Tuesday, July 29, 2008

ISLAM UMAR ATAU ISLAM MUAWIYAH PILIHAN PAS

Kini ada 3 MB Pas mentadbir kerajaan negeri. Apakah model islam yang mahu diikuti oleh MB ini. TG Nik Aziz sejak 1990 telah menunjukkan watak sederhananya. Inilah yang menjadi kekuatan sokongan rakyat Kelantan kepada Pas. Walaupun ada cakap-cakap politik balak, imej TG Nik Aziz berjaya menyelamatkan Kelantan sehingga sekarang. Jelas rakyat bersedia susah sama susah dengan pemimpinnya. Jangan rakyat susah, tetapi pemimpinnya dilihat hidup mewah.

Sejarah Islam mencatatkan gaya kepimpnan Umar Ibn Al Khattab dan Umar Abd Aziz sebagai rujukan pemerintahan yang baik. Mereka berdua menentang gabenornya yang hidup mewah dan yang menindas rakyat. Hatta isteri mereka tidak boleh menerima sebarang hadiah. Jika engkau bukan isteri Khalifah, mereka tidak akan memberi sebarang hadiah, itulah intipati kata yang diucapkan oleh kedua-dua khalifah itu kepada isterinya. Ungkapan itu menjadi kebanggaan sejarah sehingga kini. Kekadang terasa sedih pula bila geng syiah mempertikaikan kehebatan Umar ini. Umar bisa berehat di bawah pohon tanpa takut diancam musuh. Baju barunya pun ditanya oleh sang makmum ketika berkhutbah Jumaat. Jika sekarang ada makmum yang bertanya MB yang sedang berkhutbah macam itu, barang tentu makmum itu kena hamun.

Gaji, elaun dan kemudahan MB serta exco cukup lumayan. Semua negeri di Malaysia lebih kurang sama sahaja kadar yang diterimanya. Gaji, elaun dan kemudahan ini sudah cukup bagi mereka untuk tidak mencari sumber lain yang haram. Malah ianya boleh dikurangkan untuk kepentingan rakyat terbanyak. Besar sekali peranan MB untuk berhemat supaya memudahkan kerajaan negeri berjimat dalam berbelanja khususnya perkara yang berkaitan dengan Sultan Negeri dan istana. Jika belanja istana dapat dijimatkan, banyak lagi belanja untuk rakyat dapat dimanfaatkan. Bila menjemput Raja luar guna jet khas, itu satu yang malang sekali. Jika program yang dirancang diketahui tarikhnya, maka usaha menggunakan kapal terbang biasa boleh dilakukan. Nak bagi hujjah memang ada. MB perlu ada kekuatan menasihat Sultan supaya berbelanja wang rakyat secara berhemat.

Kerajaan PR hendaklah berbeza dengan BN. Keutamaan belanjawan hendaklah dibuat. TG Nik Aziz alim dengan kitab fiqhnya. Ustaz Azizan bekas anggota MAPEN, bijak dan tangkas sekali dalam bengkel MAPEN dahulu. Nizar berpengalaman melaksanakan projek yang besar-besar. Rasanya tidak perlu dinasihat. Hanya harapan kita ialah ketiga-tiga MB menjadikan 2 Umar sebagai rujukan peribadi dan pemerintahan mereka. Jika Muawiyah mau dijadikan model, walaupun ulama-ulama ada hujjah untuk mengikutnya; ianya bukan model untuk menunjukkan kelainan pemerintahan Pas dengan BN.

Kita bukan sahaja mau MB berwatak sederhana, tetapi sekaligus anggota exconya.

Setakat ini KM Pulau Pinang yang berkata akan mencontohi Umar. MB Pas tidak pula berkata begitu. Mengapa ya?


No comments: