Sunday, June 28, 2009

MITOS PERPECAHAN MELAYU

Oleh ZIN MAHMUD @ ABU FIRDAUS - BEKAS KETUA PENGARANG HARAKAH

APABILA banyak orang Melayu menyokong Umno, maka dikatakan Melayu bersatu. Apabila banyak orang Melayu menyokong PAS dikatakan orang Melayu berpecah. Inilah mitos yang selalu dimainkan oleh pihak Umno untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada mereka.

Dalam demokrasi tidak timbul mana-mana kaum berpecah. Rakyat tanpa mengira kaum memilih mana-mana parti yang boleh berkhidmat untuk mereka secara jujur dan berkesan.

Untuk apa orang Melayu menyokong Umno jika parti itu dalam amalannya tidak jujur dan pentadbirannya tidak berkesan. Maka ia wajar beralih sokongan kepada parti lain yang berkesan, umpamanya PAS.

Kalau dikira dari sudut perpaduan, orang Melayu wajar bersatu menyokong PAS dan sekutu-sekutunya. Andai kata orang Melayu Perak banyak memberi sokongan kepada PAS dan sekutu-sekutunya, maka PAS muncul sebagai parti yang dominan.

Jika itu berlaku maka tidak timbul hujah DAP menerajui kerajaan negeri Perak. Apa yang berlaku di Perak, orang Melayu sebahagian besar masih menyokong Umno, tetapi pada waktu yang sama sudah ramai menyebelahi PAS dan sekutu-sekutunya.

Tidak semestinya baik

Namun begitu, ia tidak bermakna orang Melayu berpecah. Perpaduan tidak semestinya baik, seperti mana perpecahan tidak semestinya buruk. Kalau bersatu atas perjuangan yang baik, maka hasilnya adalah baik. Tetapi kalau bersatu atas perjuangan yang buruk, maka hasilnya buruk. Begitu juga dengan perpecahan.

Adalah mustahil untuk berlaku perpaduan yang mutlak. Manusia mempunyai pelbagai ragam termasuk pandangan dan sikap. Sudah tentu mereka mempunyai pandangan politik berbeza dan memberi sokongan kepada parti politik berlainan.

Dalam sejarah tidak pernah mana-mana bangsa memberi sokongan kepada sesebuah gerakan secara mutlak. Perpaduan mutlak tidak ada. Yang ada ialah kebanyakan atau majoriti sesuatu sokongan bangsa kepada mana-mana pihak. Itulah apa yang disebutkan sebenarnya sebagai perpaduan.

Mitos bahawa Melayu berpecah sering kali dikaitkan pula bahawa orang Cina bersatu. Kalau orang Melayu menyokong parti yang berlainan maka mereka dikatakan berpecah. Orang Cina menyokong parti berlainan tidak pula dikatakan berpecah.

Ini kerana orang Cina dikatakan bersikap bersatu dalam menghadapi isu-isu Cina seperti soal bahasa Cina, sekolah Cina, kebebasan beragama dan menolak Dasar Ekonomi Baru.

Tanggapan ini menggambarkan seolah-olah Melayu yang berlainan parti tidak bersatu dalam isu-isu Melayu. Apabila orang Melayu menyokong PAS dan KeADILan, maka dikatakan bahawa mereka dalam Pakatan Rakyat menolak isu-isu Melayu.

Sedangkan orang Melayu dalam PAS dan KeADILan tetap mendokong kepentingan Melayu, seperti memartabatkan bahasa Melayu dan hak memperbaiki kedudukan ekonomi orang Melayu.

Secara umumnya orang Melayu, seperti juga orang Cina tetap bersatu dalam memperjuangkan kepentingan mereka. Tetapi tentunya mereka berlainan pendapat khususnya dari segi pendekatan lebih-lebih lagi apabila mereka kecewa dengan kegagalan Umno.

Maka apabila sesebuah parti politik itu gagal, wajarkah mereka terus menyokong sesuatu kegagalan? Tentunya tidak.

Pendekatan sememangnya berbeza tetapi matlamat serupa. Suatu contoh jelas. Umno menyokong gagasan ketuanan Melayu. Tetapi dari segi pendekatan, mungkin itu tidak dicerminkan dan tidak berjaya sepenuhnya. Selain itu, gagasan ketuanan Melayu yang dipegang Umno ada unsur perkauman dan penindasan. Itu menurut sesetengah pandangan.

Gagasan ketuanan Melayu umpamanya bermaksud bahawa Malaysia berasal dan berasaskan kepada negeri-negeri Melayu yang mempunyai raja-rajanya dan rakyatnya yang merupakan bangsa Melayu.

Atas perjalanan sejarah, ia menjadi negara moden Malaysia sebagai negara yang berasal dan berasaskan Melayu. Itu terlihat dalam perlembagaan Malaysia yang menetapkan Raja-Raja Melayu sebagai ketua negeri masing-masing dengan secara bersistem menjadi ketua negara bagi Malaysia.

Dukung Perlembagaan

PAS dan KeADILan mendukung Perlembagaan Malaysia. Begitu juga dengan DAP. Bermakna Pakatan Rakyat mendukung Perlembagaan Malaysia. Ketuanan Melayu seperti yang terdapat dalam Perlembagaan didukung oleh Pakatan Rakyat.

Tetapi bukan ketuanan Melayu yang bersifat perkauman dan meminggirkan kaum lain seperti mana yang difahamkan oleh sebahagian daripada orang Melayu yang menyokong Umno.

Dalam hal ini, ada dua fahaman lain yang dipegang oleh Pakatan Rakyat. Bagi DAP dan KeADILan ada gagasan yang disebut sebagai ketuanan rakyat. Sementara PAS pula mendukung ketuanan Islam.

Ketuanan rakyat dan ketuanan Islam juga tercermin dalam perlembagaan Malaysia. Ketuanan rakyat menunjukkan semangat demokrasi sementara ketuanan Islam meletakkan agama ini sebagai kepercayaan tertinggi bagi negara.

Adakah orang Melayu yang mempunyai pandangan berbeza dalam hal ini dikatakan berpecah? Banyak orang Umno turut menyokong ketuanan rakyat dan ketuanan Islam jika mereka diberi kefahaman mendalam. Ini kerana seperti ketuanan Melayu, ketuanan rakyat dan ketuanan Islam berada dalam jiwa orang Melayu. Melayu tidak berpecah dalam hal ini.

Dalam sejarah pun, Melayu mempunyai keragaman pandangan politik dan ia tidak bererti berpecah. Apabila Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) keluar daripada Umno, itu tidak bermakna Melayu berpecah. Mereka keluar daripada Umno antara lain kerana Umno tidak mahu memperjuangkan kemerdekaan.

Umno hanya mahu mengekalkan kedaulatan Melayu dalam naungan British. Tetapi itu tidak bermakna Melayu berpecah kerana kedua-dua pihak menjunjung kepentingan Melayu.

Walaupun nanti apabila orang Melayu bertambah sokongannya kepada Pakatan Rakyat, itu tidak bermakna orang Melayu bertambah berpecah. Malahan ia bermakna orang Melayu bertambah bersatu di bawah Pakatan Rakyat. Umno adalah sebuah parti politik. Umno bukan Melayu sepenuhnya dan Melayu bukan Umno sepenuhnya. _

No comments: