Sunday, October 5, 2008

BERAYA BERSAMA AH MENG


Jiran ibu mertuaku di Felda Bukit Rokan, Gemencheh seorang peneroka berbangsa Cina, namanya Tan Fok Hong. Tetamu istimewa kami setiap Hari Raya ialah Ah Meng, 24 tahun, tergolong "kanak istimewa"sejak lahir lagi. Ah Meng merupakan cucu Tan Fok Hong. Dia tinggal dengan datuknya berdua. Neneknya sudah meninggal. Dia kesunyian. Ketika hari raya dia sentiasa bersama kami

Ketika hari terakhir Ramadan, Ah Meng 'berbuka puasa' bersama kami sekali. Dia pandai memberi salam, mengangkat tangan berdoa dan menyebut alhamdulillah selepas makan. Sepanjang 3 hari aku di rumah mertuaku, dia bersama kami sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Dia seronok bersama kami. Kami berbual dan bergurau senda dengan dia. Ishak, adik iparku, berkata kepada Ah Meng "kau pasti masuk syurga. Jika tuhan bagi syafaat kepada kau, bawalah kami ke syurga sekali". Berderai kami ketawa. Jika betul alangkah baiknya.

Ketika kami bersiap hendak balik ke KL semula, nampak sangat sedihnya. Dia kehilangan teman dan kehilangan suasana kegembiraan hari raya. Aku pun terfikir BN sibuk dengan isu perpaduan yang tak selesai-selesai. Tapi kami di Felda hidup rukun damai. Anak jiran walaupun berlainan agama seperti anak kami juga.

Bacaan tambahan. Raya di China, klik di sini.

No comments: