Monday, June 15, 2009

UG: JANGAN MAIN API

Oleh: Aris Awang - SU Pas Kawasan Kuala Kedah

Tuhan Yang Maha Mengetahui

Niat seorang manusia tiada manusia lain yang tahu, walaupun berbual bertentangan mata.

Apa yang dinilai dan ditanggapi ialah percakapan dan tingkah lakunya.

Begitu juga, PAS sebagai sebuah Gerakan dan Parti Islam, kenyataan dan tingkah laku amat memain peranan untuk dinilai dan ditanggapi oleh masyarakat dan yang lebih penting ialah pengundi setia.

Ketika, UMNO/BN dibenci oleh rakyat, tiba-tiba kenyataan dan tingkahlaku menunjukkan PAS ingin bekerjasama dengan UMNO/BN.... sebutlah dengan nama apa sekali pun dengan penuh ikhlas untuk kebaikkan rakyat. Rakyat tidak akan nampak, kerana telah terlekat dalam pemikiran rakyat, pemimpin UMNO/BN rasuah, menindas rakyat, diskriminasi, kroni, penting diri, zalim, menolak syariat Islam, salah guna kuasa, jahat, penipu, cakap tak serupa bikin, tiada akhlak..... (sila tambah sendiri).

Sebutlah berulang kali........ PAS tidak akan bekerjasama dengan UMNO/BN, "Niat kami bukan begitu", tetapi apabila sebaik selesai muktamar ia diulang kembali dan lebih malang apabila bekas Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang pula menyebut bahawa beliau pernah ditelefon oleh salah seorang pemimpin PAS supaya membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di Perak selepas pilihanraya umum yang lalu. Maka pemimpin tidak boleh memarahi ahli bawahan dan rakyat dari berbagai kalangan yang meragui keikhlasan PAS dan mungkin selepas ini menolak PAS (Na'uzubilLah).

(Khusus untuk Ustaz Ahmad Awang, kenyataan beliau menyebut seseorang tetapi tidak memberi tahu nama secara tepat, bagi saya akan mengundang fitnah yang lebih besar. Jika tidak mahu sebut siapa pemimpin itu lebih baik tidak cerita perkara itu).

Ketika UMNO/BN sudah nyawa-nyawa ikan......... dengan niat yang baik mungkin yang tidak dapat dibaca oleh manusia lain, tetapi dapat didengar oleh manusia lain ialah kenyataan dan dilihat oleh manusia lain ialah tingkah laku PAS iaitu oleh manusia-manusia dari PKR, DAP, Kelab Penyokong PAS, pengundi atas pagar , maka sekarang mereka telah menanggapi bahawa mereka akan dikhianati oleh PAS.

Bahaya sedang menanti, sesuatu yang drastik perlu dilakukan agar rakyat kembali melihat UMNO/BN adalah jahat seperti asal dan belum layak untuk dibuat kawan.

Kepada yang berhujah bahawa, kita mesti melakukan dakwah kepada siapa sahaja, jawabnya, memanglah itu kerja kita sejak PAS ditubuhkan lima puluh lapan tahun lalu, jangan cuba pesongkan pemikiran dengan mengatakan tak faham mengapa ahli PAS tidak mahu lagi berdakwah kepada ahli dan pemimpin UMNO, dari manakah datangnya ahli PAS jika tidak sebahagiaannya dari ahli-ahli UMNO yang dibuka pintu hatinya oleh Allah swt untuk bersama PAS dengan hasil usaha ahli PAS melalui berbagai pendekatan dakwah selama ini.

Oleh itu, perkara baru yang timbul dan ditimbulkan melalui kenyataan dan tingkahlaku PAS dewasa ini, ditafsirkan oleh ahli dan rakyat terbanyak bahawa PAS ingin bekerjasama dengan UMNO/BN, dan tidak ditafsir sebagai PAS mahu berdakwah kepada ahli dan pemimpin UMNO/BN. Kerana mereka tahu kerja kempen dan dakwah adalah tugas hakiki ahli PAS.

Persoalan yang dilontar semasa dihujung kepimpinan Pak Lah , kemudian ditarik balik pada 21 April 2009 dan selepas itu dilontar pula pada 7 Jun 2009, hanya menimbulkkan keributan yang tiada ada apa kebaikkan pada masa ini.

Janganlah kita terperangkap dengan angan-angan panjang, yang disebut dalam ilmu akhlak. Saya nyatakan begitu kerana, jika "Unity Government" yang diidamkan seperti Indonesia. Maka usaha menjatuhkan regim UMNO/BN perlu dilakukan dahulu seperti rejim Suharto dijatuh oleh rakyat sehingga memakan korban nyawa dan darah Mahasiswa Trisakti.

Adalah, tidak menasabah dengan tidak semena-mena PAS nak pergi bincang dengan UMNO supaya sistem pemerintahan Malaysia diubah mengikut sistem pemerintahan di Indonesia yang amat berbeza dengan Malaysia dan akhirnya akan mengurang semua kuasa yang telah sedia dipegang oleh UMNO. Jangan jadi seperti tikus bermesyuarat untuk menggantung loceng di leher kucing.

1. Malaysia sistem raja berpelembagaan - Indonesia sistem Republik.

2. Malaysia Perdana Menteri dilantik oleh Parti menang dan diperkenan Agong - Indonesia Presiden dipilih melalui undian terbuka kepada seluruh rakyat yang layak mengundi.

3. Pilihanraya di Malaysia lebih satu undi menang dan ikut kawasan parlimen dan DUN- Indonesia sistem berkadar.

4. Di Malaysia Parti Politik yang lebih kerusi memerintah - Indonesia parti politik hanya berada di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Majlis Perwakilan Rakyat (MPR).

5. Di Malaysia Menteri dilantik oleh parti yang menang - Indonesia Menteri dilantik oleh Presiden, dan jika mana-mana pemimpin parti politik menjawat jawatan Menteri diminta melepaskan jawatan parti, agar benar-benar statusnya sebagai Penjawat Awam.

Jika ingin pula, mengikut jejak langkah seperti Lubnan yang Kerajaan mereka telah menetapkan Presiden mesti Kristian, Speaker Parlimen Sunni dan Perdana Menteri Syiah. Jika itu yang PAS hendak jadikan contoh maka PAS perlu menjadi seperti Hizbullah yang ada angkatan bersenjatanya sendiri sebagai alat untuk suara dan pandangan mereka tidak dipandang sepi.

Persoalannya apakah kita mampu mencapai perkara tersebut?, Oleh itu janganlah berangan-angan panjang, usahakanlah supaya UMNO/BN dikuburkan dalam pilihanraya ke 13 ini ataupun sekurangnya tinggal hanya 15 kerusi parlimen sahaja seluruh Malaysia. Selepas itu perlu lagikah Kerajaan Perpaduan atau PAS dan Pakatan rakyat pula yang memerintah Malaysia ini dan UMNO/BN menjadi pembangkang.

Kepada kepimpinan baru PAS, segeralah mematikan isu yang dilihat dan nilai oleh rakyat terbanyak sebagai PAS mahu membentuk kerajaan dengan UMNO/BN, persembahkan dalam lakonan dan topeng apa sekalipun sekarang rakyat melihat jika perkara itu disebut, rakyat akan menafsir PAS akan tidur sekatil dengan UMNO/BN.

Niat yang baik sahaja tidak memadai dan kami tidak mempertikaikan niat yang baik itu, kami hanya mempertikaikan kenyataan dan tingkahlaku.

Mohon Sembah Derhaka!!!

3 comments:

Bulan Penuh 2012 said...

salam pak ali,

ahli keluarga saya masih ramai dah tersesat dalam Umno. takkan saya nak biar mereka berbondong2 ke neraka.

apa cara pun kena tolong selamatkan.

UG? Macam BJ Habibie tak sesuai ke?

Bulan Penuh 2012

ALI MAIDIN said...

Ajak mereka joint kita.

Anonymous said...

Setuju dgnn Ustaz Aris..Ustaz Ahmad Awang patut cakap siapa yang dimaksudkan,biar ahli2 PAS tampar kopiah atas kepala mereka..