Thursday, June 4, 2009

MOHAMAD SABU PEJUANG SEJATI

Oleh: Veteran Harakah


Sudah lama saya tidak menulis di blog saya ini. Bukannya tidak mahu tetapi masa yang terlalu terhad buat saya. Tetapi hari ini, walau apa pun berlaku, saya mesti menulis tentang sahabat lama saya Muhamad bin Sabu (Mat Sabu).

Saya dengar berita beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar PAS yang akan berlansung Jumaat ini. Saya harap beliau akan menang. Ini bukanlah kerana beliau sahabat baik saya, tetapi pada pandangan saya beliau memang layak untuk jawatan itu.
Saya kenal Mat Sabu sejak tahun 70an lagi. Masa itu beliau masih bujang dan berkerja di CCM Shah Alam. Bila dia kerja malam sebelah pagi dia akan ke Pejabat ABIM, Jalan Daud, Kampung Baru. Kalau dia cuti dia akan ikut kawan-kawan ABIM berceramah atau buat program di luar kota.

Dia mula jinak dan aktif dengan PAS semasa Ustaz Zabidi Ali sebagai MP Permatang Pauh lagi iaitu diakhir tahun 70an. Selepas itu seingatan saya, Mat Sabu tidak surut sedikit pun dengan perjuangan PAS walaupun berkali-kali ditahan di Kemunting di bawah ISA dan juga dikenakan tahanan daerah di Kuala Pilah.
Selepas beliau berkahwin dengan Kak Normah, perjuangannya dalam PAS tidak juga kendur. Malahan beliau telah meletakkan jawatan di CCM kerana ditawarkan bertanding di Kepala Batas dalam pilihanraya umum 1982. Beliau tidak berdolak dalik bila diarahkan menjadi calon, walaupun dia tahu dia akan berhadapan hilang punca pendapatan selepas pilihanraya nanti.

Ini berbeza dengan sesetengah pemimpin PAS yang ada hari ini. Mereka aktif dalam PAS setelah mereka pencen dari jawatan, setelah tidak ada kerja lain mahu dilakukan. Perjuangan mereka dalam PAS tidak lebih sebagai memenuhi masa terluang. Walaupun mereka pernah diminta bertanding atas tiket PAS tetapi mereka menolak dengan berbagai alasan.
Lebih huduh lagi ada kalangan yang lain, yang aktif dalam PAS selepas Anwar Ibrahim disingkir dari UMNO. Walaupun mereka tidak menjadi ahli UMNO tetapi kita tahu mereka tidak mahu aktif dalam PAS kerana tidak mahu bertembung dengan Anwar Ibrahim yang pada masa itu begitu berpengaruh dalam UMNO.

Selepas kalah dalam pilihanraya 1982, Mat Sabu terus menghambakan dirinya sepenuh masa dengan perjuangan PAS. Kepetahannya berceramah dengan suara paraunya boleh menarik ribuan pendengar. Beliau menjadi antara penceramah PAS yang paling digemari. Popularitinya setanding dengan Tuan Guru Haji Hadi dan Ustaz Fadzil pada masa itu. Ini menjadikan Mat Sabu tidak lekat di rumah kerana sentiasa mendapat undangan ceramah di seluruh negara.
Disebabkan beliau jarang berada di rumah hinggakan anaknya sendiri merasakan ayahnya sebagai pendatang di rumahnya sendiri. Pernah beliau menceritakan kepada saya, anak kecilnya Huda bertanya semasa ia mahu keluar berceramah, " ayah bila nak datang lagi".....
Hari ini bila gelombang politik bertukar rentak dan PAS telah berjaya menubuhkan kerajaan di Kelantan dan Kedah dan bersama PKR dan DAP di Selangor dan Perak. Ramai kalangan yang dulunya memandang sepi kepada PAS, kini mula memanjang-manjangkan leher supaya muka mereka terlihat.

Tetapi saya sebagai pemerhati dari jauh tetap melihat Mat Sabu sebagai pejuang PAS yang tulin yang tidak tergugat dengan tekanan dan kepayahan perjuangan dan juga tidak terliur dengan kesenangan dan kemewahan. Perwakilan PAS lebih berhak menentukan siapa patut mereka angkat sebagai Timbalan Presidennya tetapi kalau saya sebagai perwakilan, saya akan mengundi Mat Sabu.

1 comment:

jijan said...

Bang Mat dengan penuh yakin berkata "kita sama2 meraikan kemenangan Bang Mat pada 23hb di Sabak Bernam,program macam biasa menjala ikan dibendang"..
Insyaallah....