Saturday, August 30, 2008

TERAS BELANJAWAN

Petang jumaat kelmarin Pak Lah telah siap membentang Belanjawan 2009. Pesta memuja belanjawan itu pun terbentang di dada akhbar hari ini. Semua orang akan menunggu apabila Anwar membahaskan belanjawan ini selaku Ketua Pembangkang. Tentulah umph apabila bekas Menteri Kewangan sendiri yang membahaskannya. Dan tidak kurang penting, kita nak melihat bagaimana Pak Lah menggulungnya nanti.

Aku hanya nak sentuh satu isu belanjawan sahaja.

Isu utama belanjawan ialah keberkesanan sistem agihan secara adil dan berkesan kepada golongan sasaran. Ia memerlukan pelaksana yang cekap dan bebas rasuah. Bajet sudah 51 tahun, tetapi isu-isu asas ekonomi seperti kemiskinan rakyat dan kelengkapan prasarana asas masih tidak selesai. Kos projek termasuk 'kos rasuah' dan kos kontraktor pelbagai peringkat(main con, sub con, sub-sub con) menyebabkan projek yang bernilai RM 10 juta menjadi RM 50 juta. Sepatutnya projek prasarana di seluruh negara boleh disiapkan dalam tempoh 10 ke 30 tahun tetapi sehingga 51 tahun pun belum berjaya disempurnakan.

Pengalaman di kampong sendiri, projek PPRT pun diselewengkan. Bukan isu orang bukan Umno yang tak dapat bantuan PPRT, tetapi bantuan hanya diagih-agihkan kepada klik pimpinan Umno cawangan sahaja. Yang patut dapat menganga sahaja.

Jika negara masih lemah dalam sistem kawalan samada terhadap sumber maanusia atau sistem pengurusan serta pelaksanaannya, maka belanjawan hanya indah semasa hari pembentangan sahaja. Dan hari belanjawan ialah hari menunggu berita bonus gaji kepada kakitangan awam. Jika ada bonus, belanjawan bagus. Jika tiada, belanjawan tidak prihatin.

No comments: