Wednesday, November 26, 2008

BABI OH BABI

Syok sekali cerita babi ini. Tetapi yang paling syok tulsan Faizal Ridzuan dalam KLpos.com. Saya copy n paste sahaja di posting ini. Malah Saya boldkan untuk mudah Alwi dan Aziz Ahmad membacanya. He he. Gurau aja.

Kisah babi dan cerita 'pendekar babi' Zhū Wùnéng

25 Nov 2008 9:49PM

Oleh Faizal Riduan

DI DALAM Bahasa Melayu, perkataan babi merupakan kata kesat bagi tujuan maki hamun, caci cerca, herdik hina dan gelaran babi kepada seseorang adalah satu gelaran terburuk (peringatan kepada orang yang mengelarkannya jauh lebih buruk!).

Malah dalam sejarah Perang Larut Ketiga, Lee Ah Khun pemimpin kumpulan Ghee Hin dan pasangan mukahnya isteri orang dari kumpulan Han San dihukum dengan disumbat dalam raga bekas isi babi dan dihumban ke dalam lombong tinggal – begitulah sinonimnya babi bagi menunjukan penghinaan yang teramat sangat.

Sedari kecil ibu saya (kacukan Malayu dan Cina) melarang menyebut gelar ‘babi’ kerana akan dianggap bermulut lancap, celupar dan carut – hukuman mandatori mulut akan dikuti atau diciliapikan.

Paling tidak saya akan memanggil babi sebagai khinzir yang dikira lebih sopan – begitu halusnya budi bahasa menjadi seorang Melayu.

Semasa di universiti saya dan rakan Cina (terutama Chow Wah Hon & Loh Lun San) biasa bergurau-senda dengan menyebut babi sebagai bab1 (bab-satu). Tabo malu itu masih kekal sehingga kini.

Babi yang satu masa dahulu menjadi perkataan yang fobia tiba-tiba menjadi begitu obsesi bagi orang Melayu.

Baik di peti TV, laman sesawang (internet), helaian akhbar sampai ke sembang kedai kopi malah di parlimen, Yang Berhormat lulusan Oxford dan lulusan Haji Baitullah menggunakan bahasa berlabel seperti Projek Khinzir Raksaksa (PKR) dan Babi Negara (BN) – babi, babi, babi!

Tiba-tiba orang Melayu mempunyai kegilaan semacam terhadap babi yang jika dianalogikan menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) edisi keempat sebagai gila babi atau sawan babi atau ayan atau epilepsi dalam bahasa perubatan moden iaitu sejenis penyakit saraf (neurologikal) yang menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri dengan anggotanya bergerak menyentak-nyentak.

Tidak semena-mena pula ramai tokoh muncul entah dari mana datangnya sang juara membuat kenyataan tentang babi tanpa hujung pangkal, usul periksa dan letak duduk perkara yang sebenarnya.

Ia lebih parah dan kritikal apabila ditanggapi oleh orang awam yang kurang ilmu dan maklumat menjadikannya lebih sensasi dengan emosi, lebih sandis dengan prejudis. Isu yang sebenar tenggelam lemas dek asakan sempit perkauman yang bertubi-tubi tetapi tidak seperti ‘berisinya ubi’ – kosong.

Kini isu babi berkisar melarat sehingga ke negeri Kedah yang diperintah oleh Dato’ Seri Azizan Abdul Razak dari Parti Islam Semalaysia (PAS) sehingga Tun Mahathir menyifatkan PAS ditungangi oleh DAP yang hanya mempunyai 1 kerusi sahaja dan tidak boleh bersuara sehingga tidak kedengaran tentang buah mulut negara Islam PAS seperti dahulu lagi.

Persoalannya bukankah semasa zaman Tun Mahathir sendiri ‘babi-babi’ ini masih berkeliaran walaupun beliau mengistiharkan Malaysia adalah sebuah negara Islam?

Melihat isu babi dari sudut sempit perkauman sebenarnya sangat tidak adil bahkan jatuh kepada kategori zalim bagi orang Islam.

Kita sewajarnya melihat isu ini mengatasi sempadan agama dan bangsa menjadikan lebih rasional dan profesional.

Mengaitkan babi dengan orang Cina adalah contoh mentaliti kelas bawah sebawah tempurung kelapa, tidak glokal (istilah catchy ciptaan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak) kerana babi juga adalah makanan kegemaran orang Jerman.

Sebenarnya masyarakat Cina bukan melihat babi dari aspek makanan semata-mata tetapi meliputi aspek kepercayaan, budaya dan pandangan hidup mereka.

Contohnya di dalam astrologi Cina, babi (dalam versi Jepun hanya terdapat zodiak babi hutan) adalah salah satu daripada 12 zodiak haiwan iaitu kaedah penilikan nasib pada masa depan berasaskan kalendar Cina dengan sumber astronomi dan falsafah Cina kuno berdasarkan kitaran enam puluh tahun yang bermula semenjak zaman Dinasti Shang.

Dalam kebudayaan mereka pula, babi dikaitkan dengan kesuburan dan kejantanan (sekarang baru saya tahu mengapa orang Cina sungguh berani) malah anak yang lahir pada tahun tersebut dianggap amat bertuah kerana menjadi seorang yang periang dan jujur.

Epik Cina yang terkenal, Journey to the West juga mengandungi watak hero babi yang dikenali sebagai Zhū Wùnéng.

Satu perkara yang ramai orang Islam tidak tahu bahawa mendiang Tan Sri Loh Boon Siew (lebih dikenali sebagai 'Mr Honda') yang merupakan pengasas Boon Siew Honda yang juga jutawan dari Pulau Pinang menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Fujian, China dengan mengutip najis babi untuk dijual sebagai bahan bakar.

Ironinya, jika anda tidak boleh memandang kepada seekor babi sebagai makhluk tuhan, berilah orang lain (tentunya orang bukan Islam) memandangnya dari sudut positif walau hanya dengan najisnya!

Pengharaman babi sebagaimana jelas dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 3 dan Surah Al-An'am ayat 145 sebenarnya bukan hanya sensitiviti mutlak kepada umat Islam sahaja.

Bahkan agama Kristian dan Yahudi juga menjauhinya sebagaimana dalam larangan Book of Leviticus, Chapter 11, Verse 7& 8, Book of Deuteronomy, Chapter 14, Verses 7 & 8, Book of Isaiah, Chapter 65, Verses 2 to 4, dan Chapter 66, Verse 17.

Adapun kefobiaan terhadap babi lebih kepada amalan spiritual seperti balasan dosa yang dilakukan di dunia.

Dalam kepercayaan animisme seperti amalan suku Nias di kepulauan barat Sumatera, roh si mati boleh memasuki tubuh babi dan dipercayai akan menuntut bela ke atas orang yang menjadi musuh simati pada masa hidupnya.

Ianya meyerupai kepercayaan kelahiran semula dalam agama Hindu dan Buddha.

Bagi orang Islam pula terdapat kepercayaan tentang balasan Allah yang ditunjukan ketika mati apabila mayatnya berkepalakan babi (awas kepada mereka yang mempolitikan isu babi!).

Ramai di kalangan kita yang beragama Islam berbangsa Melayu yang pastinya melebihi majoriti dua pertiga melihat babi sekadar binatang bermuncung panjang dan berhidung leper – jijik, loya dan mual!

Inilah antara warisan larangan Rasullullah yang paling berjaya diharamkan sedangkan larangan lain yang sekutuk atau lebih teruk hukumnya seperti minum arak, main nombor ekor, zina, sumbang mahram, memfitnah, mengumpat dan mengadu-domba menjadi amalan terang-terangan bagi mereka yang Islam pada nama dan Mykad sahaja.

Lebih malang, ada orang Islam yang makan rasuah, makan riba, makan komisen (dengan cara yang tidak sah), makan judi (termasuk main nombor), makan dadah (penagih), makan skim cepat kaya, makan hak orang lain atau makan sebarang hasil haram yang setaraf dengan memakan babi!

Barangkali kerana babi dari sudut sainstifik mempunyai persamaan genetik (DNA) yang hampir serupa dengan manusia (tidak hairan mengapa ada yang berperangai seperti b*b* – maaf!).

Malah jantung babi pernah digunakan sebagai ganti jantung manusia yang sakit tenat sementara menanti penderma yang sesuai.

Persamaan genetik ini memungkinkan berlaku penularan penyakit antara spesies (cross spesies) yang kesannya kehilangan ketahanan badan bagi melawan penyakit baru.

Dalam kes virus Nipah, penyelesaiannya hanya dua pilihan sama ada menghapuskan manusia berhampiran babi atau menghapuskan babi berhampiran manusia.

Hasilnya, kesemua babi dalam kawasan tersebut dihapuskan sama sekali dari muka bumi bukan kerana azalinya berspesiskan babi sebaliknya demi kemashalatan dan keselamatan manusia sekeliling.

Rasanya semua orang Islam sekalipun tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam subjek Pendidikan Islam, sedia maklum hukum haram babi (bukan sekadar memakannya tetapi juga melibatkan diri dari sebarang hasil daripadanya seperti bekerja, mengambil upah atau berniaga termasuk atas nama membawa masuk teknologi dari Jerman!).

Tetapi jangan lupa sebenarnya ia terpakai hanya pada umat manusia Islam sahaja dengan dua keadaan iaitu haram bagi umat Islam dan haram juga bagi umat Islam mengharamkan sesuatu yang halal bagi kaum lain (pengecualian dalam hal darurat).

Kita lebih tahu babi adalah sejenis najis berat mughallazah yang boleh disucikan. Tetapi yang sebenarnya dituntut dalam Islam ialah samak dan thaharah kerana terkena najis dan bukan kerana dosa.

Bagaimana pula dengan penyakit seketul hati yang penuh prasangka dan prejudis hingga hilang timbang rasa ihsan dan adil, kemudian mengotorkan hubungan perpaduan antara kaum yang menjadi asas terpenting dalam Islam dengan matlamat yang lebih besar demi pembinaan sebuah negara bangsa yang harmoni, rukun dan aman damai?

* Isu babi di Kedah mengulangi sejarah polemik perkauman isu babi di Selangor. Saya lihat isu ini telah dipolitikan. Orang Islam kurang sedar mengenai falsafah di sebalik babi dalam kepercayaan masyarakat cina. Artikel ini adalah sebuah penulsian ilmiah. Sudah lama saya siapkan namun belum pernah diterbitkan. - Penulis



10 comments:

Jamaludin Maideen said...

di sebuah negara bernama morocco, bukan isu kandang babi org kafir... trendnya ialah orang islam ingin memperbesarkan projek ternakan babi utk pasaran eksport ke eropah yang besar dan semakin meningkat.

hahahaha...

http://www.theage.com.au/news/world/africa/pig-farms-bloom-in-muslim-morocco/2008/04/01/1206850863399.html

pak andak alwi said...

tak suka babi bukan makna tak suka cina.tanggapan penulis terhadap yang menentang projek babi adalah silap.Banyak mana sangat untung babi berbanding judi dan property.yang aku dan orang lain tak suka apasal orang islam yang beriya-iya sangat nak jalankan.kajian tak masak.babi adalah babi dan cina adalah cina.

Jamaludin Maideen said...

kita biarkan aje lah penternakan setinggan babi yang sedia ada... di tepi sungai, di dalam sawit, di dalam kampung dan di mana mana pun... biar air kotor, biar bau busuk, biarkan cina dan babi bebas merosak sumber sumber kehidupan cina/melayu/india @ bersama...

pak andak alwi said...

berak seratus dengan berak 48000 mana sama beb.Nak buek baja serai ke.Elok juga sebab bukan nak makan , nak eksport ke jerman je.

Unknown said...

Tuan Pak Andak Alwi,

Ya benar dalam penulisan tersebut saya tidak mengaitkan Cina dengan babi. Ya saya bersetuju Cina adalah satu perkara lain sementara babi juga adalah satu perkara yang lain.Sebagai seorang Islam apa yang mengecewakan ialah orang yang menentang projek ini adalah orang yang asalnya menyokong dan mendapat manfaat pula daripadanya. Inilah adalah satu sikap yang hipokrit dan munafik.

Saya bersetuju untuk projek babi diseragamkan dalam satu sistem yang menjaga sensitiviti umat Islam, jauh dari persekitaran kehidupan umat Islam dan menjaga kelestarian alam sekitar. Jika selepas ini berlaku wabak seperti JE lagi maka adalah lebih mudah untuk kita mengawal dengan menumpu kepada satu pusat sahaja bagi menjaga kemashalatan semua pihak. Penulisan ini bukan sekadar ilmiah kerana faktanya tetapi juga secara psikologi mengajar kita umat Islam untuk merenung kembali mengapa kita sensitif tentang babi? kita suka memandang segala keburukan tentang babi sedangkan dalam masa yang sama kita tidak memahami firman Allah bahawa babi diharamkan bukan kerana dia dilahirkan sebagai babi tetapi kerana kemudharatan daripadanya. Maka salahkah saya menegur pandangan umat Islam yang akan mendatangkan kemudharatan kepada agama Islam itu sendiri dan perpaduan kaum di Malaysia. Bukankah Islam itu adalah agama perpaduan?

Tuan Alam Serai,

Tahniah tuan memahami mesej artikel saya. Ya dengan membiarkan babi berkeliaran seperti sedia ada sebenarnya lebih banyak masalah akan berlaku. penempatan babi dalam satu kawasan akan memudahkan kita mengawal seperti British mengawal Komunis dengan istilah kawasan hitam atau putih. Makanya apabila berlaku sebarang kesan penyakit seperti JE sudah barang tentu kita tahu dimana kawasan hitamnya. dan sudah tentu juga kita yang berada di kawasan putih akan lebih selamat bukan?

Tambahan, sebenarnya orang yang tuan maksudkan di Morocco itu telah ada orang Melayu sama spesis sepertinya. Jika mahu tahu siapa, lihatlah dalam insiden babi di Selangor sila baca artikel penuh saya dalam tajuk asal Gila Babi.

ALI MAIDIN said...

Elok satu forum terbuka babi dibuat untuk mengasak otak rakyat Malaysia menyelesaikan isu babi ini.

Umno dan Pas sekarang ini kurang beremosi dalam isu babi kerana masing-masing memburu undi kaum Cina. Bagus juga jadi minoriti kerana minoriti penentu kemenangan perlawanan dua gajah.

Kerana kuasa ... (kena nyayi macam P. ramli).

Ha ha

Unknown said...

Tuan LensaPR,

Saya setuju ehehehehh. Demokrasi yang diambil dari bahasa Yunani yang datang dari perkataan demo (rakyat terbanyak) dan kratos (perintah). Dalam konteks pengamalan demokrasi suara majoroti akan mencorak dasar awam tanpa mengabaikan hak-hak minoroti. Tetapi nampaknya di Malaysia kini telah terbalik! Orang Melayu sangat sibuk menjaga kepentingan bangsa lian sehingga tanpa sedar terpijak kepentingan bangsa sendiri! Semata-mata untuk memancing undi banyak hak Melayu ingin digadai dan dijual beli.

Jamaludin Maideen said...

pertamanya, tak ada babi di setiap negeri 100 ekor aje... hahaha. ribuan ekor ade le.

( statistik dan komentar terkini: http://www.fkkksa.utm.my/index.php/Latest-Minda-Lestari/POLITIK-TERNAKAN-BABI.html )

jumlah babi di negeri sembilan merosot selepas bala JE. apa nak tunggu bala JE di negeri lain pulak ke utk mengurangkan jumlah ternakan. Sebelum bala melanda, 600 ribu ekor ada di NS.

rupa rupanya ada kaedah membiar sampai jadi bala untuk mendapatkan faedah... hahaha

tentang baja serai, alamak, serai tak nak pakai baja organik... kihkihkih...

pak andak alwi said...

JE disebabkan oleh babi,bukan pencemaran.Jika tiada pencemaran , dan air yang disalirkan bersih,babi tetap ada.Apa bukti , jika tiada pencemaran najis tiada JE.Tiada babi baru tiada JE.

Tuan faizal kata kita akan tahu kawasan hitam dan sudah tentu kita yang dikawasan putih selamat bukan.Tak bagus tu.Sepatutnya kita mesti putihkan semua kawasan.

alam serai ,100 ekor adalah diladang setinggan , dalam ladang kelapa sawit yang dimaksudkan oleh tuan sendiri.Bukan ladang komersial dan bukan jumlah keseluruhan dalam satu negeri.Ia menjadi banyak bila dijumlahkan atau dikumpulkan setempat macam yang hendak dijalankan sekarang.

Yang lebih penting ialah Pengharaman sesuatu perkara kepada umat Islam adalah kerana ada mudarat disebaliknya tanpa perlu dikaji mudaratnya .

Pengharaman kepada umat Islam juga bermaksud sesuatu perkara atau benda itu tidak sesuai dimakan,digunakan atau diamalkan oleh semua bangsa dan agama iaitu semua manusia .Kita sepatutnya tidak membantu menggalakkan sesuatu yang diharamkan oleh agama kita untuk di buat oleh agama lain.

Jika arak haram,kita patut nasihatkan kawan dari agama lain ,jangan minum arak,begitu juga dengan penzinaan.berjudi,bertenung nasib ,dadah dan jangan dikecualikan babi.

Jangan sampai kita diperdaya oleh akal kita sendiri.Ibnu at Thoilah dalam kitab hikam menyebut , manusia boleh menjadi syirik apabila bertuhan dengan akal mereka.

entahlah saya agak sedih dan kecewa atas isu ini,masyarakat tak salah,kita tak salah tetapi pimpinan boleh menyesatkan fikiran umat.

Jamaludin Maideen said...

1. bala JE dari babi. tiada babi tiada JE.

justeru saya amat setuju dan amat menyokong siapa sahaja pemimpin di Malaysia yang boleh dan mampu mensifarkan penternakan babi (tinggal stok babi liar).

2. antara faktor utama JE merebak kerana tiada sistem kumbahan yang tepat. mudah utk nyamuk menjadi agen pengangkut kepada manusia.

justeru realiti jika tak mampu @ tidak berkuasa sifarkan yang ternakan tradisional, maka pilihan moden yang segera difikirkan, agar maslahat-manfaat bersama diraih segera.

3. isu babi dan cina kafir ialah isu terkait akarnya antara kerjasama pas, pkr dan dap.juga antara umno dan mca dalam bn.

parti kafir ini berfikir dari titik "utk menjaga hak" masyarakat mereka (hak menternak babi sejak tahun 50-an). sementara kita muslim berfikir dari titik iman dan taqwa kepada Ayat Allah (termasuk ayat yg megharam babi).

titik mula fikir yg berbeza ini, menyebabkan org dan parti kafir tidak memahami NIKMAT ISLAM yang juga jika diikuti juga memberi NIKMAT kepada kehidupan mereka.

Soalnya, siapakah PEMIMPIM ISLAM di MALAYSIA (atau parti, atau apa sahaja) yang mampu dan boleh menyampaikan mesej DAKWAH berkenaan di saat kita memerlukan kafir utk menang dalam pilihanraya? Tidak kira dlm konteks pakatan rakyat mahupun dlm bn.