Sunday, October 5, 2008

NOSTALGIA LAMPAU DI HARI RAYA

1 Syawal bukan tahun baru bagi orang berbangsa Melayu yang perlu di sambut secara besar-besaran dan beria-ia sangat sepertimana orang Cina menyambut Tahun Barunya. Orang Arab tidak menyambut hari raya sehebat orang Melayu. Mereka bersolat aidil fitri, berpuasa 6 dan jika berjumpa satu sama lain mengucapkan "eid mubarak" sahaja. Tetapi orang Melayu menyambut 1 Syawal dengan balik kampongnya, dengan masakan lauk pauk dan kueh muehnya, dengan kunjung mengunjung, dengan open housenya, dengan lagunya, dengan pelbagai program radio tvnya dan macam-macam lagi. Orang Arab pun kagum dengan Islam Malaysia dalam hal meyambut hari raya ini tau.

Mengapa orang berbangsa Melayu menyambut aidil fitri sebegitu rupa khususnya balik kampong. Aku bertanya kepada anak isteriku " mengapa perlu balik kampong" setiap kali hari raya. Mereka enggan menjawab. Agaknya takut alasan atau hujah mereka tak kuat untuk balik kampong nanti. Bagi kami isu balik kampong tak timbul kerana kerap sangat balik kampong. Ada kalanya 2 kali seminggu bib. Dari KL ke Gemenceh memerlukan 2 jam setengah tu. Tetapi mengapa kena balik kampong juga ketika hari raya.

Banyak le kami bersoal jawab dan masing-masing tak puas hati akan jawapan mengapa perlu balik kampong ketika hari raya. Pagi ini ketika membaca satu rencana wartawan veteran di Utusan Melayu, ia memulakan tulisannya seperti berikut "Kita tidak hidup dalam zaman lampau tetapi masa lampau berada dalam jiwa kita, demikian pesanan tokoh sejarah".

Ya, nostalgia lampau menghambat kita rupanya. Nostalgia beraya dengan ibu bapa ketika kecil mengingatkan kita. Betapa manisnya beraya dengan ibu bapa walaupun dalam serba kekurangan satu masa dahulu. Orang seusia aku sempat merasa air perigi, lampu gaslin dan rumah bertangga papan. Ketika kecil dahulu dapat baju baru ketika raya sahaja. Makan lauk daging pun ketika raya. Penting sekali raya tu. Agenda tahunan ini berulang-ulang di lalui dan telah terpahat dalam jiwa kita. Radio tv pula asyik membangkitkan kenangan betapa perlu balik kampong. Apa lagi meronta-rontalah jiwa kita nak balik kampong. Sesungguhnya masa lampau menghambat ingatan kita untuk balik kampong. Tidak hairanlah seorang kakak kawanku menangis sebaik sahaja menjengah rumah ibunya yang baru meninggal dunia tahun ini. Dia menangis sebaik sahaja sampai di pintu pagar. Nostalgia bersama ibu ketika raya tidak akan berulang lagi. Seorang sahabat baruku ketika berbuka puasa di masjid Bandar Baru Sentul mengatakan beliau akan balik ke Batu Pahat hanya semata-mata untuk menziarahi kubur ayahnya. Apabila hari raya rindunya membahang sekali. Sahabatku Alwi di Seremban teringat sepanjang Ramadan ini dengan arwah Zainudin Abdulllah (SetiaUsha Unit Amal Pas yang pertama) dan arwah Yusof Sulaiaman (Perintis pengimpot kurma rotab yang pertama di Malaysia).

Ya, masa lampau dalam jiwa kita. Dan masa lampauku yang paling kuat dalam jiwa ialah ketika di Tingkatan Enam Atas di Sekolah Menengah Munshi Abdullah, Melaka. Walau pun 5 tahun sekolah menengah di Gemencheh, dan setahun bersama student terpilih di SMSAH, Jitra, nostalgiaku tetap di Melaka. Hai, kalau ingatkan kuatnya Umno kat Melaka tu, tak mau ingatkan Sekolah Munshi tu. Ha ha ha.




No comments: