UTM dan Faizal Ridzuan pun wajar dipertimbangkan.

Yang sedihnya ialah perangai TV3 yang mensensasikan isu babi ini yang sepatutnya dibincang secara ilmiah dan matang untuk menyelesaikannya.

Masih teringat saya lagi akan pandangan Dr Hamirdin Ithnin, pensyarah alam sekitar Universit Malaya di satu seminar anjuran DPP NS semasa isu JE dan babi tercetus dulu yang mengatakan kesan najis babi terhadap air tetap wujud walaupun telah melalui proses pembersihan. Tak tahu pula saya kalau teknologi baru yang hendak dibuat oleh Selangor boleh mengatasi kesan dan bahaya dari najis babi itu.

Apakah kita memerlukan seorang Lee Kuan Yew di Malaysia untuk menyahkan ladang babi di Malaysia sepertimana Lee Kuan Yew berjaya menghapuskan ladang babi di Singapura?


Friday, November 28, 2008

MELAYU TAK BENCI RASUAH?

Kasihan pegawai kerajaan di Malaysia di bawah regim rasuah BN. Orang yang di lantik sebagai pegawai kerajaan oleh SPA sudah tentu ada kelayakan minima dari segi kelulusan profesionalnya dan di lihat berpotensi memikul amanah dalam tugasnya. Malangnya golongan pegawai kerajaan ini masih gagal menyelamatkan wang negara lesap dek sang perasuah. Mereka mungkin baik tak menerima rasuah tetapi mereka gagal mencegah sang penguasanya dari rasuah. Mereka menjadi orang baik kerana tak mahu mengganggu orang lain kerana beriman dengan hadis Melayu ' jangan jaga tepi kain orang'.


Adakah keputusan pilihan raya lalu membayangkan bahawa kaum Cina dan India lebih bersedia menukar kerajaan BN yang rasuah? Jika benar, malang sekali bagi orang Melayu yang berugama Islam yang dijanjikan pahala jika mencegah kemungkaran tetapi tidak mampu berbuat demikian berbanding dengan kaum lain.

Atau adakah kaum Cina lebih peka kepada rasuah berbanding dengan orang Melayu kerana majoriti mereka menjalankan perniagaan dan menjadi pembayar cukai kepada negara. Mereka lebih terasa duit cukainya disapu oleh sang perasuah. Pak Cik dan Mak Felda tidak terasa wangnya hilang, malah kerajaan bagi bonus tambahan lagi kepada mereka sempena hari raya dan bunus di akhir tahun. Omak mertua ese pun boleh tergodo dek eh, wahai Amran oi. Ingatkan Zakaria Khalim sahaja gagal meraih undi peneroka Felda di Dun Gemencheh tetapi wira Felda, Mazlan Aliman pun semacam juga di parlimen Bera. (Dah nasib badan, apo nak buek Zakaria oi. Pehidup le Pas Seremban tu. Jangan dok riuh dengan Umno Seremban. Depa pun belajar dengan Pas Seremban juga tu. Kah kah kah. Kono golak macam Hishamudin Rais tu, baru solosai masalah Seremban agaknya)

Atau mungkinkah orang Melayu mengamalkan Islam versi lain yang mengatakan rasuah tidak tergolong antara dosa besar.

Atau apa ye ......

Thursday, November 27, 2008

MELAYU SAYANG RAJA (2)

Apabila Indonesia merdeka, ia menggunakan sistem demokrasi sebagai asas pemerintahannya. Walaupun ada sebahagian wilayah di Indonesia ada Sultan atau Raja, intitusi ini tidak dikekalkan langsung sebaik sahaja Indonsia merdeka. Sultan atau Raja bolehlah meneruskan warisannya dari satu generasi ke satu generasi tetapi ianya tidak ada apa-apa kuasa dalam struktur kepimpinan politik dan pentadbiran Indonesia. Tiada sebarang imbuhan atau pampasan kepada Sultan dan Raja-Raja Indonesia. Hanya menjadi sejarah jua adanya. Kasihan sungguh nasib raja di Indonesia berbanding di Tanah Melayu.

Sebaliknya di Tanah Melayu, orang Melayu marah dan bangkit menentang Malayan Union kerana Malayan Union akan menghapuskan kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu. Penentangan kepada Malayan Union lebih kearah membela institusi Raja Raja daripada menuntut kemerdekaan dari British. Slogan Umno ketika itu ialah Hidup Melayu. Umno memperlekehkan pertubuhan lain seperti PKMM yang berjuang menuntut kemerdekaan.

Walaupun British bertindak sebagai Penasihat kepada Raja Melayu yang dilihat sebagai pemerintah ketika itu, orang Melayu kira berpuas hati. Hanya golongan kiri dan islamik sahaja yang beria-ia menuntut kemerdekaan. Selepas parti golongan kiri dan islamik diharamkan, barulah Umno mahu menyebut perjuangan kemerdekaan, itu pun British memang sudah bersedia keluar dari negara ini seperti mana penjajah lain juga.

Mengapa orang Melayu mahu mengekalkan Sultan dan Raja walaupun sistem demokrasi sebenarnya memilih dan melantik pemerintah di kalangan rakyat sendiri. Orang Melayu tetap mahu Sultan atau Raja Raja sebagai sebahagian daripada institusi pemerintahan di setiap negeri dalam Tanah Melayu. Mengapa Tanah Melayu tidak meniru model Indonesia?

Itulah betapa sayangnya Melayu kepada Raja atau orang Melayu memang hendak meniru sistem British yang mengekalkan rajanya. Tetapi British ada satu raja sahaja. Kita ada sembilan raja. Apabila Iran dengar kita ada sembilan raja, mereka berkata alangkah sukarnya untuk buat revolusi di Malaysia kerana kita ada sembilan raja. Iran yang yang ada satu raja pun mengambil masa beratus tahun untuk berjaya dalam revolusi, inikan sembilan raja pula.

Sekadar cerita; seorang sahabat saya, Aziz Ahmad di Kuantan alamat IC lamannya dahulu ialah di Istana Kuantan kerana ayahnya staf Istana di Kuantan ketika beliau dilahirkan. Apabila dia bawa kereta melebehi had laju dan polis trafik berjaya menahannya, polis trafik tak jadi menyamannya kerana terpandang alamat IC itu. Bertuahnya beralamat di istana kan. Inikan pula kalau betul-betul berdarah raja. Fasal itulah agaknya orang Melayu memang seronok dapat gelaran Datuk yang dianugerah oleh Sultan atau Raja, termasuklah orang-orang Pas. Hanya Mohamad Sabu sahaja tak teringin Datuk walaupun Guan Eng menawarkan kepadanya.


Wednesday, November 26, 2008

BABI OH BABI

Syok sekali cerita babi ini. Tetapi yang paling syok tulsan Faizal Ridzuan dalam KLpos.com. Saya copy n paste sahaja di posting ini. Malah Saya boldkan untuk mudah Alwi dan Aziz Ahmad membacanya. He he. Gurau aja.

Kisah babi dan cerita 'pendekar babi' Zhū Wùnéng

25 Nov 2008 9:49PM

Oleh Faizal Riduan

DI DALAM Bahasa Melayu, perkataan babi merupakan kata kesat bagi tujuan maki hamun, caci cerca, herdik hina dan gelaran babi kepada seseorang adalah satu gelaran terburuk (peringatan kepada orang yang mengelarkannya jauh lebih buruk!).

Malah dalam sejarah Perang Larut Ketiga, Lee Ah Khun pemimpin kumpulan Ghee Hin dan pasangan mukahnya isteri orang dari kumpulan Han San dihukum dengan disumbat dalam raga bekas isi babi dan dihumban ke dalam lombong tinggal – begitulah sinonimnya babi bagi menunjukan penghinaan yang teramat sangat.

Sedari kecil ibu saya (kacukan Malayu dan Cina) melarang menyebut gelar ‘babi’ kerana akan dianggap bermulut lancap, celupar dan carut – hukuman mandatori mulut akan dikuti atau diciliapikan.

Paling tidak saya akan memanggil babi sebagai khinzir yang dikira lebih sopan – begitu halusnya budi bahasa menjadi seorang Melayu.

Semasa di universiti saya dan rakan Cina (terutama Chow Wah Hon & Loh Lun San) biasa bergurau-senda dengan menyebut babi sebagai bab1 (bab-satu). Tabo malu itu masih kekal sehingga kini.

Babi yang satu masa dahulu menjadi perkataan yang fobia tiba-tiba menjadi begitu obsesi bagi orang Melayu.

Baik di peti TV, laman sesawang (internet), helaian akhbar sampai ke sembang kedai kopi malah di parlimen, Yang Berhormat lulusan Oxford dan lulusan Haji Baitullah menggunakan bahasa berlabel seperti Projek Khinzir Raksaksa (PKR) dan Babi Negara (BN) – babi, babi, babi!

Tiba-tiba orang Melayu mempunyai kegilaan semacam terhadap babi yang jika dianalogikan menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) edisi keempat sebagai gila babi atau sawan babi atau ayan atau epilepsi dalam bahasa perubatan moden iaitu sejenis penyakit saraf (neurologikal) yang menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri dengan anggotanya bergerak menyentak-nyentak.

Tidak semena-mena pula ramai tokoh muncul entah dari mana datangnya sang juara membuat kenyataan tentang babi tanpa hujung pangkal, usul periksa dan letak duduk perkara yang sebenarnya.

Ia lebih parah dan kritikal apabila ditanggapi oleh orang awam yang kurang ilmu dan maklumat menjadikannya lebih sensasi dengan emosi, lebih sandis dengan prejudis. Isu yang sebenar tenggelam lemas dek asakan sempit perkauman yang bertubi-tubi tetapi tidak seperti ‘berisinya ubi’ – kosong.

Kini isu babi berkisar melarat sehingga ke negeri Kedah yang diperintah oleh Dato’ Seri Azizan Abdul Razak dari Parti Islam Semalaysia (PAS) sehingga Tun Mahathir menyifatkan PAS ditungangi oleh DAP yang hanya mempunyai 1 kerusi sahaja dan tidak boleh bersuara sehingga tidak kedengaran tentang buah mulut negara Islam PAS seperti dahulu lagi.

Persoalannya bukankah semasa zaman Tun Mahathir sendiri ‘babi-babi’ ini masih berkeliaran walaupun beliau mengistiharkan Malaysia adalah sebuah negara Islam?

Melihat isu babi dari sudut sempit perkauman sebenarnya sangat tidak adil bahkan jatuh kepada kategori zalim bagi orang Islam.

Kita sewajarnya melihat isu ini mengatasi sempadan agama dan bangsa menjadikan lebih rasional dan profesional.

Mengaitkan babi dengan orang Cina adalah contoh mentaliti kelas bawah sebawah tempurung kelapa, tidak glokal (istilah catchy ciptaan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak) kerana babi juga adalah makanan kegemaran orang Jerman.

Sebenarnya masyarakat Cina bukan melihat babi dari aspek makanan semata-mata tetapi meliputi aspek kepercayaan, budaya dan pandangan hidup mereka.

Contohnya di dalam astrologi Cina, babi (dalam versi Jepun hanya terdapat zodiak babi hutan) adalah salah satu daripada 12 zodiak haiwan iaitu kaedah penilikan nasib pada masa depan berasaskan kalendar Cina dengan sumber astronomi dan falsafah Cina kuno berdasarkan kitaran enam puluh tahun yang bermula semenjak zaman Dinasti Shang.

Dalam kebudayaan mereka pula, babi dikaitkan dengan kesuburan dan kejantanan (sekarang baru saya tahu mengapa orang Cina sungguh berani) malah anak yang lahir pada tahun tersebut dianggap amat bertuah kerana menjadi seorang yang periang dan jujur.

Epik Cina yang terkenal, Journey to the West juga mengandungi watak hero babi yang dikenali sebagai Zhū Wùnéng.

Satu perkara yang ramai orang Islam tidak tahu bahawa mendiang Tan Sri Loh Boon Siew (lebih dikenali sebagai 'Mr Honda') yang merupakan pengasas Boon Siew Honda yang juga jutawan dari Pulau Pinang menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Fujian, China dengan mengutip najis babi untuk dijual sebagai bahan bakar.

Ironinya, jika anda tidak boleh memandang kepada seekor babi sebagai makhluk tuhan, berilah orang lain (tentunya orang bukan Islam) memandangnya dari sudut positif walau hanya dengan najisnya!

Pengharaman babi sebagaimana jelas dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 3 dan Surah Al-An'am ayat 145 sebenarnya bukan hanya sensitiviti mutlak kepada umat Islam sahaja.

Bahkan agama Kristian dan Yahudi juga menjauhinya sebagaimana dalam larangan Book of Leviticus, Chapter 11, Verse 7& 8, Book of Deuteronomy, Chapter 14, Verses 7 & 8, Book of Isaiah, Chapter 65, Verses 2 to 4, dan Chapter 66, Verse 17.

Adapun kefobiaan terhadap babi lebih kepada amalan spiritual seperti balasan dosa yang dilakukan di dunia.

Dalam kepercayaan animisme seperti amalan suku Nias di kepulauan barat Sumatera, roh si mati boleh memasuki tubuh babi dan dipercayai akan menuntut bela ke atas orang yang menjadi musuh simati pada masa hidupnya.

Ianya meyerupai kepercayaan kelahiran semula dalam agama Hindu dan Buddha.

Bagi orang Islam pula terdapat kepercayaan tentang balasan Allah yang ditunjukan ketika mati apabila mayatnya berkepalakan babi (awas kepada mereka yang mempolitikan isu babi!).

Ramai di kalangan kita yang beragama Islam berbangsa Melayu yang pastinya melebihi majoriti dua pertiga melihat babi sekadar binatang bermuncung panjang dan berhidung leper – jijik, loya dan mual!

Inilah antara warisan larangan Rasullullah yang paling berjaya diharamkan sedangkan larangan lain yang sekutuk atau lebih teruk hukumnya seperti minum arak, main nombor ekor, zina, sumbang mahram, memfitnah, mengumpat dan mengadu-domba menjadi amalan terang-terangan bagi mereka yang Islam pada nama dan Mykad sahaja.

Lebih malang, ada orang Islam yang makan rasuah, makan riba, makan komisen (dengan cara yang tidak sah), makan judi (termasuk main nombor), makan dadah (penagih), makan skim cepat kaya, makan hak orang lain atau makan sebarang hasil haram yang setaraf dengan memakan babi!

Barangkali kerana babi dari sudut sainstifik mempunyai persamaan genetik (DNA) yang hampir serupa dengan manusia (tidak hairan mengapa ada yang berperangai seperti b*b* – maaf!).

Malah jantung babi pernah digunakan sebagai ganti jantung manusia yang sakit tenat sementara menanti penderma yang sesuai.

Persamaan genetik ini memungkinkan berlaku penularan penyakit antara spesies (cross spesies) yang kesannya kehilangan ketahanan badan bagi melawan penyakit baru.

Dalam kes virus Nipah, penyelesaiannya hanya dua pilihan sama ada menghapuskan manusia berhampiran babi atau menghapuskan babi berhampiran manusia.

Hasilnya, kesemua babi dalam kawasan tersebut dihapuskan sama sekali dari muka bumi bukan kerana azalinya berspesiskan babi sebaliknya demi kemashalatan dan keselamatan manusia sekeliling.

Rasanya semua orang Islam sekalipun tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam subjek Pendidikan Islam, sedia maklum hukum haram babi (bukan sekadar memakannya tetapi juga melibatkan diri dari sebarang hasil daripadanya seperti bekerja, mengambil upah atau berniaga termasuk atas nama membawa masuk teknologi dari Jerman!).

Tetapi jangan lupa sebenarnya ia terpakai hanya pada umat manusia Islam sahaja dengan dua keadaan iaitu haram bagi umat Islam dan haram juga bagi umat Islam mengharamkan sesuatu yang halal bagi kaum lain (pengecualian dalam hal darurat).

Kita lebih tahu babi adalah sejenis najis berat mughallazah yang boleh disucikan. Tetapi yang sebenarnya dituntut dalam Islam ialah samak dan thaharah kerana terkena najis dan bukan kerana dosa.

Bagaimana pula dengan penyakit seketul hati yang penuh prasangka dan prejudis hingga hilang timbang rasa ihsan dan adil, kemudian mengotorkan hubungan perpaduan antara kaum yang menjadi asas terpenting dalam Islam dengan matlamat yang lebih besar demi pembinaan sebuah negara bangsa yang harmoni, rukun dan aman damai?

* Isu babi di Kedah mengulangi sejarah polemik perkauman isu babi di Selangor. Saya lihat isu ini telah dipolitikan. Orang Islam kurang sedar mengenai falsafah di sebalik babi dalam kepercayaan masyarakat cina. Artikel ini adalah sebuah penulsian ilmiah. Sudah lama saya siapkan namun belum pernah diterbitkan. - Penulis



MELAYU SAYANG RAJA

Orang Melayu Malaysia sayang betul kepada raja. Bukan Rajagopal tau tetapi Raja atau Sultan. Semua negeri di Semenanjung ada Raja atau Sultan. Negeri yang tak ada Raja dilantiknya Yang Di Pertua Negeri seolah-olah macam Raja juga. Bila PR memerintah di lima negeri, Umno dan PERKASA pun sibuk nak mempertahankan kedaulatan dan hak Raja-Raja Melayu. Macamlah PR nak buang Raja Melayu.

Selepas BN kalah di lima negeri, barulah depa nak tunjukan bahawa mereka taat setia dan berkorban kepada Raja. Sebenarnya selama ini BN yang derhaka kepada Raja. Sebelum pindaan perlembagaan dahulu, Yang Di Pertuan Agung (YDA) merupakan sebahagian dari institusi Parlimen yang bergigi. Sebelum ini, sesuatu rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara hanya boleh menjadi undang-undang selepas sahaja Yang Di Pertuan Agung meluluskannya. Tetapi selepas lulusnya pindaan tersebut, kuasa kelulusan YDA sudah tidak diperlukan lagi. YDA hanya sebagai simbol sahaja. Jika kuasa YDA masih ada lagi, rakyat dapat mengadu kepada YDA jika parlimen tidak menghiraukan aspirasi rakyat. Siapakah yang menjahanamkan kuasa YDA itu. Bukankah Umno/BN?

Ketika pindaan itu dilakukan, tak dengar pula nama PERKASA pun. Yang sibuk pertahankan kuasa YDA masa itu ialah Pas. Pas memanglah akan tentang apa yang dibuat oleh Umno. Pas nak tunjukkan bahawa dia juga sayangkan Raja-Raja Melayu. Ha ha.


Tuesday, November 25, 2008

MENGAPA TIADA KEMASUKAN ISLAM BERAMAI-RAMAI DI MALAYSIA?

Nabi Muhammad (s.a.w) dan sahabat memulakan perjuangan Islam dari zero sehingga akhirnya berjaya menubuhkan negara islam di Madinah. Kemudiannya seluruh penduduk disekeliling Madinah memasuki Islam beramai-ramai walaupun ianya bukan dipaksakan kerana negara yang dikuasai oleh islam mempunyai pilihan membayar cukai jizyah sahaja. Mengapa mudahnya penganut lain memeluk islam ketika itu?

Jika soal akidah menyebabkan mereka memeluk islam, tentulah mengambil masa untuk meyakinkannya. Faktor yang paling kuat yang menyebabkan mereka memeluk islam ketika itu ialah kerana mereka kagum dengan akhlak pemimpin Islam yang begitu zuhud kehidupannya dan sekaligus menegakkan keadilan dalam pemerintahnya. Mereka dapat membezakan kezaliman, kemewahan dan pembaziran yang dilakukan oleh raja-raja mereka sebelum Islam datang kepada mereka. Maka mereka membuat keputusan bahawa ugama ini membawa akidah yang benar kerana manusia yang dilahirkan begitu luar biasa wataknya.


Mengapa bukan Islam di Malaysia selepas lebih 50 tahun berkawan dengan kaum Melayu yang berugama Islam masih belum mahu menganut Islam beramai-ramai. Mereka belum merasa keadilan Islam, mereka masih terasa diancam keselamatannya, mereka masih dianggap warga negara kelas dua, mereka dianggap pendatang yang mengancam peribumi, mereka nampak akhlak pemerintah yang korup, mereka nampak pemimpin Melayu yang rasuah dan mereka nampak pemimpin Melayu yang membolot harta secara tak betul. Maka mereka tak dapat melihat Islam yang indah, Islam yang sempurna dan sekaligus tidak dapat merasakan Islam ugama yang benar lantaran perangai pemimpin Islam di negara ini.

Siapakah yang bertanggung jawab dalam soal ini.

Anda jawablah sendiri.




Monday, November 24, 2008

UBAT PERCUMA

Pengamal perubatan alami atau herbalisme, bolehlah mendapat ubat percuma dengan klik di sini.

BAHASA MELAYU DI PAPAN TANDA SAHAJA KAH?

Hebat sekali pejuang Bahasa Melayu bersuara dalam kes papan tanda jalan di Pulau Pinang. Kalau betul langsung tak mahu kompromi dengan tulisan lain selain dari Bahasa Melayu sahaja di papan tanda, kira bagus juga semangat itu. Eloklah diperluaskan semangat itu ke arena yang lain pula.

Di IPT jangan lagi gunakan apa-apa bahasa kecuali Bahasa Melayu sahaja.

Di TV jangan ada lagi filem selain menggunakan Bahasa Melayu, macam Indonesia.

Menteri-menteri jangan mengada-ngada berucap dalam Bahasa Inggeris. Guna Bahasa Melayu sahaja.

Di kapal terbang MAS dan Air Asia kerana ianya milik Malaysia jangan sesekali anak kapalnya membuat pengumuman selain dari Bahasa Melayu sahaja

Laporan tahunan syarikat tersenarai di BSKL jangan guna selain dari Bahasa Melayu sahaja.

Setakat berjuang untuk papan tanda sahaja buat apa.

Anda lihat remaja India dan China di Universiti kini sudah tak reti dan tak fasih Bahasa Melayu. Malah ada yang langsung tak rasa bersalah tak tahu berbahasa Melayu. Ini semua gara-gara kerajaan tak menekankan bersungguh-sungguh Bahasa Melayu dalam semua aspek pembelajaran, pentadbiran, perniagaan dan perundangan sejak sedekad yang lalu. Dalam parlimen, tengoklah betapa teruknya ucapan dalam Bahasa Melayu oleh MP bukan Melayu. Dan jangan hairan jika ada remaja Melayu rasa haprak jika bercakap dalam Bahasa Melayu.


Itulah selepas merdeka 51 tahun.

Berjuang Bahasa Melayu jangan setakat di papan tanda sahaja.

Sunday, November 23, 2008

DARI GEMENCHEH KE PERAK

Posting ini saya buat khas untuk rakan-rakan Gemencheh khususnya Malim Alwi dan Amran Janggut. Kerajaan Perak buat seminar macamana nak perkukuhkan kerajaannya. Jangan tak percaya siapa yang bentang papernya. Sila lihat nama pembentang dan tajuk papernya di sini.

Tengok betul-betul. Tajuk paper pun kita tahu siapa yang paling layak bercakap hal itu. Kalau dia tak dapat hadir seminar tu, anta berdua pun boleh gantikan dirinya. Anta berdua sudah hadam tajuk tu selama berpuluh tahun berkawan dengan pembentang paper tu kan. Ha ha, jangan perasan , saja bergurau di malam minggu.

Saturday, November 22, 2008

LUJNAH IT DIPIMPIN BUKAN PROFESIONAL


Antara perkara yang kelakar dalam Pas Pusat ialah Pengerusi Lujnah ITnya bukan dari tokoh profesional yang terdidik dalam disiplin IT. Pengerusinya ialah Uztaz Abdul Ghani Shamsudin. Beliau sebenarnya lebih dikenali sebagai tokoh tarbiyyah. Bekas pimpinan Abim dan Persatuan Ulamak ini akhirnya memilih Pas sebagai wadah perjuangan selepas bersara sebagai pensyarah di Universiti Malaya.

Beliau merupakah tokoh Abim yang pertama saya ikuti ucapannya ketika saya di Tingkatan Lima sempena penubuhan Abim Tampin bertempat di Sekolah Menengah Agama Repah, Tampin pada tahun akhir tahun 1976. Masih teringat saya antara intipati ucapannya; cinta manusia tidak kekal dan sekejap sahaja, tanah pusara isteri masih basah lagi, sang suami sudah mula mencari penggantinya. Kau mesti suka Zek kalau dengar ceramah ini. Ha ha.

Beliau memang berminat dengan IT. Difahamkan semasa beliau memimpin Persatuan Ulama, pertubuhan ini digarap dengan IT dalam media dakwahnya.

Kalau beliau berkhutbah jumaat, bersedialah untuk lambat makan tengahari. Panjang khutbahnya. Ha ha.

Ketika Anwar Ibrahim masuk Umno pada 1982 dan bertanding pilihan raya di Permatang Pauh, Ustaz Ab Ghani beria-ia memujuk Mohamad Sabu supaya jangan lawan Anwar. Tetapi wira Pas ini tetap lawan Anwar. Sekarang Anwar, Mohamad Sabu dan Uztaz Ghani bersama dan bersatu lawan BN. Jangan tak tahu wahai Alwi oi. Itulah kelakarnya sejarah....

Ketika bertugas di Jabatan Kerajaan sekitar tahun 1986-1993 di Kuala lumpur, beliau jarang menghampakan permintaan saya untuk berceramah di surau pejabat kami. Tentu ummphnya.

Saya doakan agar beliau jadi YB pada PRU 13 nanti.

Bukan ini yang saya nak cerita sangat tetapi nak bagitau kepada pimpinan Pas di cawangan dan kawasan supaya ambil semangat Uztaz kita ini supaya memahirkan ilmu asas IT. Jika SMS kedekut, emel percuma malas dan tak mesra dengan internet untuk dapat maklumat segera, nampak gaya lambatlah perjuangan kita menuju sasaran. Kata Saidina Ali, ajarlah anak kamu dengan ilmu masa hadapan. Maaf wahai sahabat-sahabatku.


Friday, November 21, 2008

KOS BAIKI KERETA EXCO LAMA PERAK

Anggota Exco Negeri biasanya menggunakan kereta tidak lebih dari 5 tahun. Maka kos penyelenggaraan sepatutnya rendah dan manasabahlah. Tetapi biasalah kekadang driver, bengkel kereta dan pengeluar LO berpakat menaikkan kos penyelenggaraan. Lihat butiran kos penyelenggaraan seperti yang diumumkan dalam sidang DUN Perak.

Kos selenggara Kereta Exco Perak tempoh 3 tahun (2004-2008)

Setiausaha Kerajaan negeri AFD 11 RM72, 777.12

Penasihat Undang-undang AFD 22 RM45,517.40

Pegawai Kewangan Negeri AFD 33 RM83,045.50

Speaker AFD 999 RM63,324.16

Dato Yik Phooi Hong AFQ 183 RM6,587.47

Dato Ho Chang Weng AFD 66 RM105, 783.99

Dato Ramly Zahary AFD 858 RM48,461.71

Dato G. Rajoo AFD 77 RM86, 925.14

Dato Chang Ko Youn AFD 55 RM86, 005.94

Dato Radzi Manan AFD 88 RM64,655.26

Dato Tan Chin Meng AFD 333 RM102,884.63

Dato Mohd. Saarani AFF 99 RM66, 921.04

Dato Mohd. Zaim AFD 99 RM103,896.03

Kapt. Najmudin AFB 64 RM27,658.60

Dato Siti Salmah AFF 33 RM89,259.40

Dato Zamry AFF 88 RM25,808.89

Jumlah: RM1,079,512.07

Bekas Menteri Besar, Dato Tajol Rosli Mercedes Benz ML 320 AEH 9 RM90,733.07. Tu tak termasuk sebuah lagi kereta Proton Perdana.

Jumlah penyelanggaraan kereta Bekas Menteri Besar sahaja berjumlah RM222,343.26.

Jumlah keseluruhan…RM1,301,855.33

MB KEDAH SUMBANG RM 10,000 SEBULAN

Pemegang jawatan politik kena beritau apa dia buat kerana jawatan politik dipilih oleh rakyat. MB Kedah menyumbang RM 10,000.00 sebulan dari gajinya. Yang hairannya Harakah tak pernah melaporkannya. Sebaliknya Malaysiakini yang melaporkannya di sini.

Thursday, November 20, 2008

KEDAH OH KEDAH

Ketika Pas menang dan memerintah di Kelantan, saya mendengar rungutan Pemuda Pas Terengganu. Mereka tidak puas hati gerak kerja berkaitan dengan pelaksanaan hukum Islam di Kelantan. Mereka mendakwa bahawa mereka sanggup melawan kerajaan Persekutuan jika Kerajaan Malaysia menghalang usaha-usaha kerajaan Terengganu membuat perubahan ke arah islam jika Pas memerintah Terengganu. Biar Terengganu dinyah keluar dari Malaysia atau didakwa oleh Kerajaan Malaysia demi melaksanakan hukum Islam di Terengganu. Tetapi apabila Pas menang dan memerintah Terengganu, anda sendiri pun tahu apa yang terjadi.

Kini isu yang sama berlaku di Kedah. Saya pernah mendengar Pemuda Pas Kedah mengatakan kerajaan Pas Kelantan tidak mampu mengurus pegawai kerajaan Kelantan sehingga melambatkan pembangunan Islam di Kelantan. Kini Pas memerintah Kedah dan apa macam sekarang. Banyak rungutan ahli Pas yang saya dengar, malah ada juga pemimpin Pas di luar Kedah yang merungut sama. Sahabat saya di Kuantan, Aziz Ahmad meminta saya membantai Pas Kedah tetapi saya tak bersedia memberi komen kerana setakat ini hanya mendengar maklumat khabar angin sahaja dari Kedah. Langsung tak berkesempatan berbicara panjang dengan sahabat-sahabat lama di Kedah tu walaupun berjumpa ketika di muktamar lalu. Nak bersembang dengan adinda lama saya Zulkefli Yahya yang kini jadi pegawai urusetia Penerangan pun belum berkesempatan lagi. Buat sementara waktu bacalah keloh kesah Sayuti Omar di sini. Moga Aziz Ahmad puas hati.


PROFESOR KANGKUNG

Kalau ikut Tukar Tiub sedap sahaja dibantainya para ahli akademik sebagai Profesor Kangkung. Digelaknya ber kah kah kah. Beliau boleh kurang beradab dengan Profesor Kangkung tu kerana beliau memang tokoh reformis jalanan sejak dahulu lagi tetapi otaknya memang bergeliga bib. Pengalamannya pun bukan main kepalang. Ketika Revolusi Islam Iran berlaku pada akhir 1978 dan awal 1979, beliau berada di Pakistan dan mengikuti sejarah revolusi tu dari dekat. Dilaporkan oleh sumber yang rapat dengannya, itulah kali pertama dia kagum dengan ulama Islam dan sebagai tak mau lari dari pegangan sosilismenya, maka dia mengatakan pencetus revolusi islam itu ialah Sosialis Sembahyang (solat). Ikut kaulah Hisham oi.

Tetapi Ainon Mohamad taklah sampai hati mengatakan para ahli akademik sebagai Profesor Kangkung. Oleh kerana beliau merupakan tokoh bahasa, tentu sekali bahasanya lebih beradab. Namun ditenyehnya juga akan peranan Kementerian Pendidikan yang menghabiskan berjuta ringgit wang rakyat yang tidak mampu membina sistem pembelajaran yang berjiwa Malaysia. Baca selanjutnya di sini.


Wednesday, November 19, 2008

NABI PEMECAH BELAH PERPADUAN ARAB

Setiap aktivis Harakah Islamiah sudah barang pasti telah menghadamkan buku Petunjuk Sepanjang Jalan tulisan Syed Qutb dan buku Proses Revulusi Islam tulisan Sayyid Abul A'la Maududi. Kedua-dua buku ini menghuraikan secara jelas dan jitu mengapa Rasulullah (s.a.w) menolak pelbagai kaedah yang secara logiknya patut digunakan oleh Rasulullah saw dalam memulakan usaha dakwah di Mekah.

Isu-isu seperti pertelingkahan suku kaum Arab, ekonomi, wanita, dan isu keselamatan dan ancaman Rom dan Parsi di sempadan negara Arab sepatutnya diambil kira oleh Rasulullah s.a.w dalam berdakwah ketika itu tetapi Rasulullah s.a.w mengajak manusia kepada konsep ketauhidan Allah swt yang merupakan syarat asas dalam membina watak manusia yang bakal mengurus dunia ini.

Kalaulah pemimpin Umno berada di kota Mekah ketika itu, sudah pasti Nabi Muhammad s.a.w dikatakan pemecah belah perpaduan kaum Arab dengan membawa satu ajaran baru. Malah pemuka Umno akan marah kepada Nabi Muhammad saw kerana mahu merobah struktur kepimpinan Arab kepada satu nilai yang lain pula. Rasulullah s.a.w juga dilihat cuba merobek akar umbi sistem ekonomi yang dikuasai oleh pedagang kaum Arab.

Nabi Muhammad s.a.w. mengajak manusia kepada satu konsep yang lebih global atau alami dan mengatasi kepentingan bangsanyanya sendiri. Malah selepas beliau membina Madinah, beliau bergerak berperang dan menawan kota Mekah. Ditegaskan Nabi Muhammad memerangi kaumnya sendiri! Ish ish kalau ada Umno ketika itu, sudah pasti Nabi Muhammad dituduhnya bukan sekadar pemecah belah bangsa tetapi pengkhianat bangsa dan negara.

Mengapa Nabi Muhammad s.a.w. tidak langsung menyebut kepentingan dan hak istimewa bangsanya sendiri apabila wilayah Islam telah tersebar luas keseluruh dunia yang mempunyai pelbagai bangsa. Hanya Melayu Malaysia sahaja yang memperjuangkan kepentingan bangsa tetapi kepentingan akidah umatnya dibiarkan sahaja. Malah sistem Islam ditolak. Maka tidak hairanlah Melayu tidak terjumpa jalan atau sistem yang memberi kesejahteraan kepadanya kerana bangsa lebih penting dari Islam itu sendiri.

Elok sangatlah jika anggota Pas membaca semula buku-buku tersebut. Janganlah dalam keghairahan hendak memerintah Malaysia, otak kita tak diisi dengan bahan bacaan yang mencerahkan otak.



Tuesday, November 18, 2008

MAJUKAH DENGAN HAK PERIBUMI?

Keadilan Islam melampaui dan merentasi kepentingan bangsa. Di dalam sistem ekonomi bebas dan politik demokrasi, bangsa yang diberi perlindungan hak peribumi belum tentu ada jaminan akan lebih maju atau lebih berjaya dari bangsa bukan peribumi.

Hak-hak peribumi digambarkan sebagai Tuhan Pelindung agar bangsa peribumi tidak akan ditindas oleh bangsa bukan peribumi. Sebenarnya hak peribumi yang tercatat dalam perlembagaan itu pun sudah dinoda oleh Umno sendiri. Mereka menggunakan alasan hak peribumi, kuota, hak istimewa dan lain-lain lagi sebagai kaedah mengenyangkan kumpulan mereka sendiri dan bukannya untuk benar-benar menolong golongan peribumi yang sepatutnya.

Berapa banyak tanah dianugerahkan dengan harga perimium (10% dari harga pasaran) kepada geng politik Umno yang kemudiannya dijual kepada tauke Cina. Tanyalah apa Rahim Tamby Chik buat di Melaka, Adnan Yakob buat di Pahang dan Isa Samad di Negeri Sembilan.

Berapa banyak tanah balak diluluskan kepada kononnya usahawan Melayu yang kemudiannnya dijual kepada tauke Cina. Geng Melayu untung atas angin. Yang ini Kelantan pun lebih kurang sama dengan negeri lain juga.

Ketika zaman saham hebat, berapa ramai orang Melayu yang dapat pink form dan kemudiannya menjual kepada bukan Melayu.

Berapa ramai Datuk yang menjadi kaya dan jutawan dengan hanya menjual AP kereta sahaja tanpa ada kedai kereta pun.

Berapa ramai geng Umno yang kaya atas angin melalui permit pekerja asing. Tanyalah MP Tajudin itu.

Yang mereka takut hilang hak peribumi sebenarnya ialah kerana takut hilang peluang buat duit cara mudah atau buat duit atas angin.


Saturday, November 15, 2008

BLOG MB PERAK

MB Perak, Datuk Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaludin ada blognya sendiri. Klik di sini.

Dia sudah berblog sejak awal Febuari 2008 sebelum Pilihanraya ke 12 yang lalu. Alangkah baiknya jika beliau boleh mengupdate blognya selalu agar kita dapat mengetahui visi, misi, cabaran, dan keluh kesahnya setiap hari.

Rakyat akan mendokong pemimpinnya yang ikhlas, yang berkorban, yang tidak mementingkan diri, yang mencintai al fuqara, yang membela orang tertindas dan yang tidak sombong dan angkuh.

Di hati kecil saya, terasa manusia bernama Muhammad Nizar ini mampu melaksanakannya. Harap beliau tidak berubah. Oh Allah perkuatkanlah hamba ini.

Friday, November 14, 2008

BUAT APA KE BULAN?

Malayisa Boleh!

KLIA ada

KLCC ada

Formula One ada

Monsun Cup ada

Kilang kereta ada

Kilang Besi Perwaja ada

Naik Bulan pun sudah

Universiti melambak dah

Profesor ramai dah



TETAPI ....... Modul bacaan sekolah rendah ciplak Australia!!!!!!!!!!

Baca kesahnya di sini.


ALLAH, SELAMATKAN KAMI DARI SEGALA KEBANGANGAN!!!!!!

PASARAYA NEGARAKU

Antara tanggung jawab negara ialah menyediakan pekerjaan. Tidak dapat tidak tugas negara ialah "mencipta" pekerjaan baru samada di sektor awam atau swasta. Pertambahan jawatan di sektor awam tidaklah ketara setiap tahun kerana ianya bergantung kepada keperluan semasa yang selari dengan pertambahan penduduk rakyat negara ini.

Antara sektor ekonomi yang menyediakan pekerjaan ialah bidang peruncitan. Lihatlah betapa ramai pelajar lepasan SPM yang bertugas di pasaraya negara ini.

Industri peruncitan di negara ini amat hebat sekali pertumbuhannya sejak 20 tahun terakhir ini. Malangnya ia dikuasai oleh syarikat asing seperti Giant, Tesco, Carefour dan lain-lain lagi. Syarikat ini membeli atau memajak tanah sehingga 30 tahun lamanya. Tuan punya tanah bukan main suka lagi. Maklomlah masyuk! Oleh kerana pasaraya ini memerlukan tanah, maka ia terpaksa berkongsi dengan syarikat tempatan dan biasanya ialah dengan pihak Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri.

Rakyat negara kita pun amat suka membeli belah di pasaraya ini. Semuanya ada kan. Suasana pun terlalu selesa dan semacam pergi melancung atau paling kurang berehat di tempat dingin. Terasa ada kelas pula bershoping di sini. Orang Seremban pun riuh rendah apabila ke SOGO Kuala Lumpur. Ha ha. Mak oi panjang leteran ini, point utama belum masuk lagi oi.

Yang saya nak sebut di sini ialah bisnes menjual keperluan makanan bukanlah satu bisnes yang terlalu canggih sehinggakan memerlukan syarikat asing membuat bisnes di sini. Jika soal modal yang dibangkitkan, itu bukan masalahnya. Kita ada PNB, Petronas dan KWSP yang boleh memodali perniagaan peruncitan yang mega ini. Alangkahnya ruginya wang rakyat kita di bawa keluar oleh syarikat asing ini hanya dek kerana perbelanjaan harian kita yang terlalu mudah diuruskan. Jika memang betul kita tidak ada tenaga manusia yang pakar merancang dan mengurus pasaraya ini, memadailah kita melantik seorang dua sahaja dari luar. Kita sudah ada pelbagai bangunan mega pencakar langit, takkanlah tidak mampu mengurus sebuah bangunan pasaraya. Dah pi bulan pun!

Yang inilah MARA atau mana-mana Agensi Kerajaan lain kena fikir bagaimana hendak melahirkan usahawan pasaraya tempatan yang mampu mengambil alih peranan Tesco dan lain-lain pasaraya milik asing. Itu yang kekadang rasa nak jadi menteri wahai Encik Aziz Bateri oi. Ha ha. Berangan le kita ye.


Wednesday, November 12, 2008

ZAKAT BUKAN ISLAM

Pertama kali saya mendengar hujah membolehkan wang zakat digunakan untuk disumbangkan kepada bukan Islam yang miskin, dilontarkan oleh Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu. Tak silap saya idea itu dikemukakan semasa kuliahnya pada bulan Ramadhan lalu dan dalam satu wawancara dengan akhbar Harakah.

Idea ini disambut baik oleh pemimpin Pas yang lain. Memang ada isu ini dibincangkan dalam kitab-kitab Fiqh oleh ulamak-ulamak besar. Tidak hairanlah jika zakat kepada bukan Islam pernah dilaksanakan ketika zaman kegemilangan Islam dahulu sehinggakan hampir 100% Islam dianuti oleh manusia di Tanah Arab.

Tetapi apabila idea ini cuba dilontar oleh Dr Nasir Hashim, salah seorang ADUN di Selangor, ianya telah menimbulkan reaksi negatif oleh ahli Umno sehinggakan satu demo telah dibuat. Bagi Umno, wang zakat hanya untuk orang Islam sahaja. Mereka tak nampak wang zakat boleh digunakan untuk menarik golongan bukan Islam atau sekurang-kurangnya mereka tidak memusuhi Islam.

Jika pihak gereja menggunakan kekuatan wang untuk kebajikan dan memberi makan kepada insan yang tak bernasib baik sehingga ramai dikalangan mereka sanggup memeluk kristian.

Saya ada pengalaman sendiri dalam hal gerakan gereja membantu orang yang susah termasuk kepada orang Islam sendiri. Ketika zaman gawat 1998, seorang rakan saya di Singapura kehilangan sumber rezeki dan cuba mendapat bantuan dari pejabat zakat Singapura. Dia kecewa kerana pelbagai prosidur yang perlu dipenuhi untuk mendapat duit beras hari itu. Oleh kerana terdesak untuk mendapat sedikit makanan, beliau berjumpa dengan pihak kebajikan gereja Singapura. Tanpa banyak soal, pihak gereja terus memberi sumbangan wang dan meminta alamat rumahnya untuk dihantar stok makanan tambahan lagi. Nasib kawan saya itu masih beriman dan tetap dengan Islamnya. Hanya dia terpaksa menebalkan muka meminta bantuan dari pihak kebajikan gereja.

Kelmarin, sahabat seforex saya, Zuhairi, melaporkan ada seorang insan muslim berjumpa dengan Pusat Khidmat Masyarakat Pas Titiwangsa di Kampong Baru memohon bantuan kesesakan hidup. Dia mengaku telah lama menginap di kuartes gereja dan diberi makan oleh pihak gereja. Kita pun hairan kenapa dia tak berjumpa dengan pejabat zakat atau masjid meminta pertolongan atau dia lebih yakin pihak gereja lebih mudah membantunya tanpa banyak soal. Yang dapat saya rasakan ialah Pusat Zakat kita tidak dapat membentuk imej mesra fuqara - sentiasa bersangka baik dengan orang yang mengaku susah dan perlu diberi pertolongan segera.

Ada banyak lagi kes-kes lain yang tak perlu saya sebutkan di sini. Yang saya nak tegaskan ialah bagaimana kita nak berharap zakat dapat digembelingkan untuk membantu non muslim, jika membantu ummat Islam pun masih belum cemerlang lagi.

Institusi zakat kita masih dibelenggu dengan birokrasi pentadbiran pemerintah dan Raja-Raja Melayu sehingga tak nampak sebagai alat paling ampuh untuk meningkatkan martabat ummah. Kalau tak percaya tanyalah MB kita di negeri Pakatan Rakyat. Apakah satu reformasi baru diperlukan.


Tuesday, November 11, 2008

PKNS BERGELUMANG RASUAH?

Bila MB Selangor begitu sukar melantik Pengurus Besar PKNS di kalangan pegawai kanan berbangsa Melayu, ianya menimbulkan tanda tanya. Tiba-tiba beliau mendedahkan bahawa Khir Toyo pernah mendapat bonus khas RM 100,000 kerana sumbangannya memajukan PKNS. Langsung media pro BN tak berani membangkitkan isu perlantikan Pengurus Besar PKNS lagi.

Dilaporkan PKNS merupakan lubuk wang. Sebagai sebuah institusi negeri yang berkaitan dengan tanah, sudah tentulah projek yang dilaksanakan bernilai berratus juta ringgit dan mungkin berbilion. Jika benar apa yang saya dengar, ianya amat sedih sedih sekali. Hampir semua tenaga pengurusan atasan PKNS terlibat dengan amalan rasuah sehingga MB Selangor sukar mencari calun Pengurus Besar PKNS. Dikatakan BPR sedang menggelidah PKNS. Kalau orang politik kaki rasuah , kita boleh percaya tetapi jika pegawai kerajaan juga kaki rasuah secara melampau, ianya satu tragedi dalam perkhidmatan awam. Sia-sialah slogan bersih, cekap, amanah yang dicetuskan oleh Dr M. Tetapi bukankah ikan busuk dari kepala. PR mesti serius mendedahan rasuah era BN disamping mencetus perubahan dibawah pentadbirannya.


Monday, November 10, 2008

SUK UMNO?

Dilapurkan SUK Perak tidak memberi kerjasama yang sepatutnya kepada MBnya. Ada juga desas desus berita bahawa pegawai di Jabatan Agama Kedah pun macam itu juga. Kalau benar berita ini, prinsip berkecuali pegawai kerjaaan tidak diamalkan seperti sepatutnya. Pegawai perkhidmatan awam hendaklah mendokong dasar dan strategi kerajaan yang sah dilantik oleh rakyat. Jika mereka enggan, mereka wajar diambil tindakan. MB hendaklah menunjukkan kuasa mereka yang sebenarnya.

Jika pegawai awam dilihat pro-Pas pun boleh ditukar 24 jam oleh kerajaan BN dulu, mengapa pegawai kerajaan masa kini di bawah PR yang tidak mematuhi keputusan mesyuarat exco, tidak boleh diambil tindakan. Jangan sampai MB mengadu kepada rakyat dan rakyat mengambil tindakan kepada SUK dengan melontar SUK dari tingkat atas pejabat. Kalau SUK nak berpolitik, letak jawatan dan bertanding lawan MB ketika pilihan raya nanti. Baru anak jantan.




Saturday, November 8, 2008

PARLIMEN WARUNG KOPI

Sepanjang minggu ini kita melihat institusi Parlimen berjalan seperti mesyuarat parti pinggan mangkuk kampong. Apabila bakal PM merangkap Menteri Kewangan dan Speaker Parlimen tidak mahu mematuhi (atau tak reti alias bangang) peraturan Parlimen. Penggulungan bajet merupakan sebahagian peraturan yang perlu berjalan secara betul dan teratur supaya kelulusan bajet itu benar-benar telus dan sah. Ini mahu meluluskan belanjawan negara bukannya belanjawan Umno cawangan.

Berjuta ringgit dibelanjakan untuk menegakkan isntitusi Parlimen. Alangkah malangnya demokrasi Malaysia jika perjalanannya tempang. Jika tanpa lapuran media alternatif kini, perilaku Speaker dan Menteri Kewangan di Parlimen tidak akan diketahui oleh masyarakat luar.

Inilah kerajaan UMNO/BN. Institusi Polis, BPR, Kehakiman sudah dinodainya. Kini Parlimen mau di"warungkopi"kan. Apa lagi yang mahu dipercayai lagi dalam negaraku Malaysia ini. Oh Tuhan!!!

Wednesday, November 5, 2008

PENGURUS MANA TERBAIK

Isu perlantikan Pengurus Besar PKNS mencabar pemikiran kita. Sepatutnya hal ini tidak menjadi isu kerana ramai pegawai berbangsa Cina mengetuai Jabatan dan Agensi Kerajaan pada masa ini. Bila Umno mengatakan PKNS itu badan untuk kepentingan Melayu, itu adalah dusta sama sekali.

PKNS adalah milik negeri. Milik negeri maknanya milik rakyat tanpa mengira bangsa atau agama. Seseorang yang dilantik berkhdmat dengan sektor awam layak naik pangkat tertaklok kepada kebolehan dan syaratnya. Syarat tertulis mudah dipatuhi tetapi syarat tak bertulis yang selalu mengecewakan rakan-rakan kita bukan Melayu yang selalunya tercicir mengetuai Jabatan/Agensi Awam walaupun dari segi meritnya mereka terlalu layak. Kes Pengurus Besar PKNS merupakan satu kes darinya. Oleh kerana Khalid Ibrahim orang yang mementingkan prestasi kerja, maka dia memilih Low Siew Moi itu, tanpa prejudis bangsa.

Otak "Ketuanan Melayu" telah merosakkan asas pemikiran Politikus dan Pentadbir Melayu di Jabatan Perkhidmatan Awam dalam melantik pegawai bukan Melayu sebagai Ketua di Jabatan dan Agensi Kerajaan walaupun mereka terlalu kompeten. Kalau kita yang berugama Islam sendiri tidak mahu menunjukkan keadilan, bagaimana kita mahu mereka yang bukan Islam dapat merasakan keadilan Islam. Dalam hal ini Pas pun semacam termakan dengan hasutan dan kesesatan asobiyyah Umno.

Atas nama Ketuanan Melayu, kita sanggup berkompromi dengan melantik Pengurus Melayu yang tidak cekap, tidak produktif atau mengamalkan pilih kasih dan rasuah berbanding dengan seorang Pengurus Cina yang amanah dan cekap.

Saya sendiri pernah merasai situasi ini semasa bertugas dalam Jabatan Kerajaan dahulu. Pegawai Melayu yang malas tetap naik pangkat lebih dahulu dari Pegawai berbangsa Cina yang rajin. Jika soal amanah, jangan ceritalah. Pegawai bangsa Cina dalam perkhidmatan awam kebanyakannya lebih amanah lagi dari pegawai Melayu/Islam. Ha ha, kenapa macam itu pula. Entahlah, sendiri jawablah.

Oh, mereka kata Pegawai Melayu akan menjaga kepentingan Melayu. Malangnya apa yang terjadi ialah semua tanah Melayu diambil oleh PKNS dan kemudiannya dijual kepada bukan Melayu. Pegawai Melayu yang khianat Melayu. Institusi kerajaan yang diketuai Politikus Melayu yang khianat Melayu. Leboh baik Selangor melantik pegawai China yang akan menjaga tanah negeri untuk kepentingan rakyat keseluruhannya. Syabas Khalid Ibrahim. Azizan Razak di Kedah bila nak buat sesuatu kepada pegawai Melayu yang lenggang kangkung. Isu sampah pun masih belum beres lagi. Wahai Mahfuz Omar, kena hantar sampah ke MPKS lagikah?