Thursday, July 31, 2008

MUZAKARAH: WAL HASIL BALIK ASAL

Kenyataan akhbar TG Hj Abd Hadi petang ini tidak ada yang luar biasa. Apa yang diumumkan merupakan kegiatan yang sedang dilakukan oleh Pas mutakhir ini. Yang kelam kabut ialah apabila umum dilaporkan bahawa ada usaha perundingan kuasa dalam gelap dengan Umno. Itu sahaja. Bukan PKR dan DAP sahaja yang risau akan tindakan itu, malah ahli Pas pun tak setuju.

Muqabalah dan muzakarah secara terang-terang tak siapa yang halang dan marah. Malah Pas sudah melontarkan idea islam dan politiknya dalam parlimen, seminar, ceramah, akhbar, kempen pilihan raya dan dan di kedai kopi. Hanya Umno sahaja yang tak respon. Semua isu yang berlaku dalam negara sentiasa diulas oleh semua aktivis Pas. Umno bukan sahaja tak respon, malah menghalang penerangan Pas itu melalui tindakan kurang ajar polis. Walau pun Umno tak hendak jumpa Pas, sebenarnya setiap malam Mohamad Sabu, Mahfuz dan lain-lain penceramah Pas melontarkan pandangan kepada Umno. Malah media dan polis sentiasa melaporkan kepada pimpinan Umno apa sahaja yang Pas kemukakan kepada rakyat.

Apa yang terjadi dan huru hara sehari dua ini ialah kerana ada perjumpaan sulit yang membincangkan soal kuasa. Yang peliknya perjumpaan itu diistilahkan sebagai muzakarah dan dikatakan mendapat restu Parti. Akhirnya Mahfuz mengatakan sebaliknya.

Analisa Ruhani Ahmad mengenai muzakarah amat menarik untuk dibaca dan difahami.

Tuesday, July 29, 2008

ISLAM UMAR ATAU ISLAM MUAWIYAH PILIHAN PAS

Kini ada 3 MB Pas mentadbir kerajaan negeri. Apakah model islam yang mahu diikuti oleh MB ini. TG Nik Aziz sejak 1990 telah menunjukkan watak sederhananya. Inilah yang menjadi kekuatan sokongan rakyat Kelantan kepada Pas. Walaupun ada cakap-cakap politik balak, imej TG Nik Aziz berjaya menyelamatkan Kelantan sehingga sekarang. Jelas rakyat bersedia susah sama susah dengan pemimpinnya. Jangan rakyat susah, tetapi pemimpinnya dilihat hidup mewah.

Sejarah Islam mencatatkan gaya kepimpnan Umar Ibn Al Khattab dan Umar Abd Aziz sebagai rujukan pemerintahan yang baik. Mereka berdua menentang gabenornya yang hidup mewah dan yang menindas rakyat. Hatta isteri mereka tidak boleh menerima sebarang hadiah. Jika engkau bukan isteri Khalifah, mereka tidak akan memberi sebarang hadiah, itulah intipati kata yang diucapkan oleh kedua-dua khalifah itu kepada isterinya. Ungkapan itu menjadi kebanggaan sejarah sehingga kini. Kekadang terasa sedih pula bila geng syiah mempertikaikan kehebatan Umar ini. Umar bisa berehat di bawah pohon tanpa takut diancam musuh. Baju barunya pun ditanya oleh sang makmum ketika berkhutbah Jumaat. Jika sekarang ada makmum yang bertanya MB yang sedang berkhutbah macam itu, barang tentu makmum itu kena hamun.

Gaji, elaun dan kemudahan MB serta exco cukup lumayan. Semua negeri di Malaysia lebih kurang sama sahaja kadar yang diterimanya. Gaji, elaun dan kemudahan ini sudah cukup bagi mereka untuk tidak mencari sumber lain yang haram. Malah ianya boleh dikurangkan untuk kepentingan rakyat terbanyak. Besar sekali peranan MB untuk berhemat supaya memudahkan kerajaan negeri berjimat dalam berbelanja khususnya perkara yang berkaitan dengan Sultan Negeri dan istana. Jika belanja istana dapat dijimatkan, banyak lagi belanja untuk rakyat dapat dimanfaatkan. Bila menjemput Raja luar guna jet khas, itu satu yang malang sekali. Jika program yang dirancang diketahui tarikhnya, maka usaha menggunakan kapal terbang biasa boleh dilakukan. Nak bagi hujjah memang ada. MB perlu ada kekuatan menasihat Sultan supaya berbelanja wang rakyat secara berhemat.

Kerajaan PR hendaklah berbeza dengan BN. Keutamaan belanjawan hendaklah dibuat. TG Nik Aziz alim dengan kitab fiqhnya. Ustaz Azizan bekas anggota MAPEN, bijak dan tangkas sekali dalam bengkel MAPEN dahulu. Nizar berpengalaman melaksanakan projek yang besar-besar. Rasanya tidak perlu dinasihat. Hanya harapan kita ialah ketiga-tiga MB menjadikan 2 Umar sebagai rujukan peribadi dan pemerintahan mereka. Jika Muawiyah mau dijadikan model, walaupun ulama-ulama ada hujjah untuk mengikutnya; ianya bukan model untuk menunjukkan kelainan pemerintahan Pas dengan BN.

Kita bukan sahaja mau MB berwatak sederhana, tetapi sekaligus anggota exconya.

Setakat ini KM Pulau Pinang yang berkata akan mencontohi Umar. MB Pas tidak pula berkata begitu. Mengapa ya?


Monday, July 28, 2008

PR ATAU BN: MANA SATU PILIHAN HATI PAS

Malas sungguh nak bicara hal muqabalah dan muzakarah Pas Umno, sehinggakan telah ada cadangan membubarkan kedua-dua parti ini dan buat satu parti baru pula. Sepatutnya isu berbincang dengan Umno tak patut timbul langsung selepas PRU 12. Pas tentang Umno sejak 1955 lagi. Pemimpin Pas sudah tahu kebobrokan Umno. Maka pada PRU 12, Pas sanggup berpakat dengan DAP dan PKR lawan BN. Pas biasanya lawan calun Umno. Jika Umno kalah, Pas yang menang dan sebaliknya. Pas tentu tahu natijah politik nasional jika Pas menang separuh dan Umno menang separuh. Kenapa kini terfikir masalah politik Melayu Islam.

Pas sanggup lawan dan kalahkan Umno kerana Pas tahu Umno parti yang penuh rasuah, zalim, menindas, kronisme dan nepotisme walaupun ianya sebangsa dan seagama. Pada pandangan Pas, walaupun sebangsa dan seagama, ia tetap melawan Umno kerana Pas tidak mendukung fahaman asobiyyah. Asobiyyah ialah fahaman yang sentiasa mendukung bangsanya walaupun zalim. Inilah yang diajar oleh pimpinan Pas selama ini. Atas dasar inilah Pas sanggup berpakat dengan DAP, walau pun tidak sebangsa dan seagama. Dan Pas pun tahu, DAP tidak setuju dasar matlamat Pas yang memperjuangkan negara Islam. Demi menyelamatkan negara ini dari terus menuju kehancuran yang dibuat oleh Umno /BN, Pas sanggup bersama-sama PKR dan DAP untuk melawan Umno.

Tiba-tiba mengapa pimpinan Pas terfikir isu kuasa Melayu yang terhakis. Yang terhakis ialah kuasa Umno yang jahat, yang rasuah, yang zalim dan yang menghancurkan institusi kehakiman. Kalau Umno cuba nak buat baik, itu hanya untuk ambil hati Pas sahaja. Takkan pimpinan Pas tidak boleh mengerti dan faham akan helah Umno ini. Umno telah dipenuhi dan dikotori dengan noda dan dosa rasuah. Pimpinan Pas sendiri yang mengatakan bahawa Umno tidak boleh diubati kerana dasar dan matlamat Umno ialah kebendaan. Lantaran itulah ahli Pas bawahan mengsyakki pimpinan Pas lebih cenderung untuk mengejar kuasa bila sekonyong-konyong nak merapati Umno. Muzakarah hanya alasan.

Bacaan tambahan klik di sini

MAHFUZ MINTA MAAF DAH

Mahfuz berjiwa besar meminta maaf hari ini atas kenyataanya yang menafikan pertemuan Pas Umno dalam gelap. Beliau juga mengatakan bahawa orang yang berjumpa Umno itu tidak melaporkan perjumpaan tersebut kepada Pas Pusat. Beliau juga menuntut orang berkenaan memohon maaf. Siapa orang itu?


Friday, July 25, 2008

MAHFUZ LETAK JAWATAN KETUA PENERANGAN

Pas berjumpa Umno dalam gelap dibongkar oleh Bakak Hak Penarik Beca. Pas melalui Mahfuz Omar dan Nasharudin menafikannya dan mengatakan fitnah pada peringkat awal. Malah mahu saman sang fitnah. Kemudian Pak Lah dan TG Hj Abd Hadi mengaku sudah bertemu 3 kali. Hj Abd Hadi kata muzakarah. Nasharudin kata eksplorasi. TG Nik Aziz kata muqabalah. Pokoknya memang ada usaha mencari titik persefahaman Umno Pas, walau pun secara rasminya Pas masih komited dengan PR. Soalan utama sekarang ialah dari mana datangnya ilham untuk itu; muzakarah atau muqabalah. Yang dikhuatiri seperti kata Khalid Samad, ialah mendengar tawaran Umno untuk bekerjsama dalam memerintah Malaysia.

Tiba-tiba Mahfuz Omar, atas nama Yang Dipertua Pas Kawasan Pokok Sena meminta Presiden Pas menjelaskan duduk perkara sebenarnya isu ini. Hairan sekali beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat tak tahu apa yang terjadi dalam Pas. Beliau pun tak tahu sudah ada eksplorasi yang dibuat oleh Timbalan Presidennya. Dia pun tak tahu sudah ada kertas baru Tahaluf Siasi pasca PRU 12 yang dibentang di dalam Majlis Syura Ulama. Kali ini tahaluf siasi dengan pemerintah, bukan lagi dengan rakan oposisi lain. Memang Pas hebat bereksprimen dalam politik negara. Dengan Nasma, APU, BA dan kini dengan Umno pula. Umno Pas atau Ampas kah akan diberi namanya. Tidak pernah kita melihat TG Hj Abd Hadi bertegas dalam wawancarnya dengan mengatakan bahwa PR tiada ketua dan Pas boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja.

Riak Pas Umno kali ini bukan sekadar riak biasa. Jauh matlamatnya. Orang besar besar jumpa orang besar besar maknanya. Orang politik jumpa orang politik mesti tidak terlepas membincangkan hal kuasa. Usaha Pas mendekati Umno telah bermula dengan cuba mendapat laluan dari Majlis Syura Ulama dan Mursyidul Amnya. Timbalan Presiden Pas telah pun 3 kali berjumpa Umno dengan restu Presiden Pas. Apa intipati perbincangan tidak dimaklumkan secara detail, hanya dinyatakan isu Islam Melayu sahaja. Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat telah menyatakan sokongan usaha muzakarah itu tetapi mengingatkan komitmen Pas terhadap PR. Tetapi adakah kedua-dua Dewan ini sanggup berlawan hujjah apabila Presiden dan Majlis Syura Ulama ada nas untuk bersama Umno dalam PRU 13, dengan keadaan nasib Anwar tak tahu ke mana lagi.

Untuk Mahfuz, seperti selalu cabarannya kepada pihak lain, eloklah letak jawatan Ketua Penerangan kerana tak tahu ada pertemuan Pas Umno yang beliau nafikan itu. Just if you are gentlement.

Bacaan tambahan klik di sini.

Thursday, July 24, 2008

UMNO-PAS TERUSLAH BERGADUH

Biarkan Pas-Umno terus berlawan, bersengketa, berseteru dan bergaduh. Tetapi semuanya dalam kontek politik demokrasi sahaja. Janganlah bergaduh sampai melampaui batas demokrasi. Janganlah sampai guna polis sehingga bunuh orang Pas seperti di Memali dan di Kuala Terengganu. Itu perang gerila namanya. Ceramah lawan ceramah. Debat pun boleh. Forum pun ok. Kita mahu perang demokrasi sahaja.

Kenapa sibuk-sibuk hendak muzakarah Umno-Pas. Sudah lebih 50 tahun Umno Pas berlawan. Rakyat Malaysia akan terus mendapat untung jika Umno Pas terus berlawan. Jangan berdamai wahai Pas Umno. Nanti ramai rakyat Malaysia akan rugi.

Biarkan Umno Pas terus bergaduh. Itukan kerja mereka selama ini. Jika mereka berhenti bergaduh, nanti depa tak tahu nak buat apa selepas ini. Orang Umno Pas sudah sebati dan serasi dengan budaya gaduh ini. Mereka tak akan reti berbahasa dan bergaul bila berdamai nanti. Mereka sudah mangli dengan cara lama. Syok hentam menghentam di kedai kopi. Ada le perkara yang hendak disembangkan. Penceramah Pas pun ada saja isu hendak disyarahkan. Baru le Mohamad Sabu, Mahfuz dan Salehudin boleh hentam Umno puas-puas. Tergolek anjing dibuatnya. Kalau Pas Umno berdamai, depa kena puji Umno pula. Mereka mana reti puji Umno. Mereka tak pandai puja kerajaan BN. Kesian le kat depa ini, nanti depa tak ada point nak ceramah. Bila depa tak hendak ceramah, siapa nak beri ceramah. Orang Pas nak buat apa, kalau tak ada ceramah. Takkan mereka nak tengok dangdut Inul pulak.

Biarkan Umno Pas terus bergaduh. Jika Umno Pas berdamai, orang bawah Umno tak merasa duit upah lagi. Kalau dah tak bergaduh, buat apa pegawai Kemas lagi, Pegawai Khas Penerangan, Pegawai Khas Risda, Pegawai Khas Koperasi. Dan macam-macam pegawai khas lain lagi. Semua pegawai tu diadaklan untuk lawan Pas sahaja. Jika Pas tak berlawan dengan Umno, depa ni boleh dipencenkan aja. Opp, mereka mana ada pencen. Semua jawatan sangkut aja. SPM pun entah ada entah tidak. Kesian le ke JPA . Fasal mereka le, JPA ada keja tambahan untuk melantik pegawai sangkut ini.


Biarkan Umno Pas terus berlawan. Jika mereka berdamai, nanti orang bawah Pas tak akan berkorban lagi. Masa belum memerintah, orang Pas sanggup berkorban masa, tenaga, wang dan nyawa sekali pun. Takkan orang Pas hendak berkorban lagi apabila sudah memerintah. Pasti ke, Sekolah Rendah Islam ke, Sekolah Menengah ke, Sekolah Tahfiz ke, semuanya boleh minta duit kerajaan. La ni semua sanggup berkorban fasal kerajaan BN terus sabotaj projek Islam ni. Depa bukan mahu hidupkan institusi ini yang selama ini menjadi kubu kader Pas. Biarkan Umno Pas terus bergaduh. Bergaduh dalam politik demokrasi.


Biarkan Pas Umno terus berseteru dalam dunia demokrasi. Jika Umno Pas bedamai, maka RTM, TV3, BH, UM, NST dan The Star tak ada berita sensasi lagi. Maka TV dan akhbar tak laku pula. Kalau Umno Pas bersatu dan berdamai, politik Malayisa akan sejuk. Depa tak dapat cari makan. Akhbar Harakah pun tak laku. Kalau akhbar Harakah tak laku, bukan sahaja pekerja Harakah kena buang, Mustafa Ali pun kena buang sebagai Pengerusi Harakah juga. Tak syoklah macam tu. Biarkan Umno Pas terus bergasak.. Biarkan. Biarkan. Biarkan.

Wednesday, July 23, 2008

RUNDINGAN ATAU MUZAKARAH

Isu muzakarah Umno-Pas yang sedang hangat dapat diringkaskan seperti berikut:

  • Apa yang telah berlaku sejak pasca PRU 12, dilaporkan 3 kali, bukanlah muzakarah isu Melayu Islam tetapi RUNDINGAN berkaitan kuasa untuk memerintah yang memerlukan kerjasama Umno-Pas dalam cara yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak. Hal ini diakui oleh Khalid Samad dan Khir Toyo. Jika ini yang berlaku, Pas telah melakukan satu kesilapan politik, kerana sepatutnya strategi selepas PRU 12 ialah memperkemaskan kekuatan, penyatuan, dan persefahaman antara gabungan PR dalam pemerintahan 5 negeri. Malangnya usaha-usaha rundingan dalam gelap ini tidak diketahui dan dimaklumi secara rasmi dalam pimpinan Pas Pusat. Dalam keghairahan Pas hendak memerintah, TG Hj Hadi terpesona dengan pujukan Nasarudin dan Mustafa Al. Wajar sekali TG Hj Hadi mengakui bahawa langkah ini satu yang silap dalam keadaan Pas baru sahaja memulakan penubuhan PR.
  • Selepas isu rundingan kuasa tidak dapat kata sepakat atau ditentang oleh sebahagian besar oleh anggota pimpinan yang lain termasuk TG Nik Aziz, maka usaha ini dipinda istilahnya sebagai muzakarah. Ramai orang menyangka muzakarah baru mahu dimulakan. Reaksinya pelbagai, positif dan negatif. Sebenarnya muzakarah merupakan salah satu agenda Pas. Pas boleh muzakarah dengan sesiapa pun. Muzakarah dalam kontek perjuangan Pas, bukanlah bermakana mencari persefahaman poltik dengan pihak lain untuk bergabung. Ia lebih menjurus kepada usaha Pas menjelaskan dasar, sikap dan pendirian Pas dalam sesuatu isu dalam negara. Tetapi memulakan usaha muzakarah dengan Umno sebaik sahaja tamat PRU 12 dalam keadaan BN akan kehilangan kuasa melalui undi tidak percaya, ianya bukanlah pada waktu yang tepat. Saya fikir pimpinan Pas tidak perlu dinasihatkan kerana mereka memang bijak berpolitik. Hanya sedikit alpa dek hasutan sang gila jawatan macam Nasarudin tu.
Didalam politik ada masanya ada kesilapan strategi. Perahu yang terlajak ini masih boleh dikawal. Pas hendaklah menyatakan dengan tegas agenda politiknya. Laksanakanlah perubahan politik di negeri pentadbirannya. Tunjukkan etika pentadbiran yang baik. Berjimat dan berhemat, telus, adil, mementingkan rakyat terbanyak dan terbuka. Jika MB yang ada dapat setara TG Nik Aziz pun sudah cukup baik. Contohi pemerintahan sejarah silam Islam yang baik seperti 2 Umar. Jangan mencontohi Bani Umayyah yang penuh trajis tu. Kita sudah terlalu lama menunggu mendapat kuasa pemerintahan dan kini berpeluang untuk menunjukkan model pemerintahan yang baik. Jika kita gagal, kempen PRU 13 akan lebih payah lagi. Lakukan perubahan segera. Jangan seronok dengan pesta sambutan 100 hari. Rakyat mahu perubahan.

Bacaan tambahan klik disini.

Sunday, July 20, 2008

MUZAKARAH PAS-UMNO

Muzakarah Pas-Umno untuk bincang kepentingan Melayu-Islam. Sedap sekali bunyinya. Tuntutan NGO Melayu yang pro Umno dan Umno Johor dalam persidangan Umno berkaitan dengan memartabatkan Bahasa Melayu dalam pendidikan pun Umno tidak layan. Inikan pula muzakarah Umno-Pas.

Yang kita risau ialah kedua-dua pimpinan Umno-Pas hendak bincang masa hadapan politik induvidu tertentu sahaja dalam kedua-dua parti. Yang Umno hendak terus berkuasa. Yang Pas pula hendak menumpang sedikit kuasa.

Umno buatlah yang baik untuk bangsa dan agama. Pas wajib sokong, tanpa perlu muzakarah pun. Tak ada orang Melayu yang akan menentangnya. Tak tahulah kalau Hishamudin Rais yang akan menentangnya.

Pas buatlah islam dalam PR, Umno wajib sokong, tanpa perlu muzakarah pun. Kalau DAP dan PKR tentang, masa hadapan mereka hendak perintah Malaysia, tidak akan tercapai. Baru ada sebab Pas dan Umno boleh berkawan pada pilihanraya akan datang.

Bila Umno dah hampir hilang kuasa, baru minat muzakarah. Itu tanda TIDAK IKHLAS. Takkan pemimpin Pas tak reti sangat hal ini kot.

Bila Pas minat muzakarah dengan Umno, takkan pemimpin Umno tak tahu bahwa pemimpin Pas pun nak sedikt habuan. Depa lagi faham hal-hal begini.

Entahlah. Orang politik jumpa orang politik, mesti kerana kepentingan kuasa. Atas nama bangsa dan agama, bagi sedap mulut aja.

HIDUPKAN BUDAYA ILMU

Apakah satu kelebihan yang paling ketara di negeri Kelantan berbanding dengan negeri lain. Kelebihannya ialah suburnya majlis ilmu. Majlis ilmu di Kelantan begitu rancak samada di surau, masjid atau di pondok. Kuliah subuh, kuliah maghrib dan siri pengajian tetap sentiasa diadakan dan mudah kita mencarinya. Yang belajar di pondok bukan sekadar pelajar tetapi orang-orang tua juga.

Budaya ilmu yang subur ini perlu ditiru dan digerakkan oleh kerajaan PR di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Jangan sibuk dengan jawatan di Majlis Perbandaran. Tugas dakwah lebih aula lagi dari jawatan tersebut pada peringkat awal pemerintahan PR. Zaman gelap majlis ilmu di zaman BN perlu digilapkan. Masaalah baget tidak timbul kerana wang zakat melambak untuk dimanafaatkan.

Petugas parti khususnya Pas hendaklah bekerjasama dengan kerajaan negeri PR. Dewan Pemuda dan Dewan Ulama Negeri hendaklah bekerja keras. Fokus, fokus, fokus kepada usaha ini.

Friday, July 18, 2008

DEBAT MINYAK ANWAR - SHABERY

Sebaik sahaja debat minyak Anwar dan Shabery tamat, saya pun berangkat ke Kelantan dengan dengan 3 orang rakan lain termasuk seorang darinya dari Singapura. Saya menerima banyak SMS yang memberi rating debat malam itu dan ada juga yang bertanyakan rating yang saya beri pula.

Saya tidak dapat menonton sebarang program TV atau radio yang mengulas isu debat itu. Pada malam itu semua pendengar yang menghubungi saya, bersetuju bahawa Anwar lebih berjaya dalam hujjahnya. Esoknya, seorang rakan saya yang bertugas sebagai guru melaporkan bahawa seorang muridnya berbangsa India di Tahun 6 mengatakan 'cikgu, Anwar naik, minyak turun !'.

Saya bertanya lagi sahabat-sahabat yang bertugas di Jabatan Kerajaan di KL dan Kota Bahru, semuanya ijmak mengatakan ''Shabery hancus" di malam debat. Secara kebetulan Mohamad Sabu menalipon saya dan saya pun terus bertanyakan kepada beliau akan ratingnya pula. Rating Mohamad Sabu penting kepada saya kerana Anwar adalah musuh politik beliau ketika Anwar dalam Umno dahulu. Mohamad Sabu memberi rating 65 kepada Anwar dan 35 kepada Shabery Chik. Aduhai teruknya kau Shabery oi.

Satu hujjah Shabery yang saya rasa tidak betul, cuba mengelirukan penonton dan tidak adil ialah apabila beliau mengatakan Iran tetap tinggi inflasinya walaupun harga minyak rendah dari Malaysia. Ketahuilah Iran dikenakan sekatan ekonomi dan rezabnya berbillion USD dibekukan di US, maka tidak wajar dikatakan begitu. Penuntut Ekonomi yang berniat jahat jika itu yang dikatakan oleh Shabery.

Kalau hari ini pilihan raya, PR akan menang di Malaysia. BN barang naik, bila naik, baru naik, berapa naik, banyak naik, BANKRAP NEGARA.

Tuesday, July 15, 2008

PAS ROYALIS DAN FEUDALIS

Saya hanya mengutip kata-kata seorang pimpinan Pas, bekas pimpinan pelajar satu masa dahulu. Katanya Pas berjiwa royalis dan feudalis. Itu sahaja katanya. Yang lain selepas ini ialah catatan saya sendiri.

Seseorang yang berjiwa royalis dan feudalis, adalah seorang yang sukar melaksanakan perubahan politik kerana kepentingan royalis dan feudalis adalah sentiasa bertentangan dengan kepentingan rakyat terbanyak.

Apabila Anwar Ibrahim menerima Datuk Seri semasa di dalam kerajaan dahulu, saya sudah kehilangan keyakinan kepada beliau untuk membela rakyat terbanyak.

Apabila Ustaz Fadhil Nor, Ustaz Abd Hadi, TG Nik Ab Aziz menerima gelaran tersebut, saya tidak berkeyakinan penuh kepada mereka akan memperjuangkan isu rakyat terbanyak sehingga mengatasi kepentingan pihak atasan istana.

Akhirnya anda akan lihat PAS akan membisu apabila aktiviti ekonomi dan sosial yang melibatkan kepentingan istana di negeri masing-masing.

Urusan agama berkaitan dengan rakyat, akan mudah dilaksanakan oleh kerajaan PR tetapi jika melibatkan istana, Pas akan tewas. Institusi sekolah agama, zakat, tanah dan banyak lagi yang ada pengaruh dan kaitan dengan istana. Ini cabaran kepada pemimpin Pas yang berjiwa royalis





Monday, July 14, 2008

BELANJAWAN RAKYAT 2009

Kerajaan Negeri dibawah Pakatan Rakyat telah menyambut 100 hari pemerintahannya baru-baru ini. Ceramah sambutannya begitu hebat sekali. Penyokong PR tentulah setia mendokongnya.

Lawan PR, BN sentiasa mengasak kerajaan negeri PR berkaitan dengan janji-janji manifestonya dalam PRU 12 yang lalu. Apa yang penting sekarang ialah kerajaan PR mestilah membasmi segera sebarang kebocoran wang kerajaan negeri dan mempastikan kerajaan negeri berbelanja secara betul, teratur, telus dan tiada rasuah dan ketidakadilan. Langkah seterusnya ialah merangka BELANJAWAN RAKYAT 2008 (BR).

Melalui BR inilah akan menggambarkan segala perancangan kerajaan PR berkaitan dengan pembangunan negeri seperti mana kehendak manifesto PRU 12. Isu-isu berkaitan pembangunan insan, ekonomi, pendidikan, dasar tanah, kerajaan tempatan dan sosial akan diterjemahkan dalam kertas pembentangan BR nanti

MB dan exco kena duduk bersidang secara serius dengan pegawai perancang ekonomi negerinya supaya BR berbeza dengan belanjawan BN masa lalu. Disinilah bermulanya kelainan fokus PR dalam mentadbir negeri. Kalau boleh dalam merangka BR ini, ianya juga melibatkan pandangan dari aktivis politik dari semua anggota gabungan PR.

Penyokong PR amat ternanti-nanti satu belanjawan yang komprehensif untuk rakyat.

Sunday, July 13, 2008

JUTAWAN SAMAN ROSMAH

Najib sudah bersumpah di hadapan ahli Umno bahawa dia tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan Altantuya. Sekarang, giliran Rosmah pula kena bersumpah bahawa beliau tidak ada di tempat semasa kejadian pembunuhan Altantuya itu berlaku. Rosmah kena saman Raja Petra yang menuduhnya berada di tempat kejadian tersebut. Tuduhan melalui Akuan Berkanun itu menunjukkan Raja Petra bersungguh-sungguh hendak jadi wira Malaysia. Mana ada ahli politik yang sanggup buat macam itu. Jika tak benar dakwaan itu, Polis boleh bila-bila masa mendakwa Raja Petra. Polis tahu dimana Raja Petra minum teh dan buang air di negara ini. Maka tak susah nak heret Raja Petra ke mahkamah.

Apa nak dirisau Rosmah. Anda boleh jadi jutawan kerana anda akan menang kes ini. Sebenarnya Raja Petra telah ditipu dan terpercaya dengan pemberi maklumat berkaitan dengan tuduhan tersebut. Fasal nak jadi wira Malaysia, Raja Petra sanggup tuduh Rosmah secara rasmi.

Rosmah boleh menang kes saman ini dan mendapat RM 100 juta kerana tuduhan Raja Petra ini melibatkan bukan sahaja nama beliau tetapi melibatkan nama Najib sebagai TPM, imej Umno dan imej Kerajaan Malaysia. Masakan Rosmah tidak ada duit mengupah peguam terbaik dalam atau luar negeri untuk menyaman Raja Petra. Biar Raja Petra botak berkali-kali lagi. Biar Raja Petra minta sedekah di Jalan Tunku Abdul Rahaman. Biar bini Raja Petra minta cerai darinya. Biar padan muka penyokong blog Malaysia Today. Biarkan!!!!!

Gunakan peluang ini untuk dapat duit percuma. Najib ada kuasa untuk pengaruh pentadbir mahlamah percepatkan kes ini. Rakyat sokong 100% kes ini dipercepatkan. Buatlah Rosmah. Kami berdiri teguh di belakang anda.

Bila sudah jadi jutawan dengan duit saman ini, shopinglah di London, Paris, atau di mana-mana sahaja di dunia ini. Shoping berkoyan-koyan pun tidak mengapa. Mohamad Sabu janganlah marah Rosmah nak shoping puas-puas kali ini. Kali ini dia belanja dengan duit sendiri, bukan duit kamsyen tau.


Rosmah, saman jangan tak saman.

Saturday, July 12, 2008

PAKATAN RAKYAT TANPA KETUA

Wau, semua terkejut membaca wawancara terbaru Harakah dengan Hj Abd Hadi. Hj Abd Hadi mengatakan PR tiada ketua dan sesiapa pun boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja.

Memang benar semua orang ada hak berjumpa dan berbincang dengan sesiapa sahaja. Tetapi anggota PR bukan badan NGO atau badan dakwah. PR wadah politik. Perbincangan dan perjumpaan anggota PR akan memberi kesan dan persepsi kepada rakannya yang lain. PKR jumpa Umno, Pas dan DAP khuatir. Pas jumpa Umno, PKR dan DAP khuatir. DAP jumpa Gerakan dan MCA, Pas dan PKR khuatir. Bila mula ragu meragui antara satu sama lain, PR di ambang perpecahan. Mutaah politik PR tidak sampai sehingga 2012. Benarlah tuduhan BN, PR bukan gabungan yang stabil.

Kesatuan PR belum utuh lagi. Masing-masing ada keutamaan politik tersendiri. Yang muktamadnya ialah bersatu menumbangkan BN dalam PRU yang lalu sahaja. Apabila PR menubuhkan kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan, kita dapati stail, corak dan keutamaan pentadbirannya berbeza antara satu sama lain.

Terdapat 2 isu utama politik pasca PRU 12 yang tidak dimuktamadkan secara bersama dan jitu oleh PR iaitu:

  • Apakah anggota gabungan PR sekarang bersetuju dengan strategi Anwar menarik MP BN Sabah dan Sarawak menyertai PR sebagai anggota gabungan yang baru.
  • Apakah anggota gabungan PR bersetuju menjatuhkan Pak Lah melalui usul undi tidak percaya di dalam parlimen Isnin ini.
Apakah agenda politik PR yang utama sekarang. Mahu ke Putrajaya melalui jalan pintas dalam tempoh terdekat ini atau mahu memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri yang sedia ada terlebih dahulu dan cuba menguasai kerajaan pusat pada 2012 nanti.

Apakah pilihan strategi pintas PKR dan PAS ke Putrajaya sekarang. Strategi PKR ialah menarik MP Sabah, MP Sarawak dan sebahagian MP Umno, MCA dan Gerakan ke PR. Strategi Pas pula ada dua pilihan samada bersama strategi PR tadi atau menyertai Umno dalam BN.

Jika Pas menyertai BN, bersedialah pimpinan Pas dengan perpecahan dalaman terbesar dalam sejarahnya. Malah rakyat Malaysia tidak akan percaya kepada Pas selama 50 tahun kerana mengkhianat rakan kongsi politiknya dalam tempoh yang singkat sahaja.

Apakah ke Putrajaya merupakan agenda utama politik Pas sekarang. Apakah Pas sudah tidak bersedia menjadi penumpang politik selepas 53 tahun di persada politik tanahair. Atau pimpinan Pas ingin mengakhiri hayat hidupnya sebagai menteri sebelum berjumpa dengan Allah subhanahu wataala. Apa isi hati mereka yang sebenarnya.

Friday, July 11, 2008

UMNO-PAS: KERJA SAMA MACAM MANA

Sebelum PRU 12, PAS hanya ajak Umno bermuzakarah atau berdebat sahaja dimana-mana. Tiada istilah berjumpa untuk berunding hal ehwal ummah. Pada tahun 1986, allahyarham Ustaz Yusof Rawa dan Ustaz Fadhli Noor berjumpa Tun Mahathir di Sri Perdana. Suasana dalam politik Pas gempar seketika kerana ahli Pas marah tidak bersetuju perjumpaan secara sembunyi itu. Tetapi dengan kepetahan Ustaz Fadhil Nor didalam muktamar, keresahan ahli Pas berjaya diredakan, tetapi pimpinan Pas tahu mood ahlinya; jangan sesekali berunding Umno. Watak Umno tidak boleh dipercayai. Bukankah itu yang selalu diperkatakan oleh pimpinan Pas di setiap ceramahnya.

Selepas PRU 1999, bila Umno ajak Pas bermuzakarah, Pas letakkan syarat sebelum berjumpa. Antaranya pulangkan wang royalti Terengganu. Perjumpaan langsung tak jadi. Kali ini, tiada pula syarat diberikan. Apakah kali ini tanpa syarat, walaupun Kelantan masih dikenakan pelbagai dikriminasi oleh kerajaan pusat. Royalti sahajakah yang Pas nampak.

Sebelum keputusan PRU 12, Pas tidak nampak keperluan berjumpa dan berunding dengan Umno. Oleh kerana kedudukan politik Pas tidak sekuat hari ini, maka Pas rasakan ia tidak mampu mendesak Umno. Kini, dengan kedudukan yang agak kuat, Pas boleh tawar menawar, kumpulan mana mahu disertai untuk membentuk kerajaan, PR atau BN. Kalau Pas tinggalkan PR untuk sertai BN, Pas tidak akan dipercayai dalam pakatan politik alternatif di negara ini sampai 50 tahun akan datang.

Bagi ahii Pas bawahan, perjumpaan merupakan langkah pertama kepada rundingan. Rundingan kena tolak ansur dan kerja sama. Kerjasama berkesan ialah bermuafakat dalam satu wadah politik. Mungkin namanya BN atau apa sahaja. Ahli Pas dah serik dengan BN. Rakyat dah tolak BN, mengapa kita hendak bersama BN kata Mahfuz Omar. Tetapi seriuskah kenyataan itu?

Pas hendaklah terus menyatakan prinsip dan matlamat politiknya dalam PR. Itu hak Pas sebagai parti berdaftar yang punya sokongan rakyat yang tidak kurang banyaknya. . Pas hendaklah menegur mana yang tidak betul dalam dalam kerajaan negeri PR. Pas hendaklah komited menjalankan pentadbiran yang selari dengan Islam dalam negeri yang ia berkuasa. Jangan sampai ahli dan rakyat tolak Pas kerana Pas tidak laksana Islam sepertimana yang tercatat dalam perlembagaannya.

Pas boleh buat tuntutan bertulis kepada kerajaan. Ianya lebih telus lagi. Jumpa di pejabat Perdana Menteri, bukannnya jumpa di tempat gelap. Kawan dan lawan pun tahu. Rakyat pun tahu apa hajat Pas sebenarnya dalam politik. Permintaan politik bukan satu konspirasi yang perlu disorokkan.

Memanglah menjadi aspirasi rakyat, supaya Pas menjadi penegur kepada kerajaan. Jika rakyat sudah yakin bahawa Umno memang TIDAK MAHU ATAU TIDAK MAMPU melaksanakan aspirasi Islam, maka mereka akan memilih Pas dan meninggalkan Umno. Riak-riaknya sudah ada.

Kita tidak tahu apa niat sebenar di hati pimpinan Pas. Ahli Pas sentiasa bersangka baik. Sejarah mencatat, tiba-tiba Datuk Asri ajak Pas masuk BN pada 1970. Apakah sejarah akan berulang di era Hj Hadi lagi. Tokoh veteran Pas, Mustafa Ali semasa Pas bersama BN masih ada lagi bersama Pas sehingga kini. Apakah beliau berpengaruh dalam membuat perancangan ini.

Thursday, July 10, 2008

SYARAT SOLAT DAPAT KERJA

Sekali lagi TG MB Kelantan membuat kejutan dengan mencadangkan pengambilan anggota perkhidmatan awam dari kalangan yang bersolat sebagai satu syarat utama. Ini satu idea baru secara "rasmi" sahaja. Amalan mengenalpasti seseorang itu bakal pekerja yang baik dengan melihat komitmennya terhadap solat sudah lama diamalkan oleh sesiapa sahaja. Budaya Melayu apabila nak terima menantu pun, akan selidik bakal menatunya bersolat ke tidak. Maka ramailah yang berlakun minta sejadah di rumah bakal pak mertua.

Ada pula kaum yang yang ragu-ragu dengan idea ini. Macam-macam soalan yang timbul. Macam mana hendak kenal pasti siapa yang solat, macam mana hendak pantau mereka berterusan bersolat, solat pun belum tentu kerja baik, macam mana dengan yang bukan islam pula. Ini semua dalih untuk lawan idea TG itu.

Ya, solat tidak menjamin seseorang itu baik. Al-quran menegaskan "mendirikan solat", bukan sekadar solat sahaja. Solat itu mampu mencegah keburukan dan kejahatan (fahshak dan mungkar), termasuk rasuah walau sekecil mana pun. Kerani belian dipejabat kerajaan pun tak terlepas amalan rasuah, walaupun berjanggut dan istiqamah solat di surau pejabat!

Saidina Umar r.a. pun menegaskan bahawa selagi kita belum bermuamalah dan bermusafir dengan seseorang, kita belum tahu lagi peribadi mereka sebenarnya. Solat hanya penilaian awal. Ada orang cukup baik menjaga hubungan dengan Allah tetapi hubungan dengan manusia hancur belaka.

Fikir-fikirkanlah.

Wednesday, July 9, 2008

BAKAK HAK JAGA PRINSIP PAS

Bakak Hak atau Sang Kutu, bekas petugas harakah awalan, membuang diri dari Pas kerana tak mau dituduh menganut mazhab asing di Malaysia, yang kini menjadi penulis blog secara sepenuh masa lebih menjaga Pas supaya teguh dengan prinsip asal Pas berbanding dengan ahli Pas lain.

Apabila beliau membuat telahan awal bahawa pimpinan Pas dah mula berjinak-jinak dengan Umno, ramai ahli Pas tak percaya kerana ahli Pas SENTIASA BAIK SANGKA DENGAN PIMPINANNYA.

Bakak Hak perangainya suka minta maaf sebelum bercakap, boleh bantai sesiapa sahaja, kerana mulutnya terlalu ringan minta maaf. Bukan senang orang lain nak minta maaf oi. Dia berkoyan-koyan sudah minta maaf. Bukan senang cari orang macam ini. Tulislah puas-puas Bakak oi. Kalau silap. boleh minta maaf, bukan keluar duit pun. Kalau Nasa nak saman engkau pun, bukan boleh dapat duit pun. Kalau hendak berjaya sebagai penulis, tulis sehingga kena saman. Baru dikira WIRA. Kalau silap, minta maaf ya!!!!!

SELAMAT BAKAK, DEMI MENJAGA KEMURNIAN PAS. KALAU TAK BETUL PUN, SEKURANG-KURANGNYA HJ HADI SUDAH ISTIHAR TIADA RUNDINGAN DENGAN UMNO.

ANWAR DI DUA MAHKAMAH?

Hari ini Anwar membuat lapuran kes dakwaan liwatnya di mahkamah syariah. Apakah ianya boleh dibacarakan dibawah kes qazaf.

Dalam masa yang sama Anwar sedang disiasat oleh Polis. Jika pejabat Peguam Negara berpuas hati ada kes, Anwar akan didakwa.

Maka Anwar mencipta sejarah. Satu kes dibicara di dua mahkamah. Apa komen pengamal undang-undang di negara kita.

TV 3 MAHKAMAH SAIFUL

Saiful emel ke TV3 ajak Anwar bermubahalah.

Kalau nak bermubahalah jumpa mahkamah syariah ke, mufti ke, ulamak besar mana-mana ke, baru le betul oi.

Tv3 bukan badan berautoriti dalam agama. TV 3, media caca marba. Semua boleh.

Tuesday, July 8, 2008

HJ HADI TAK SETUJU PROTES

Terkini

Hj Abd Hadi Awang tak setuju PROTES di stadium tempohari.

Sudah terlewat.

Dr Hatta masih membisu lagi.

AMIN ISKANDAR SOKONG ALAK?

Insiden Alak di program PROTES mendapat cemuhan dan pembelaan dari pelbagai pihak. Amin Iskandar orang kuat AMK cuba 'mengelak' cemuhan dengan mengatakan ada geng atau anasir asing cuba sabotaj dengan mengasari Alak secar melampau batas macam SB atau FRU.

Soalnya ialah kita memberi peluang kepada anasir asing mengeksploitasi suasana. Kalau saya disana pun, saya akan baling botol kepada Alak. Ini program anjuran PR, kenalah bersopan. Tanggal baju pun masyarakat kutuk, inikan pula tunjuk buntut. Baruah punya budak.

Pemuda Pas pun satu hal. Takkan langsung tak tahu yang geng itu memang gila-gila. Boleh percaya ke jaminan orang macam tu. Mesyuarat rundingan pun tak konsisten hadir. Takkan tak boleh hantar pengganti lain jika bos tak boleh hadir. Haru-haru. Lupa nak pantau fasal sibuk nak merintah pada bulan September ini ke.

Yang jelas PROTES gagal. Isu minyak tak dapat menghangatkan awam. Yang hangatnya persembahan tunjuk buntut. Yang pi program pun tak puas hati. Inikan yang tak datang. Sedikit sebanyak orang awam percaya Utusan Meloya.

Dr Hatta mintalah maaf. Tak dengar pun.

Monday, July 7, 2008

JANNA MOHD ZAKI TETAP SETIA

Tunang Saiful Bukhari Azlan, Janna Mohd Zaki
tetap setia dengan Saiful. Kalau sesuatu terjadi
kepada Janna, adakah Saiful akan tetap setia
dengan Janna, tanya kawan saya semasa minum teh
sebentar tadi.

SAIFUL BUKHARI JUMPA EZAM

Benarkah Saiful Bukhari Azlan dikatakan
berjumpa Ezam terlebih dahulu sebelum
berjumpa Khairi Jamaludin. Khairilah
yang mencadangkan Saiful Bukhari Azlan
berjumpa dengan Najib supaya Najib menjadikan
Saiful sebagai peluru menembak Anwar pula.

Semua perkhabaran ini sedang berpindah
dari mulut ke mulut.

Ezam kena jelaskan.

Khairi kena jelaskan.

SIAPA SAIFUL BUKHARI AZLAN

Saiful Bukhari Azlan bukan sebarang Saiful.
'Saiful' maknanya pedang. 'Bukhari' pula
tokoh hadis dalam dunia Islam. Memang besar
hajat ibu bapanya bila menamakan anaknya
Saiful Bukhari.

Malangnya 'pedang' ini tidak mampu melawan
hulubalang tua yang sakit belakang. Malangnya
'pedang' ini kena liwat beberapa kali oleh sang tua
60 tahun. Paling kurang pun 'Pedang' ini sepatutnya
memberi amaran keras kepada sang politikus yang
mashyur serata alam itu supaya jangan meliwatnya.

Liwat beberapa kali maknanya paling kurang pun
dua kali. 'Pedang' tumpul pun bisa melukakan lawannya.
Tapi 'pedang' ini sungguh lembik. Memang padan pun
kena tikaman pedang lain. Oh betapa lembiknya jantan
muda ini. Patutlah kena tikaman pedang lain.

Alahai Saiful. Dah luka parah ditikam, baru
engkau berjuang melawan. Itu pun selepas keluar
bilik dan mengadu kepada tokoh 'tikam' yang lain pula.
Betapa sedihnya ayah engkau menamakan Saiful.
'Saiful' pedang berkarat rupanya.

PAKATAN RAKYAT TANPA ANWAR

Bila-bila masa Anwar akan didakwa dalam kes
liwat. Apakah ianya boleh dijamin?. Jika ada
konspirasi politik, beliau tidak boleh dijamin. Maka
beliau akan terkurung. PR kehilangan beliau sebagai
faktor penyatu atau moderator untuk mengambil alih kerajaan.

Lantas, apakah PR boleh bergerak lancar jika Anwar di dalam
tahanan. Perbicaraan di mahkamah akan mengambil masa
yang lama. Jika Anwar disabitkan kesalahan, apakah PR
bersedia meneruskan agendanya.

Apakah tiga parti utama dalam PR boleh duduk berunding
meneruskan perjuangan dalam politik Malaysia.

Fikir-fikirkanlah!!!!!

Sunday, July 6, 2008

TABUNG SERAMBI MEKAH

Antara usaha utama Kerajaan Pas Kelantan apabila
mengambil alih kerajaan pada 1990, ialah menubuhkan
Tabung Serambi Mekah (TSM). Apakah kini ianya rancak
digerakkan oleh kerajaan Kelantan tidaklah diketahui kerana
kini seolah-olah kurang diberi publisiti.

Apapun, TSM merupakan medan penderma korporat dan
induvidu kepada kerajaan negeri untuk membangunkan negeri.
Mereka berminat menderma kepada TSM kerana mereka tidak
diminta wang kopi atau rasuah apabila berurusan dengan kerajaan
negeri.

Konsep TSM perlu ditiru oleh kerajaan PR di negeri lain.
Yang penting satu dana khas yang besar perlu dikumpul
untuk membantu golongan fakir miskin, OKU, warga emas,
ibu tunggal dan anak yatim tanpa mengenal bangsa dan agama.
Kalau tidak lupakan sahaja slogan "Negara Berkebajikan"
seperti yang diwar-warkan dalam manafesto pilihan raya yang lalu

Saturday, July 5, 2008

POLITIK LIWAT MALAYSIA


Syok dan pening kepala memikirkan isu liwat di Malaysia hari ini

Kes Liwat Anwar 1998, memberi faedah kepada Pas, akhbar
alternative dan penulis politik bebas.

Pas kuasai kerajaan Terangganu pada 1999 menang 27 kerusi parlimen dan berjaya menembusi kerusi Dun di Pahang, Perak dan Selangor. Jualan akhbar Harakah mencecah lebih 300,000 naskah. Harakah meraih untung hinggakan berjaya membeli kondo di KL.

Pada masa itu. Saudara Ahmad Lutfi, ketua editor Harakah kini , pun merasai limpahan rezki hasil jualan buku hal Anwar

Dalam Umno pula, kekalutan menggarapi kes liwat ini menyebabkab Dr M akhirnya terpaksa meletakkan jawatan pada tahun 2003 yang ditangguhkan sehingga 2004. Bertuahnya Pak Lah.

Kes Anwar memberi keuntungan politik kepada ramai orang. Yang deritanya ialah beliau, isteri dan anak-anaknya.

Kini, kes liwat muncul lagi. Entahkan ya entahkan tidak. Dalam Islam kes liwat dan zina tidak pernah dibuktikan melalui dakwaan dan perbicaraan (setahu saya le setakat ini). Bukan mudah dibuktikan. Hanya kes pengakuan sahaja yang berlaku. Yang hairannya ulama Pas lambat mengemukakan pandangan Islam. Hujjah pada 1998, orang ramai dah lupa. Harakah daily syok menghentam Najib mendukung usaha Anwar. Tunggu le perbicaraan sebenar. Sekarang ni, kita mahukan penyiasatan bebas dan adil. Jika kelentong, akan terserlah dalam mahkamah nanti.

Kita ragu kepada kedua-dua pihak, Anwar dan Najib. Mungkin salah seorang pembohong atau kedua-duanya pembohong. Entah-entah mereka berdua diperangkap oleh pihak ketiga. Opp bukan Pak Lah yang memerangkapnya. Tetapi mungkin tangan ghaib di Bukit Aman yang memerangkap. Manalah tahu. Geng Bukit Aman mahu pertahankan kerajaan secular dengan pelbagai skandal mafianya.. Merka tak mahu PM atau bakal PM yang terlalu bersih dan terlalu kotor. PM bersih menyusahkan mereka. PM kotor pun menyusahkan mereka juga.

Kita tunggu drama seterusnya……

Thursday, July 3, 2008

MB MANA YANG TERBAIK

PR membentuk 5 kerajaan negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. 3 MB dari PAS, 1 dari DAP dan 1 dari PKR.

Kelima-lima MB dari pelbagai parti dalam PR berpeluang menunjukkan integriti, kebijaksanaan, keadilan, ketelusan, dan keberkesanan di dalam mengurus kerajaan negeri masing-masing.

Kejayaan MB ini akan meningkatkan nama baik parti masing-masing dan sekaligus kepada PR.

Jika parti gagal mengawasi kepimpinan MB dari parti mereka sendiri, imej parti akan tercalar. Kegagalan ini juga sekaligus meruntuhkan kepercayaan pengundi kepada PR . Maka harapan untuk memerintah peringkat Persekutuan bolehlah dilupakan.

Ujian antara parti dalam PR lebih kritikal lagi kerana perbezaan ideologi. Yang menyatukan mereka ialah keazaman mahu membina negara yang bebas dari rasuah, penyelewengan dan ketidakadilan.

Imej dan keberkesanan kerajaan PR akan mudah dinilai oleh rakyat dalam tempoh 4 ke 5 tahun ini. Bau busuk kerajaan mudah dikesan kerana pengaruh media alternatif kini.

Pendokong PR pun telah berjanji kepada pengundi dalam siri kempen pilihan raya lalu; jika PR menyeleweng, kita sendiri yang akan meruntuhkan kerajaan PR.

Oleh itu ingatlah wahai pemimpin PR!!!!