Sunday, May 24, 2009

MENGAPA RAGU DENGAN NASHARUDIN

Oleh: Penarik Beca

Saya menyokong sepenuhnya cadangan Ustaz Dr Harun Din di dalam apa yang diSMSkan merata-rata sebagai "Jubli Kekempenan Ulama (baca: Ustaz Nasharudin Mat Isa)" di Markaz Tarbiyyah PAS, Taman Melewar:
Keahlian PAS boleh menerima sesiapa sahaja yang Islam dan mereka adalah penentu kepada kepimpinan PAS itu sendiri. Ini akan membuka peluang besar kepada Umno atau musuh luar negara untuk meramaikan ahli PAS bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam.
Seperti orang lain, saya juga sangat bimbang kepada musuh di luar negara. Sebab itulah, para pemimpin negara atau parti Islam mesti berhati-hati berurusan dengan pihak luar negara terutama negara-negara kuasa angkuh seperti Amerika Syarikat.

Sebab itulah, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan yang luar biasa dari negara-negara luar, saya rasa tak sedap hati. Saya tak tuduh. Tapi, saya rasa tak sedap hati.

Lebih tak sedap hati lagi kalau wujud dakwaan ada pemimpin PAS yang selalu berseorangan ke Amerika, Australia, Singapura.

Persoalannya, benarkah ada pemimpin PAS yang sering pergi seorang diri ke Amerika, Australia, Singapura dan menginap di hotel enam bintang di pulau itu serta melakukan transaksi melibatkan wang di sana?

Kalau benar, saya rasa tak sedap hati. Saya tak berani tuduh. Tapi kalau benar, saya rasa tak sedap hati.

Maklumlah, ada perkara yang pada awalnya dicelakan sebagai fitnah tetapi akhirnya terbukti memang benar-benar berlaku seperti perkhabaran mengenai berkendak politik dalam gelap dengan Umno.

Dr Harun juga kelihatan bimbang Umno akan mengambil peluang menghantar orang-orangnya "bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam".

Memang, semua orang mesti merasa bimbang seperti beliau kalau Umno buat kerja seperti itu.

Kalau benar, ia sama bahaya dengan kenyataan Dr Harun sendiri di muka hadapan salah satu keluaran akhbar Siasah yang mencadangkan PAS dan PKR dibubarkan serta ditubuhkan parti baru yang berketuakan Anwar. Na'uzu biLlahi min zalik!

Mengambil kira kebimbangan Dr Harun itu, saya tertanya-tanya benarkah dua orang yang saya kenali sebagai pak yet Anwar menjadi orang yang mula-mula mengatur pertemuan antara beberapa orang berkedudukan tinggi dalam PAS dengan hamlau-hamlau berkedudukan tinggi dalam Umno.

Jika benar dua orang yang saya kenali sebagai pak yet Anwar itu melakukan kerja sebusuk itu, adakah mereka patut dimaafkan? Saya juga tertanya-tanya adakah mereka sudah berhenti menjadi pak yet Anwar kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak lagi menjadi pembesar Umno dan tidak ada lagi projek untuk diberikan? (Masih ingat business deal di Hotel Ming Court?)

Saya juga tertanya-tanya benarkah wujudnya kutu cikai yang didakwa bernama Datuk Wan Abu Bakar dari Task Force 2010 yang menjadi tok dalang langkah politik beberapa orang dalam PAS? Langkah politik itu pula didakwa bertujuan melunakkan pendirian ahli-ahli PAS terhadap Umno sehingga bersedia berkerjasama dengan parti itu atas dasar memilih darurat yang lebih ringan atau akhafud-dharurain.

Saya sebut kutu cikai kerana kedudukannya yang dilaporkan setakat satu dua takah sahaja di atas pangkat kapten. Jika benar wujudnya kutu cikai itu dan jika benar beliau menjadi tok dalang kepada langkah politik beberapa orang berkedudukan tinggi dalam PAS, tak patut sungguh kalau kutu kemere seperti itu yang menjadi pengatur langkah politik orang-orang yang berkedudukan begitu tinggi serta berilmu tinggi di dalam PAS.

Sedangkan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusatlah yang sepatutnya memberikan kata putus mengenai langkah politik itu jika benar wujudnya langkah politik berdasarkan propaganda kurang ajar dari kutu cikai yang kedudukannya hanya setakah dua sahaja di atas pangkat kapten itu.

Jangan lupa, Revolusi 1982 di dalam muktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka dahulu berlaku antara lain kerana langkah politik PAS sentiasa berlainan dengan keputusan Jawatankuasa Agong PAS ketika itu. Masihkah wujud elite circle yang membuat keputusan di dalam PAS yang di luar dari pengetahuan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat?

Dengan memohon maaf kepada yang telah pergi dan yang masih hidup dalam keadaan uzur, pada masa itu bergema tuduhan bahawa keputusan di dalam PAS dibuat di "nombor 10 Downing Street" (sebenarnya nombor 10, Jalan Swee Guat iaitu rumah Almarhum Tan Sri Asri Muda) dan dibuat oleh Asri, (Almarhum Puan Sri) Sakinah (Junid) dan seorang lagi yang saya tak gamak sebut namanya kerana dia sangat uzur. Bukan soal benar atau tidak tuduhan itu. Tetapi itulah tuduhan yang sering bergema waktu itu.

Mengenai kutu cikai itu lagi, benarkah kutu kemere itu diupah mencari jalan untuk melanjutkan pemerintahan seorang Perdana Menteri yang dituduh bodoh dan melingkupkan partinya sendiri? Rasa-rasa macam kenal Perdana Menteri yang mempunyai deskripsi seperti itu. Siapa agaknya yang hendak berhenti pada tahun 2010 tetapi dihambat dari kedudukannya sebelum sempat menarik nafas dua tiga kali?

Mungkin sebab itulah projek kutu cikai itu dinamakan Task Force 2010.

Jika benar berlakunya langkah politik berasaskan proganda kutu cikai itu, benarkah propaganda kutu cikai itu dipercayai oleh orang orang-orang yang berilmu tinggi termasuk yang mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi, ijazah sarjana malah ada yang mempunyai PhD?

Jika benar mereka terpedaya dengan propaganda taik kucing kutu cikai itu, tidakkah mereka tahu bahawa karut-marutnya itu adalah sebahagian dari grand design untuk menyelamatkan dan mengekalkan kuasa seorang Perdana Menteri yang dituduh bodoh dan melingkupkan partinya sendiri?

Jika benar, mengapa mereka menjatuhkan kedudukan mereka kepada penipuan kutu cikai yang yang kedudukannya hanya setakah dua sahaja di atas pangkat kapten itu? Benarkah kutu cikai itu menjalani kehidupan yang tidak bertepatan dengan apa yang dihalal dan diharamkan oleh Islam? Jika benar, adakah orang-orang berkedudukan tinggi di dalam PAS itu tidak tahu perkara tersebut?

Dalam pertemuan antara beberapa orang berkedudukan tinggi dalam PAS dengan hamlau-hamlau berkedudukan tinggi dalam Umno selepas pilihan raya umum tahun lalu itu, benarkah pengarah jawatankuasa tertentu di dalam PAS memberitahu Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa tokoh-tokoh muda di dalam PAS mudah sangat diyakinkan supaya menerima langkah politik berdasarkan propaganda kutu cikai itu?

Benarkah Dr Harun sendiri mengadakan tiga kali pertemuan dengan Abdullah. Saya tidak tuduh dan hanya bertanya. Saya juga tidak tahu sebab pertemuan itu, jika ia benar berlaku. Mungkin Abdullah hendak ubat.

Saya sama sekali tidak bersetuju dengan usaha mewujudkan kerajaan katak 16 September (lihat posting saya, "Tun boleh la, Tun Banyak duit"). Tetapi saya lebih tidak bersetuju jika benar dakwaan bahawa kenyataan penentangan pengarah tertentu terhadap empayar katak itu dibuat berdasarkan keputusan apa yang didakwa sebagai "komiti Wan Abu Bakar" itu.

Saya amat sedih apabila ada yang mendakwa bahawa program di Markaz Tarbiyyah semalam adalah extension dari usaha demi usaha untuk menepis keresahan ahli-ahli PAS terhadap langkah-langkah politik yang diilhamkan oleh perancangan busuk kutu cikai itu.

Allah Maha Menyaksikan segala-galanya. Saya tidak tahu dan saya bertanya. Dan, jika saya mereka-reka fitnah, Allah jua yang akan menghukum saya. Kepada Allah saya menyerah diri.

2 comments:

Anonymous said...

kepimpinan yg ada sebelum ni kan dah ok , apa lagi . kepimpinan bukan utk ditukar tapi yg bolih memimpin dgn tidak lari dari matlamat asal .

Anonymous said...

Kita harus memilih pemimpin yang telah di uji dan di cuba dengan berbagai cabaran dan dugaan juga dengan berbagai penderitaan seperti ISA,Gas pemedih mata dipenjara dan Ketika PAS dalam keadaan lemah dan juga PAS dalam keadaan kuat Kita harus bertanya dimanakah individu tersebut ketika parti dalam keadaan demikianJustru dari rekod kerja sejauah mana pengorbanannya terhadap parti dan perjuangan,adakah pemimpin itu meletakan kerja parti lebih utama atau kerja habuan dunia lebih utama.Dimana kah kebanyakan masa hidup nya di habiskan adakah berceramah hampir setiap malam atau tersepit dirumah>.Sekiranya kita dapat buat penilaian kita akan berjumpa pemimpin yang sebenarnya