Tuesday, September 2, 2008

BAJET: GAJI MINIMUM ATAU REFORMASI EKONOMI

Tahun ini tak dengar sangat komen MTUC tentang desakannya mahu gaji minimum. Bila Bajet umumkan pencen minimum RM 750.00, ramai bekas pesara lega sekali. Kebanyakan kakitagan kerajaan kumpulan D (sebutan dahulu, sekarang tak tahu) gaji akhir mereka di bawah RM 1,000.00. Maka pencennya setakat RM 500.00 sahaja. Kini dengan pencen minimum RM 750.00 bolehlah 'mengeteh' di warung kampung. Ha ha.

Bajet berkaitan dengan agihan yang adil dan pemerataan pendapatan negara. Dengan agihan yang betul dan pemerataan pendapatan, maka jurang pendapatan dapat dikurangkan. Itulah tujuan sesuatu ekonomi negara. Golongan Kesatuan Pekerja seperti MTUC berminat dengan strategi gaji minimum untuk memberi satu pendapatan kepada rakyat yang melepasi paras kemiskinan tegar.

Sebenarnya isu besar ekonomi ialah wujudnya pendapatan perkapita(pendapatan purata) negara yang tidak menggambarkan pendapatan rakyat yang sepatutnya. Jika pendapatan perkapita RM 20,000 misalnya, adakah majoriti rakyat berpendapatan RM 20,000?. Jawapannya TIDAK. Jika ada 2 orang; seorang berpendapatan RM 38,000.00 dan seorang lagi berpendapatan RM 2,000.00, maka pendapatan purata 2 orang itu ialah RM 20,000. Dengan ini pendapatan perkapita yang diumumkan oleh negara tidak dapat menggambarkan pendapatan rakyat Malaysia kerana ia tidak dapat menjelaskan isu agihan pendapatan sebenarnya.

Islam bukan komunis, menghadkan pendapatan seseorang yang berkemampuan tetapi juga bukan kapitalis sehingga negara tidak mengawal seseorang itu membolot peluang ekonomi negara sehingga tidak memberi peluang kepada orang lain. Peluang mesti diagih secara adil dan ada hadnya. Contohnya seseorang perlu mendapat satu permit teksi untuk membawa satu teksi. Tetapi kerajaan memberi 500 permit teksi kepada satu syarikat yang dimiliki oleh 1 orang. Ini bermakna kerajaan merampas dan menghadkan peluang kepada 499 orang pembawa teksi yang terpaksa menyewa permit orang lain. Inilah yang terjadi kepada pembawa teksi kini, yang menjadi hamba kepada syarikat pemilik permit. Ini kes kecil sahaja. Banyak kes besar lagi.

Jika seseorang itu pemegang lesen Maxis, orang itu sudah terlalu kaya. Orang yang sama juga memegang lesen Astro pula. Kaya tambah kaya. Sepatutnya kerajaan boleh membuka lesen tv berbayar kepada pengusaha lain. Pada zaman ini, modal dan pengetahuan teknikal tidak menjadi masalah jika nak buka peluang kepada orang lain. Tetapi kerajaan beri peluang pada orang yang sama dan sudah jutawan. Kes AP kereta pun macam tu juga. Maka hanya segelintir sahaja yang membolot ekonomi negara. Malah dengan AP kereta, mereka hidup mewah tanpa berniaga, hanya dengan menjual kertas AP sahaja. Ada seorang kawanku telah berniaga kereta mewah lebih 5 tahun, masih gagal mendapatkan AP dan menyewa AP dari golongan macam ini. Ini memerlukan reformasi ekonomi, bukannya bajet yang cantik di atas kertas. Siapakah sanggup membuat reformasi.

Bukan gaji minimum yang perlu diperjuangkan, tetapi pembolotan ekonomi yang perlu dihadkan. Maka barulah ramai rakyat akan mendapat faedah dari ekonomi negara.

Ini bukan satu revolosi. Ini hanya kertas ekonomi Tahun 1 di Universiti!!!. Aku menunggu bilakah Saidina Umar menjelma menghapuskan pembolotan ekonomi ini. Hanya pemimpin yang bebas kroni sahaja yang mampu melaksanakannya.

No comments: