Wednesday, November 12, 2008

ZAKAT BUKAN ISLAM

Pertama kali saya mendengar hujah membolehkan wang zakat digunakan untuk disumbangkan kepada bukan Islam yang miskin, dilontarkan oleh Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu. Tak silap saya idea itu dikemukakan semasa kuliahnya pada bulan Ramadhan lalu dan dalam satu wawancara dengan akhbar Harakah.

Idea ini disambut baik oleh pemimpin Pas yang lain. Memang ada isu ini dibincangkan dalam kitab-kitab Fiqh oleh ulamak-ulamak besar. Tidak hairanlah jika zakat kepada bukan Islam pernah dilaksanakan ketika zaman kegemilangan Islam dahulu sehinggakan hampir 100% Islam dianuti oleh manusia di Tanah Arab.

Tetapi apabila idea ini cuba dilontar oleh Dr Nasir Hashim, salah seorang ADUN di Selangor, ianya telah menimbulkan reaksi negatif oleh ahli Umno sehinggakan satu demo telah dibuat. Bagi Umno, wang zakat hanya untuk orang Islam sahaja. Mereka tak nampak wang zakat boleh digunakan untuk menarik golongan bukan Islam atau sekurang-kurangnya mereka tidak memusuhi Islam.

Jika pihak gereja menggunakan kekuatan wang untuk kebajikan dan memberi makan kepada insan yang tak bernasib baik sehingga ramai dikalangan mereka sanggup memeluk kristian.

Saya ada pengalaman sendiri dalam hal gerakan gereja membantu orang yang susah termasuk kepada orang Islam sendiri. Ketika zaman gawat 1998, seorang rakan saya di Singapura kehilangan sumber rezeki dan cuba mendapat bantuan dari pejabat zakat Singapura. Dia kecewa kerana pelbagai prosidur yang perlu dipenuhi untuk mendapat duit beras hari itu. Oleh kerana terdesak untuk mendapat sedikit makanan, beliau berjumpa dengan pihak kebajikan gereja Singapura. Tanpa banyak soal, pihak gereja terus memberi sumbangan wang dan meminta alamat rumahnya untuk dihantar stok makanan tambahan lagi. Nasib kawan saya itu masih beriman dan tetap dengan Islamnya. Hanya dia terpaksa menebalkan muka meminta bantuan dari pihak kebajikan gereja.

Kelmarin, sahabat seforex saya, Zuhairi, melaporkan ada seorang insan muslim berjumpa dengan Pusat Khidmat Masyarakat Pas Titiwangsa di Kampong Baru memohon bantuan kesesakan hidup. Dia mengaku telah lama menginap di kuartes gereja dan diberi makan oleh pihak gereja. Kita pun hairan kenapa dia tak berjumpa dengan pejabat zakat atau masjid meminta pertolongan atau dia lebih yakin pihak gereja lebih mudah membantunya tanpa banyak soal. Yang dapat saya rasakan ialah Pusat Zakat kita tidak dapat membentuk imej mesra fuqara - sentiasa bersangka baik dengan orang yang mengaku susah dan perlu diberi pertolongan segera.

Ada banyak lagi kes-kes lain yang tak perlu saya sebutkan di sini. Yang saya nak tegaskan ialah bagaimana kita nak berharap zakat dapat digembelingkan untuk membantu non muslim, jika membantu ummat Islam pun masih belum cemerlang lagi.

Institusi zakat kita masih dibelenggu dengan birokrasi pentadbiran pemerintah dan Raja-Raja Melayu sehingga tak nampak sebagai alat paling ampuh untuk meningkatkan martabat ummah. Kalau tak percaya tanyalah MB kita di negeri Pakatan Rakyat. Apakah satu reformasi baru diperlukan.


1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum semua, saya cikgu yang alhamdulillah membuat tuition dan memperolehi pendapatan sampingan di Johor Bahru. Sebagai orang islam saya mesti memberi sedekah kepada orang2 miskin setempat. Terdapat beberapa keluarga miskin yang berurusan dengan saya. Dalam temuramah saya dengan mereka, antara yang saya persoalkan adalah kenapa tidak minta daripada Pusat Islam Negeri Johor untuk mendapatkan bantuan. Kecewa sangat2 kerana jawapan yang saya terima adalah "Saya bukan warganegara Malaysia" (Pejabat Zakat tidak memberikan sumbangan kepada warga negara indonesia yg telah lama bermastautin di Malaysia) atau "Saya tidak dilayan di Pejabat Zakat"