Wednesday, February 11, 2009

ULANG TAHUN REVOLUSI ISLAM IRAN

Oleh: Omar Abdul Aziz

11 Februari adalah ulang tahun Revolusi Islam di Iran. Revolusi itu telah mencorak kebangkitan dan gerakan Islam abad ke-20. Kini dunia berada pada awal abad ke-21.

Maka, dapatlah dibuat penilaian kejayaan dan kegagalan Revolusi Islam kepada dunia Islam. Tetapi pokoknya, ia telah memberikan pengaruh besar kepada pergerakan Islam sedunia. Walaupun Revolusi Islam itu diketuai oleh Ayatullah Ruhollah Khomeini, tetapi ia merupakan pergerakan yang telah diberi sumbangan oleh banyak tokoh, baik dalam bentuk pemikiran mahupun tindakan. Tentunya pemikiran Ali Shari’ati, umpamanya turut memberi sumbangan kepada Revolusi Islam itu.

Nilai utama revolusi itu, seperti mana revolusi-revolusi moden terdahulu ialah penolakan terhadap penindasan serta pembebasan rakyat. Dan revolusi ditakrifkan dalam pelbagai bentuk.

Tetapi untuk tujuan perbincangan di sini, revolusi yang dimaksudkan adalah revolusi politik yang kemudian membawa kesan kepada semua segi kehidupan masyarakat termasuk ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain. Untuk memahami perspektif perbincangan, dalam dunia moden, terdapat tiga revolusi utama iaitu Revolusi Perancis pada kurun ke-18, Revolusi Russia pada tahun 1917 dan Revolusi Iran pada tahun 1979.

Revolusi Perancis yang menjunjung demokrasi mempengaruhi Revolusi Russia. Sementara Revolusi Russia yang menjunjung sosialisme turut mempengaruhi Revolusi Iran. Tetapi tentunya, paling istimewa bagi umat Islam ialah Revolusi Islam Iran. Persamaan revolusi-revolusi itu adalah perjuangan kesaksamaan untuk rakyat. Konsep membebaskan manusia daripada penindasan golongan elit merupakan tema kepada revolusi itu.

Namun begitu, Ali Shari’ati, seorang intelektual berjaya merangkumkan semangat kerakyatan moden dalam perjuangan Revolusi Islam dengan meletakkan konsep Shi’ah Merah, iaitu agama yang memperjuangkan kepentingan rakyat dalam menentang rejim Shah Iran.

Tetapi Ayatullah Khomeini sebagai seorang ulama menyempurnakan fahaman ini apabila gagasan Wilayatul Faqih meletakkan Revolusi Islam di Iran di tempat yang kukuh sebagai asas perjuangan rakyat dalam konteks politik gerakan islam sejagat dalam era moden.

Semangat perjuangan pembebasan rakyat inilah yang menjadi inti kepada gagasan Kepimpinan Ulama dalam PAS pada tahun 1982, yang kemudiannya merubah parti ini sebagai sebuah parti politik kepada gerakan Islam yang revolusioner. Revolusioner di sini bermaksud bukan mahu melancarkan revolusi berbentuk keras tetapi revolusi yang mengubah minda, budaya dan politik di negara ini.

PAS saat itu yang dipimpin oleh Yusof Rawa dan Fadzil Noor menjadi wadah kepada semangat perjuangan barunya. Dengan semangat itulah, PAS menyertai pilihan raya tahun 1986. Inilah dia semangat 1986. Kini bolehlah dibuat penilaian tentang apa yang berlaku pada tahun 1986, mengenai kejayaan dan kegagalan semangat yang disalurkan oleh Revolusi Islam Iran ke dalam PAS.

Tetapi untuk memahami inti fahaman Revolusi Islam yang turut diterima oleh PAS, maka wajar pula membahaskan konsep Mustadhafiin dan Mustakbirin. Istilah-istilah ini digunakan oleh Ayatullah Khomeini.untuk menggambarkan golongan tertindas, dan golongan yang menindas.

Dari sudut antarabangsa, Mustakbirin adalah Amerika Syarikat (AS) dan Mustadhafiin adalah negara-negara yang ditindas termasuk Iran . Tetapi maksud Mustakbirin adalah golongan takbur sementara Mustadhafiin adalah golongan dhaif. Istilah-istilah ini adalah dalam Al-Quran dan kalau hendak memahami maksud dalam konteks, bolehlah merujuk kepada tafsir dan Asbabun Nuzul.

Dalam konteks antarabangsa, memang mudah untuk melihat siapa dia Mustakbirin. Istilah Inggeris iaitu hegemoni menggambarkan juga konsep Mustakbirin. Tetapi kalau hendak merujuk Mustadhafiin sebagai golongan proletar dalam istilah Marxis, ia kurang tepat. Dhaif, dhuafaa, mustadhafiin bukan saja miskin dari harta, tetapi dalam serba-serbi hingga mereka mudah ditindas, dipinggir dan diperalatkan.

Revolusi Islam mahu membebaskan golongan Mustadhafin. Untuk membicarakan sama ada Republik Islam Iran berjaya melakukan perkara ini atau tidak adalah soal lain.

Revolusi Islam adalah suatu konsep yang pernah diulas terperinci oleh Almarhum Dr Kalim Siddiqui dari Muslim Institute London. Ia dikaitkan dengan konsep Republik Islam. Gagasan Republik Islam itu juga berbeza dengan republik-republik yang ada di dunia. Tetapi sama ada Republik Islam Iran yang ada menepati gagasan asal boleh didebatkan. Maka Revolusi islam, Republik Islam dan Gerakan Islam dikaitkan sebagai satu paduan untuk membawa cita-cita perjuangan.

Khomeini menolak penubuhan Parti Islam, sementara Kalim Siddiqui mengalu-alukannya dengan menyebut kedudukan tinggi Gerakan Islam mengatasi Parti Islam. Tetapi di Malaysia setengah kalangan berpendapat bahawa Gerakan Islam ialah Parti Islam.

Maknanya wadah perjuangan bagi Gerakan Islam ialah Parti Islam, dan tidak ada yang lain. Sementara ada pihak pula menggambarkan Gerakan Islam sebagai gabungan mana-mana pertubuhan yang memperjuangan Islam termasuk Parti Islam dan juga NGO lain yang berkongsi perjuangan.

Tetapi apa yang boleh disebut sebagai perjuangan Islam membawa maksud luas, umum dan boleh jadi tidak berkesan. Untuk memudahkan fokus, dalam konteks semangat Revolusi Islam Iran , apabila diterjemahkan di Malaysia, ia tidaklah disebut sebagai Revolusi Islam.

Rangkaian Revolusi Islam, Republik Islam dan Gerakan Islam di Iran apabila diterjemahkan ke Malaysia menjadi Perjuangan Islam, Negara Islam dan Parti Islam. Tetapi akhirnya konsep Negara Islam didebatkan di Malaysia hingga membawa kepada jalan buntu. Sementara Perjuangan Islam menjadi cair hingga lupa apa konsep asalnya. Parti islam hanya menjadi salah sebuah parti politik bermain politik bagi mendapatkan kuasa dan menafikan kuasa daripada jatuh kepada pihak lain.

Kembali kepada gagasan Perjuangan Islam, iaitu yang merupakan tafsiran daripada Revolusi Islam. Intinya membela Mustadhafiin dan menolak Mustakbirin. Tetapi apa dia dalam konteks Malaysia dan PAS?

Program kebajikan hakikatnya adalah contoh perjuangan membela Mustadhafiin: iaitu membantu golongan dhaif. Tetapi ia hanya sebahagian. Dhaif di sini bermaksud ia terjadi demikian kerana ditindas oleh Mustakbirin. Maka, di sinilah perlunya kita menyemai kembali semangat Revolusi Islam!

2 comments:

Anonymous said...

apakah kita juga sekrang menuju satu revolusi seperti Iran?

Cikli said...

salam,

persamaan iran dan perak sama-sama ditadbir oleh seorang engineer berjiwa Islam.