Sunday, November 29, 2009

APA KATA MAT BTN

Dalam satu kursus BTN, maka penceramah BTN pun memaparkan kedudukan orang Melayu dalam bidang profesional yang masih ketinggalan berbanding dengan orang bukan Melayu. "Sebab itulah kita kena menyokong Umno memerintah negara ini lagi," kata Mat BTN tu.

Apa punya bangang Mat BTN ni. Kalau sudah setengah abad pun Melayu masih ketinggalan, itu maknanya UMNO terlalu gagal dan lemah dalam meningkatkan martabat Melayu di negara ini. Maka eloklah diganti dengan parti lain...

Cakap dengan bebudak boleh le...

Saturday, November 28, 2009

AJARAN SESAT MELAYU

Ada segelintir orang Melayu menerima ahli pilitik Melayu yang rasuah kerana dapat juga merasa duit habuan dari sang perasuah tu. "Yang salahnya jika tak pernah menghulur kat kita," katanya.

Melayu jenis ini tak pernah sedar bahwa duit rasuah tu haram. Daging babi tak sanggup makan. Tetapi duit sang rasuah sedap dibalunnya.

Melayu oh Melayu.

Friday, November 27, 2009

AJARAN SESAT BTN - 1

Antara ajaran sesat BTN ialah:

"jahat-jahat pemimpin Umno, depa tu Melayu dan tetap tolong Melayu. Maka kita kena sokong Umno"


"sebaik mana pun Cina, depa tetap anti Melayu dan tak akan tolong Melayu"

Betapa asobiyyah dan racistnya BTN. Kononlah BN membina perpaduan tetapi depa ada satu Jabatan khas untuk menyuburkan kebencian perkauman Melayu-Cina.

Kalau dulu Melayu Umno yang sahaja percaya ajaran sesat ini tetapi kini ada "uztaz-ustaz" celup Pas pun termakan idea itu. Poorah.

Thursday, November 26, 2009

PAS BANYAK KERJA SEKARANG

Kalau anda Setiausaha Agung sesebuah parti dan sibuk atau banyak beban kerja, maka carilah penolong yang tak sibuk. Kalau lantik penolong yang sibuk dengan mentadbir kerajaan negeri,, apa yang kita nak harapkan tenaganya. Jika nak idea, memadai talipon aja.

Tetapi jika melantik seseorang itu kerana untuk tolong cari duit parti, lantiklah orang tu sebagai Bendahari.

Tetapi jika nak lantik seseorang kerana nak memberi persaingan kuasa kepada orang lain, ini politik jahat namanya.

Begitulah pandangan tepi jalan yang saya dengar apabila Pas melantik seorang lagi Penolong Setia Usaha Agung. Kini Pas ada 2 orang Penolong Setia Usha.

Wednesday, November 25, 2009

SIAPA SELEPAS NIK AZIZ

Mutakhir ini ada cerita siapa pengganti TG Nik Aziz sebagai MB Kelantan. Ada yang minta TG Nik Aziz namakan.

Dalam Pas, kuasa mencadangkan nama sebagai MB ialah Pas Pusat.

Jangan banyak ceritalah oi.

Tuesday, November 24, 2009

RAJA RAJA MELAYU MAKSUM

Pemimpin politik Melayu samada Pas, Umno dan sebahagiannya PKR tak berani menegur Raja-Raja Melayu jika Raja-Raja Melayu membazir, minum arak, membolot tanah balak, pelindung syarikat judi, serta membolot pelbagai hasil negeri seperti mana yang didedahkan oleh Raja Petra baru-baru ini.

Raja-Raja Melayu maksum macam Nabi juga ke?

Malah pemimpin politik Melayu syok dengan pelbagai anugerah gelaran dari Raja-Raja Melayu. Ada aktivis Pas berbangga sangat jika pemimpinnya dianugerah Datuk, macamlah Datuk tu meningkatkan darjah perjuangan sang penerimannya.

Orang Melayu terperasan kuasa politik Melayu masih bergantung kepada Raja Raja Melayu walhal negara ini adalah negara demokrasi- siapa majoriti dia berkuasa.

Amalan sesat orang Melayu ialah bersatulah atas nama Melayu walaupun bersatu dengan sang peminum arak, pengamal riba, pembolot wang rakyat, sang rasuah, pemalas dan 1001 mungkar; hanya demi Melayu.


Monday, November 23, 2009

SIAPA BERKORBAN ?

Kerajaan PR Selangor dan Kedah sudah mengagih-agih lembu untuk korban. Antara penyumbang lembu ialah anak syarikat negeri.

Soalanya yang berkorban ini siapa. Orang ke syarikat?

Entahlah. Jika syarikat untung kena keluar zakat, memang kita tahu. Tetapi tak pernah pula saya dengar hukum syarikat diwajibkan berkorban.

Tolong jawab bib.....

ASSOBIYAH PARTI

Kerajaan PR samada di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor hendaklah membuktikan sebagai sebuah kerajaan yang bersih dan prihatin kepada rakyat. Anggota parti samada Pas, PKR dan DAP hendaklah menjadi penegur kepada pimpinan kerajaan negeri jika didapati ada sesuatu yang tidak betul. Kita yang menegur ini bukannya musuh dalam selimut atau mahu mengambil alih jawatan mereka kerana kita mahu mereka memerintah secara yang terbaik.

Rakyat awam hanya akan menyokong dan terus menyokong kerajaan yang bersih sahaja. Harapnya jangan ada anggota parti yang berfahaman asobiyyah - yang tetap membela pimpinannya walaupun berbuat salah kerana mereka satu parti/kumpulan yang sama. Ingatlah, pemimpin yang peka dengan pandangan rakyat, akan disanjungi dan disayangi. Rakyat menyampah dengan Mahathir kerana dia terlalu degil mendengar pandangan rakyat dan rakyat meluat dengan Pak Lah kerana dia terlebih tidur!!!

Marilah kita mendokong kebenaran.

Saturday, November 21, 2009

AWANG OH AWANG

SATU PANDANGAN PALING BANGANG OLEH AWANG SELAMAT UTUSAN:

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

BANYAK pihak memperkatakan kesan daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin yang tidak membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat.

Awang tidak berhajat untuk mempersoalkan keputusan mahkamah itu. Cuma bagi Awang, penghakiman itu sudah pasti akan menyukarkan SPRM untuk menyelesaikan penyiasatan kes dalam tempoh yang boleh dijangkakan seperti sekarang.

Ia akan lebih dirasakan jika siasatan itu melibatkan kes-kes yang perlu disegerakan atau pelbagai sebab seperti kepentingan awam.

Jika masyarakat menganggap rasuah adalah satu jenayah yang berat dan perlu dihindarkan daripada menjadi budaya dalam masyarakat Malaysia, Awang berpendapat keutamaan dalam membanterasnya perlulah ada. Justeru kita tidak boleh melihat sesuatu kes rasuah yang disiasat itu dari perspektif hak asasi manusia semata-mata.

Awang lebih bimbang waktu soal siasat saksi SPRM itu akan menjadi kes yang akan dirujuk bagi kes-kes siasatan yang dikendalikan oleh agensi atau badan penguatkuasaan yang lain.

Jika itu berlaku, sudah tentu proses mengumpul bukti bagi sesuatu kes berdasarkan soal siasat saksi akan menjadi sukar.

Awang – Sekadar pandangan.

Friday, November 20, 2009

APA DIA PAS UNTUK SEMUA

Selepas PRU 12, Pas yang bersama PR perlu ada agenda bertindak secara jelas dan bertulis.

Dalam kontek negeri yang diperintah oleh Pas, tetapkan matlamat jangka pendeknya untuk diisi oleh pegawai awam dan ahli parti. Misi Pas hendaklah jelas supaya mudah dilaksanakan dan dinilai oleh rakyat.

Dalam kontek pusat, apakah misi Pas pula. Apakah nilai-nilai Islam yang perlu diterima oleh rakan-rakannya dalam PR supaya tak menjadi kecoh ketika mahu dilaksanakan nanti.

Pas untuk semua, satu satu slogan yang cukup baik dan wajar dinyatakan secara "operasinya" bagi memudahkan rakyat tahu apa yang ditawarkan.

Sejak 2004, saya tak nampak apakah "kelainanan" besar yang dibuat oleh kerajaan Pas Kelantan.



Thursday, November 19, 2009

MENGAGIH PELUANG

Agenda utama negara yang merdeka ialah membebaskan rakyatnya dari belenggu kemiskinan. Pembasmian kemiskinan memerlukan reformasi yang menyeluruh. Ada yang perlu diberi tanah. Ada yang perlu diberi pelajaran. Ada yang perlu diberi kemahiran. Ada yang perlu diberi peluang untuk satu tempoh yang manasabah. Ada yang perlu diimigrasikan tempat tinggalnya.

Setelah 50 tahun merdeka dengan acara pembentangan baget setiap tahun, cerita kemiskinan tegar masih wujud lagi. Apakah belanjawan untuk program pembasmian kemiskinan jauh dari mencukupi. Sepatutnya priorit belanjawan ialah membasmi kemiskinan. Jika pekerja asing yang datang ke sini lebih mewah dari rakyat kita, apakah erti kemerdekaan. Jika rakyat asing boleh mengusai perniagaan di Chow Kit Road, Jalan Masjid India dan Pasar Borong Selayang, dimanakah salahnya pengurusan kita.

Malah geng Pakistan sudah mampu menjadi sub kontraktor di ladang kelapa sawit di negara ini.

Bagaimana nak agihkan peluang ini kepada sang miskiin tegar, dalam keadaan negara kita ada pelbagai dana untuk membangun usahawan kecil dan besar.

Wednesday, November 18, 2009

ABDUL ARIFFFAHMI DIARAH BERHENTI

Menurut Kickdefella, TG Nik Aziz sudah arahkan menantunya Abdul Ariffahmi Bin Ab. Rahman berhenti sebagai CEO PMBK.

Jika benar ini satu tindakan gentleman oleh TG Nik Aziz. Syabas. Kalau menantunya layak, cemerlang dan hebat sekali pun, tak sepatutnya dilantik menjadi CEO dalam keadaan TG Nik Aziz sebagai Pengerusi PMBK.

Yang benar kita sokong. Yang silap kita tegur. Menerima teguran itulah pemimpin yang berjiwa besar. Harapnya semua pemimpin tak kira Umno ke Pas ke, bersikap begitu.

MAFIA JAGA PASIR

Menurut cerita di kedai kopi, projek pasir di Selangor dikuasai sang mafia. Kerajaan PR pun masih gagal mengutip 100% hasil pasir yang dianggar RM 200 juta. Hanya dapat 10% sahaja.

Demikianlah sang kapitalis sentiasa bergu dengan sang mafia. Kenapa kerajaan yang ada polis dan tentera tak digunakan untuk menghapuskan perompak siang hari ini.

Tuesday, November 17, 2009

TERIMA KASIH CHIN PENG : MAT SABU

Oleh: Lim Hong Siang - Merdeka Review

Sekali lagi, bekas Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu membuat kenyataan yang "menghebohkan", apabila mendakwa bahawa "orang Melayu perlu berterima kasih kepada Chin Peng" (Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya), dan mengakui bahawa "agama sebagai candu masyarakat (pada kurun ke-19)".

Kenyataan sedemikian sebenarnya tidak "janggal" dalam forum yang dianjurkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM). Tetapi, apabila kenyataan ini terkeluar dari mulut seorang pemimpin PAS, maka ia agak "membeliakkan mata" semua orang. Lebih-lebih lagi, apabila dihujahkan oleh penceramah yang popular dengan humornya, maka ia memberi kesan yang "menghiburkan".

"Agama sebagai candu"

Mat Sabu (gambar kiri) yang diundang sebagai ahli panel untuk perbincangan "Kuasa Ketiga?", dalam forum "Sistem Dua Parti di Malaysia: Suatu Analisa Kritikal" anjuran PSM pada 14 November itu, terpaksa memberi penjelasan apabila S.Arutchelvan, Setiausaha Agung PSM mendakwa bahawa Mat Sabu pernah menyetujui bahawa "agama itu candu masyarakat".

"Agama sebagai candu masyarakat. Persetujuan saya pada masa itu bersyarat, bukan secara umum. Memang kalau kita lihat, pada akhir tahun 1800 dan awal tahun 1900, kebangkitan industri di Eropah melahirkan jutawan-jutawan, kekayaan-kekayaan yang dimiliki beberapa orang, terutama sekali pemerintah Eropah, raja-raja dan sebagainya," jelas Mat Sabu.

"Untuk mempertahankan kuasa mereka, maka mereka menggunakan paderi-paderi untuk membawa orang miskin ke gereja, menyanyi lagu ketuhanan pada hari minggu. Kemudian, pada masa yang sama paderi-paderi ini menyokong pemerintah yang zalim, melintah darat..."

"Oleh itu, untuk membuat satu perubahan, maka kuasa paderi yang mencandukan rakyat itu perlu dibanteras dahulu. Itu persetujuan yang saya kata. Pandangan Karl Marx dengan keadaan pada waktu itu, kalau saya hidup, saya pun bersetuju dengan beliau!" Penjelasannya menggelakkan satu dewan.

Penyalahgunaan agama

Mat Sabu menyambung, "penyalahgunaan agama ini sentiasa berlaku. Saya sebagai orang Islam, saya tetap berpegang kepada ajaran Islam. Saya tetap mengatakan ajaran al-Quran itu begitu indah."

Beliau seterusnya memetik ayat daripada al-Quran sebagai contoh, "Apakah kamu tidak melihat orang yang mendustakan agama, membohongi ugama..."

"Di hujung ayat itu menyebut, celakalah orang yang sembahyang, orang yang tidak memberi makan kepada orang miskin, orang yang mengherdik anak yatim!"

Mat Sabu menjelaskan, "Ini al-Quran, iaitu satu pengajaran, bahawa walaupun kamu pergi ke masjid, bersembahyang dan sebagainya, tetapi tak peduli orang miskin, tak membantu anak yatim. Allah menyebut, celaka kamu!"

Jurang kaya-miskin paling ketara di negara Islam

Mat Sabu bukan sahaja terkenal sebagai penceramah, tetapi sering terlibat dalam demonstrasi, terutamanya ketika kenaikan harga minyak beberapa tahun yang lalu.

Beliau bersambung, "tetapi kamu lihat sekarang di dunia, di negara Islamlah kaya-miskin paling ketara. Kenapa jadi begitu?"

Mat Sabu kemudian mengambil contoh Pakistan, Indonesia, Bangladesh, malah di Mesir yang memperlihatkan betapa dahsyatnya perbezaan kaya-miskin di negara-negara tersebut, walaupun penuh dengan ustaz dan imam.

"Di Mesir....ribuan ustaz. (tapi) orang duduk di atas kubur, (sebanyak) tiga juta orang. Dia tunggu hari nak masuk kubur!"

"Agama itu indah, tetapi penyalahgunaan agama itu berlaku dari semasa ke semasa," simpulnya.

Angka itu untuk syok-sendiri

Mat Sabu juga mempertikaikan angka "kadar pertumbuhan" sebagai kayu ukur taraf hidup masyarakat. Beliau mendakwa bahawa kadar pertumbuhan yang tinggi di negara dunia ketiga tidak semestinya mencerminkan keadaan sebenar, kerana mereka yang berpendapatan 10 rupee sehari, mungkin hanya dapat 12 rupee biarpun angka pertumbuhan melonjak.

"Angka-angka yang dipamerkan kepada kita selalunya untuk kita syok sendiri, padahal jauh daripada keadilan sosial," seterusnya berkata bagaimana situasi masyarakat dunia ketiga seperti yang digambarkan dalam filem Slumdog Millionaire.

"Sebab itu, keadilan sosial ini mesti menjadi agenda semua pihak pada masa yang akan datang," tegasnya. Beliau berkongsi pandangannya bahawa perubahan pemikiran pada 8 Mac 2008, yang diibaratkan sebagai "tsunami politik", mungkin boleh menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional, tetapi belum cukup untuk melakukan reformasi sosial.

"Perubahan pemerintahan boleh, tetapi perubahan reformasi sosial jauh daripada boleh. Sebab kita lihat beberapa negeri Pakatan Rakyat ambil alih, tak berlaku reformasi sosial, hanya mengambil alih tempat. Tukar MB, tukar Exco, tukar wakil rakyat... (tapi) cara projek, cara kehidupan Menteri Besar, cara penguasaan harta...serupa!"

Beliau menambah, "bahkan kadang-kala menguatkan lagi status quo terutama sekali kuasa raja berperlembagaan, taat setia tak tentu hala sekarang ini!"

Setuju untuk menjatuhkan BN

"Sebab kita mahu berlaku perubahan, dan pada masa yang sama berlaku perubahan sosial. Ini yang paling penting!"

Walau bagaimanapun, Mat Sabu mengaku, "... saya setuju BN (di-)jatuhkan. Saya setuju. Sebab bila rakyat jatuhkan sebuah kerajaan yang menyeleweng, bila kerajaan baru naik, menyeleweng, mudah rakyat jatuhkan! Itu yang kita harapkan."

"Oleh itu, kalau Pakatan Rakyat naik memerintah, jangan berangan nak memerintah 50 tahun. Barangkali satu penggal pun payah, kerana rakyat sudah mula criticize..." Mat Sabu menyusuli dengan penghargaan kepada mereka yang mengkritik Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz, yang diheret ke dalam pertikaian tajaan ke Mekah. Sambil berseloroh Mat Sabu berkata, "bila ada tajaan, ada udang di sebalik mee..."

Perubahan pemikiran masyarakat Melayu

Ketika mengulas perubahan pemikiran dalam masyarakat Melayu, Mat Sabu berkata, "bila rakyat sudah buang satu kepercayaan karut, yang misalnya satu parti itu tidak boleh jatuh sampai bila-bila, ini perubahan yang kita alu-alukan."

"Memang nak ubah pemikiran rakyat cukup susah, tambahan pula di masyarakat orang Melayu. (Di masyarakat Melayu) Hang Tuah ditabalkan sebagai hero, Hang Tuah yang mengorbankan kekasihnya sendiri, diberikan kepada Raja, kemudian diberi sirih supaya lupa pada dirinya...ini hero."

Beliau sambung, "Ini bukan hero, ini binatang pondan. Sepatutnya kalau kita hero, tahi mata harimau lagi ku buang, itu pula kekasih... Inilah hero yang ditabalkan dalam masyarakat Melayu."

Untuk mengubah pemikiran masyarakat Melayu, Mat Sabu berpendapat bahawa sejarah perlu diperbetulkan, sama ada sejarah Hang Tuah mahupun sejarah kemerdekaaan.

Berterima kasih kepada Chin Peng

Beliau menceritakan pengalamannya ketika berceramah di sebuah masjid yang dihadiri pegawai tentera. "Di antaranya saya menyebut, kita berterima kasih kepada Chin Peng (gambar kiri) kerana membunuh Henry Gurney. Habis masjid tu saya nampak terkejut. Mat Sabu berterima kasih kepada Chin Peng?"

"Mereka tidak tahu Henry Gurney tu ialah polis British yang menyeksa rakyat Palestine, yang mula-mula membuat kampung baru di Palestine untuk menghimpunkan orang Arab, dan membawa Jews ke Palestine. Dengan itu, sebab jasanya di Palestine, dia dibawa ke Malaya," jelasnya.

"Dan Chin Peng bunuh orang seperti ini. Orang Melayu tidak tahu yang Henry Gurney ini pernah bertugas di Palestine!"

Beliau menyimpul, "sebab itulah hal sejarah, perjuangan rakyat penting diperbaharui. Sebab itu mereka amat amat takut Chin Peng kembali... bukan soal keganasan dan sebagainya, sebab kalau Chin Peng kembali, ceramah pertamanya, kalau boleh kita nak buat di Setiawan...Saya yakin lebih daripada setengah juta rakyat akan hadir!"

"Kita dalam perjuangan ini, kadang-kala tidak tercapai dalam masa hidup, akan disambung oleh generasi yang lain. Memanglah saudara nak idealis sosialis, saya nak Islam yang tulen. Tapi kita boleh berbincang, kita boleh bertemu, yang utama sekali mestilah ia berfungsi untuk kepentingan rakyat, bukan kepentingan elit."

Beliau sempat menyatakan ketidakpuasan beliau terhadap prestasi Pakatan Rakyat di beberapa negeri, dengan terus terang beliau berkata, "Di sudut struktur buang kepentingan elit tak banyak berubah. Hanya bertukar menteri besar, bertukar exco, tapi style kepimpinan tidak berubah!"

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Melayu.

SYED HUSIN SENATOR

Hari ini saya gembira kerana Syed Husin Ali dicalun oleh DUN Selangor sebagai senator.

Walaupun jawatan senator itu kurang "jantannya", namun hatiku sedikit terubat apabila mengenang perjuangannya yang panjang dan penuh ranjau.

Syed Husin pernah ditahan 7 tahun dalam ISA dan dibuang sebagai pensyarah di UM. Malah tak dinaikkan pangkat semasa dalam perkhidmatan.

Hidup Marhein!!!!!

Monday, November 16, 2009

APA PUNYA BENGAP DA

6 atau 7 tahun Anwar jadi Menteri Kewangan dahulu. Yang lantik beliau dari tahun ke tahun ialah Mahathir.

Top-top hari ini Mahathir kata Anwar tak reti ekonomi.

Pasal apa baru cakap hari ini? Kenapa biarkan Anwar jadi Menteri Kewangan sehingga 7 tahun. Apa punya bengap da...

Sunday, November 15, 2009

ELOKLAH BERHENTI

Walaupun pemerintahan 4 khalifah Islam pertama iaiatu Saidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali disebut sebagai Khulafarrasyidin oleh ahli sejarah Islam, namun pemerintahan Saidina Usman dikritik kerana adanya nepotisme dan kronisme.

TG Nik Aziz secara peribadi gagal melihat hal ini dan Pas Kelantan gagal mengawal TG Nik Aziz dari melantik menantunya sebagai CEO di PMBK.

Kalau Pak Lah, Pas kata macam-macam. Ini sendiri bikin, padanlah dikutuk oleh pelbagai pihak.

Ada kalanya musuh berkata benar mengenai diri kita. TG Nik Aziz kena arahkan menantunya berhenti atau CEO PMBK letaklah jawatan. Ini bukan soal persepsi tetapi PRINSIP.

Menuding pelbagai kesalahan Umno bukan caranya membela TG Nik Aziz dalam kes ini.

Saturday, November 14, 2009

TAK BOLEH TOK GURU

Oleh: Rozaid Ab Rahman


SECARA TRADISINYA orang Melayu sejak turun temurun telah diajar tentang tiga darjat penghormatan. Pertama kita diajar jangan menderhaka kepada Raja; kedua ibu-bapa dan ketiga tok guru.

Ini menjadikan situasi kita sangat sulit apatah lagi untuk menegur ketiga-tiga institusi ini sama ada secara terang mahupun tersirat.

Jadi apabila kita dapati tok guru yang kita semua sayangi seperti Tok Guru Nik Aziz Nik Mat bercakap tentang perkara-perkara yang pada pemikiran dan pemahaman kita sebagai sesuatu yang tidak kena, maka kita menjadi serba salah. Serba salah untuk menegur.

Apatah lagi tok guru seperti Nik Aziz yang memakai dua topi (mungkin dalam hal ini lebih sesuai dipanggil kopiah) iaitu satu sebagai tok guru dan satu lagi sebagai menteri besar.

Sebagai tok guru, Nik Aziz melihat dirinya hanya mengikut apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW apabila beliau melantik menantunya sebagai ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Yang Diperbadankan.

Nik Aziz dipetik sebagai berkata, sedangkan Nabi Muhammad lagi melantik menantu-menantunya ke jawatan dan kedudukan mentadbir negeri (Madinah), jadi beliau tidak nampak di mana salahnya beliau melantik menantunya menerajui sebuah anak syarikat negeri.

Wajarkah Nik Aziz membuat perbandingan demikian? Jika beliau melihat dirinya sebagai anbiya dan anbiya adalah pewaris nabi maka mungkin ada kewajaran kepada hujahnya, setidak-tidaknya begitulah pada pandangan beliau sendiri.

Tetapi pada ketika Nik Aziz berkata demikian, beliau sebenarnya memakai topi/kopiah yang mana satu? Topi atau kopiah tok guru kah atau menteri besar.

Melantik menantu sendiri menduduki kerusi eksekutif boleh dilihat sebagai satu keputusan yang tidak betul jika beliau berbuat demikian atas kapasiti seorang menteri besar.

Zaman dahulu mungkin orang tidak berapa kisah tetapi zaman sekarang orang memanggil perbuatan itu sebagai nepotisma.

Dan sedikit masa dahulu, parti-parti seperti PAS sendiri seringkali menyebut ini sebagai nepotisma. Tetapi apa agaknya istilah yang perlu digunapakai untuk kes menantu Nik Aziz ini.

Malah Nik Aziz telah memberi restu kepada menantunya itu untuk memecat seorang penyokong kuatnya sendiri yang juga merupakan seorang bloger popular yang beliau sendiri ambil bekerja di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Bloger tersebut yang bernama Syed Azidi@Kickdefella dipecat kerana disyaki terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam membawa masuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke PMBK untuk menyiasat menantu tok guru.

Tapi tak apalah. Mungkin itu juga hak tok guru untuk melantik dan memecat siapa yang beliau rasa berhak.

Tapi bagaimana pula dengan soal menerima RM65,000 sebagai ‘hadiah’ untuk mengerjakan haji.

Tok Guru Nik Aziz atas kapasitinya sebagai tok guru merasakan apa salahnya orang hendak menghadiahkan beliau tiket serta belanja untuk mengerjakan ibadah yang menjadi rukun Islam yang keenam.

“Saya hendak mengerjakan ibadah...apa salahnya,” kata tok guru ketika mengajar di Dataran Ilmu di Kota Bharu Jumaat lalu di hadapan beratus pengikutnya. Semua diam mendengar dan mengangukkan kepala tanda setuju. Beliau tidak menganggap ia sebagai satu bentuk rasuah.

“Orang nak bawa saya pergi ke Mekah, kenapa saya nak tolak. Saya pergi ke Mekah, jarang belanja saya sendiri.

“Orang tolong bayar. Semua orang berebut (untuk membiaya saya ke Mekah),” kata beliau.

Tetapi minta maaf banyak-banyaklah kali ini tok guru. Dalam hal ini, memang tok guru salah. Dan kita kena tegur akan kesalahan tok guru kali ini. Bukannya mengiyakan apa yang beliau cakap.

Ya, akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk tidak menerima ‘hadiah’ tersebut. Tetapi malangnya beliau menyalahkan pihak akhbar kerana membesar-besarkan isu ini sehingga membantut niatnya untuk mengerjakan ibadat yang dijadualkan pada 18 November ini.

Kesayangan kita kepada Tok Guru Nik Aziz telah mendorong sebahagian besar daripada kita ‘mengiyakan’ segala tindak tanduk beliau atau lupa hakikat bahawa beliau juga adalah menteri besar yang terikat dengan segala bentuk perintah serta peraturan am seorang anggota pentadbiran negeri.

Sebagai tok guru mungkin Nik Aziz merasakan tidak ada apa yang salah dengan menerima hadiah dalam bentuk mengerjakan amal ibadat.Malah Setiausaha PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim mencelah dengan berkata, ini cara penduduk Kelantan meraikan orang agama.

Tetapi semua orang kena ingat yang tok guru ada satu kopiah lagi iaitu kopiah menteri besar.

Sebagai menteri besar, tak boleh tok guru...tak boleh terima ganjaran berbentuk hadiah sedemikian. Sebagai Yang Amat Berhormat, tok guru boleh disabitkan menerima ‘suapan’ apatah lagi syarikat yang hendak menghadiahkan tok guru pakej mengerjakan haji itu adalah syarikat yang berkepentingan yang khabarnya mendapat kontrak perniagaan daripada kerajaan negeri.

Jadi tak boleh tok guru buat macam ni. Sebab tok guru juga adalah seorang menteri besar dan ketua pentadbir sebuah kerajaan negeri.

Tok Guru boleh disabitkan dengan kesalahan rasuah - sama ada rasuah moral atau rasuah kebendaan sekiranya SPRM masuk menyiasat dan mendapati seorang penjawat awam tidak boleh menerima apa jua bentuk habuan apatah lagi dalam bentuk wang ringgit dan perjalanan ke luar negara - tak kisahlah atas nama ibadat atau apa sekali pun.

Apa agaknya tok guru nak kata atau orang PAS nak kata kalau perdana menteri Malaysia mengaku buat perkara yang sama? Mungkin minta parlimen bentuk suruhanjaya siasatan diraja agaknya. Wallahualam.

Bala dedah ditawar RM5 juta

Sumber: Merdeka Review

Penyiasat Persendirian, Balasubramaniam a/l Perumal tampil dalam satu klip video untuk mendedahkan bahawa dirinya telah ditawarkan RM5 juta oleh seorang peniaga bernama Deepak, agar menarik balik akuan sumpahnya yang mengaitkan Najib Abdul Razak dengan kes pembunuhan Altantuya.

Klip video ini disiarkan dalam Malaysia Today hari ini, dengan sarikata yang menyatakan bahawa Deepak ialah pengarah (director) Carpet Raya, sebuah syarikat yang dilaporkan berpendapatan RM122 juta. Syarikat tersebut dikatakan mendaftarkan alamatnya di Dataran Palma Ampang, Selangor, sementara pejabatnya beralamat di Mahkota Taman Maluri.

Malah, sari kata yang terpampang dalam klip video ini cuba mengaitkan Deepak dengan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri. Balasubramaniam mendakwa bahawa Deepak datang berjumpa dengannya, selepas dirinya mengumumkan akuan sumpah pertamanya pada 3 Julai 2008.

Menurut Balasubramaniam, Deepak mahu Balasubramaniam menarik balik akuan sumpahnya. Malah, Deepak suruh Balasubramaniam mengikutnya ke Putrajaya, namun tidak menyebut siapa yang mahu Balasubramaniam ke Putrajaya. Seterusnya, Deepak menawarkan RM 5 juta untuk Balasubramaniam supaya menarik balik akuan sumpahnya.

Balasubramaniam (gambar kanan) ialah penyiasat persendirian yang diupah oleh Abd Razak Baginda, tertuduh yang ketiga dalam kes pembunuhan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Balasubramaniam telah membuat akuan sumpah pada 1 Julai 2008, mendedahkannya kemudian pada 3 Julai, dengan kandungan yang menggemparkan apabila mengaitkan Timbalan PM ketika itu (PM sekarang), Najib Razak dengan Altantuya.

Walau bagaimanapun, Balasubramaniam membuat akuan bersumpahnya yang kedua pada 4 Julai 2008, secara dramatiknya menarik balik tujuh perkara dalam akuan sumpah pertama yang berhubung kait dengan Najib Razak. Apa yang lebih mengejutkan, Balasubramaniam telah hilang bersama keluarganya selepas itu.

Abdul Razak Baginda yang selama ini dilihat sebagai orang rapat Najib Razak, dituduh bersubahat dalam kes pembunuhan Altantuya. Walau bagaimanapun, beliau dibebaskan setelah didapati tidak bersalah oleh mahkamah pada 31 Oktober 2008.

Najib Razak, Perdana Menteri ke-6 dipertikaikan oleh pembangkang ketika membincangkan kes pembunuhan Altantuya. Walau bagaimanapun, beliau pernah bersumpah dan mendakwa dirinya tidak mengenali Altantuya. Isterinya, Rosmah Mansor, juga berkali-kali menafikan bahawa dirinya terlibat dalam kes ini, malah menganggap tuduhan tersebut berunsur fitnah.


MB oh MB

Ada MB haram

Ada MB dapat tajaan ke Mekah

Ada MB hantar wang RM 10 juta ke London

Ada MB kena saman RM 64 juta

Ada KM rasuah alias politik wang

Ada MB yang partinya tak suka

Ada KM yang dah berkurun

Eloklah semua MB ni berhenti....

Thursday, November 12, 2009

NAK PI BERSEMBANG TAK PAYAHLAH BISING

Pimpinan Pas diperingkat Pemuda dan Pusat boleh bertemu dengan tokoh akademik dan NGO untuk mendapat pandangan dan info politik secara informal tanpa heboh satu dunia.

Kita juga boleh mendapat pandangan sesiapa pun melalui program rasmi samada melalui seminar, konvensyen atau forum dan panggillah siapapun ahli panelnya walaupun dari komunis Russia. Jangan maki sang panelis sudahlah.

Kalau berjumpa secara informal, tak payahlah heboh-heboh sangat. Pi aje le, sembang di mana-mana pun.

Wednesday, November 11, 2009

LAPURAN AUDIT NEGARA

Setakat ini lapuran Ketua Audit Negara terhadap pengurusan kerajaan PR di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah adalah positif sekali.

Ini laporan oleh badan kerajaan yang berautoriti. Jika dibanding dengan komen Ketua Audit Negara terhadap kerajaan Melaka dan Negeri Sembilan yang banyak kelemahan dan kebocoran pengurusannya, maka rakyat sepatutya melakukan perubahan pada PRU 13 nanti.

Kita tunggu PRU 13...

Tuesday, November 10, 2009

BAIK PUNYA PAS

Pas ialah parti yang suka menolong orang yang dizalimi. Walaupun Anwar membalun Pas sejak 1982, tetapi pada 1999, Paslah yang paling kuat membela Anwar.

Walaupun Dr Asri berkempen untuk BN di PRK Permatang Pasir, tetapi kini Pas membela Dr Asri bukan main.

Tak hairanlah kalau Umno nak mampus dalam arena politik negara ini, Pas akan menyelamatkannya, walaupun Pas sendiri akan mati dek perbuatan itu. Sikit-sikit imbasan tu dah ada dah. Pasal gara-gara nak berbaik dengan Umno, kini Pas menubuhkan JK Displin untuk "bunuh membunuh" sesama sendiri. Walak ajalah dengan pemimpin ya sheikh....

Monday, November 9, 2009

ISU UTAMA GOLONGAN MUDA

Jika Pas mahu dikenali dikalangan generasi muda yang bakal mewarnai politik masa depan negara ini, Pas hendaklah menggarapi isu yang berkaitan dengan keperluan golongan muda.

Kesedaran islam kini sudah melampaui dari cerita mee dan kicap halal serta instrument kewangan Islam. Pas kena bekerjasama dengan para ahli akademik untuk mengkaji trend dan keperluan golongan muda. Kita khuatir Pas berbicara hal "langit" tetapi orang yang mendengarnya mahu cerita " bumi". Antara impian "langit" Pas dan kehendak" bumi" rakyat - Pas kena bijak mengimbangkannya.

Saturday, November 7, 2009

ORANG MUDA TAK KENAL PEMIMPIN PAS

PAS Tak Berupaya Jadi Parti Alternatif, Kata Pemerhati Politik

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- PAS tidak akan berupaya menjadi parti alternatif sekiranya tidak dapat menerima perlembagaan negara yang mengiktiraf masyarakat bukan Islam, kata pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari.

"Ini satu perlembagaan yang kita kenal, kalau kita tak mahu akui maka kita tak boleh jadi parti alternatif, jadi jangan lompat (melenting dan mempersoalkan) bagaimana dengan Islam? Kena tumpu juga kepada bukan Islam dan fokus bagaimana nak menangi hati mereka," katanya.

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata demikian semasa membentangkan pandangan beliau pada seminar politik PAS di sini.

Beliau dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya adalah dua pemerhati politik yang diundang PAS bagi memberi pandangan alternatif dalam usaha parti itu memperkasakan parti.

Abdul Aziz juga menyelar sikap PAS yang gemar menyalahkan Umno setiap kali berlaku sesuatu yang negatif terhadap parti itu.

PAS sebaliknya harus melihat ke dalam parti dan mencari jalan untuk membetulkan apa juga masalah yang timbul.

"PAS harus menjadi sebuah parti yang terbuka dan menjadi tumpuan rakyat adalah lumrah, jadi jangan lagi bermain cara lama, ada benda sikit salahkan Umno, ini tidak harus dilayan, kita harus fokus apa yang ada dalam parti," kata Abdul Aziz.

Dr Abu Hassan pula berkata PAS bermungkinan berdepan dengan masalah besar pada pilihan raya umum akan datang memandangkan kajian menunjukkan golongan muda mempunyai tanggapan negatif terhadap keupayaan kepimpinan parti sekarang.

Katanya kajian yang dijalankan beliau bagi menjangka keputusan pilihan raya umum ke-13 itu juga menunjukkan golongan muda tidak kenal dengan pemimpin-pemimpin PAS.

"Menurut survey (kaji selidik) itu yang mereka kenal cuma Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (bekas menteri besar Perak), Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah)," katanya.

Abu Hassan berkata kajian berkenaan turut meneliti laman-laman blog berunsur politik dan mendapati blog-blog yang sebelum ini menyokong PAS telah kembali menjadi 'atas pagar'.

"Kajian menunjukkan blog-blog sedemikian meningkat 213 peratus," katanya.

-- BERNAMA

Friday, November 6, 2009

SIAPA GANTI HJ HADI

Ada anggota Pas yang tak bersetuju Dr Aziz Bari memberi pandangan di dalam program seminar esok.

Tidak salah Dr Aziz memberi pandangan senario politik Malaysia dan mencadangkan apa yang patut Pas buat.

Namun soal apakah yang Pas patut buat sehingga terpaksa merubah pucuk pimpinan Pas, anggota Pas lebih layak menentukannya. Tetapi apakah anggota Pas kenal sungguh siapa yang sepatutnya ditukar.

Walaupun kita akui Hj Hadi ada beberapa kelemahan dan termakan beberapa idea "gila" dari rakan sekelilingnya, setakat ini belum muncul tokoh yang yang lebih baik darinya.


Wednesday, November 4, 2009

DR ASRI DAN JAIS

JAIS mengambil tindakan kepada Dr Asri kerana ada orang mengadu. Ini kelakar punya cerita. Katika Dr Asri berceramah dalam Astro, satu Selangor mendengarnya.

Mengapa JAIS tak pi kat studio Astro, menangkap Dr Asri.

Kekadang cerita ada tauliah atau tak ada tauliah ini lebih kepada cerita hasad dengki sahaja. Bak kata kekawan lain - hujah lawan hujah le. Paling kurang pun beramallah dengan apa yang yang kau belajar dan yakin. Lazimnya perkara furuk sahaja yang berbeza pendapat. lantak pilah. Yang wajib dan haram pun umat Islam Malaysia masih tak selesai lagi.

Tuesday, November 3, 2009

HASAN ALI BERDARAH BTN?

Kalau betullah Hasan Ali bercakap macam orang BTN semasa perjumpaan dengan Pemuda Pas Selangor, maka dia memang wajar keluar dari Pas atau Pas memecatnya.

Hujah BTN memang super asobiyah. Jika Hasan Ali yang bercakap sudah pasti diindahkan dengan ayat al quran dan hadis. Maka terpegunlah jika tidak dikoreksikan..

Tuan Ibrahim dengan AJKnya tentu ada hujah menyokong atau menentang hujah Hasan Ali. Jika bersetuju dengan hujah Hasan Ali, maka elok sangatlah Pas mengistiharkan keluar dari PR. Dan selepas itu jika Pas nak berpeluk dengan UMNO, saya akan joint parti lain pula. Ya hooooo.

Monday, November 2, 2009

UMNO TAK RETI JADI PEMBANGKANG

Umno tak reti jadi pembangkang kerana terlalu lama jadi kerajaan.

Umno masih gagal mendedahkan kelemahan dan penyelewengan Pakatan Rakyat.

Yang Umno pandai, membeli ADUN PR yang banyak masalah untuk mencukupkan bilangan kerusi DUN untuk jadi kerajaan. Dengan ini kerajaan yang bakal dibina oleh Umno ialah kerajaan yang ADUNnya lemah dan korup. Macam mana rakyat nak sokong cara macam ini?

Sunday, November 1, 2009

DILIHAT BERSIH

Zaman kalah, pemimpin Pas boleh pegang jawatan lama-lama.

Zaman menang, tempoh memegang jawatan eksekutif kena dihadkan. MB dan Exco setakat 2 penggal sudahlah. Kalau tidak, terdedah banyak ujian dan cabaran. Tak baik saya tuduh makan rasuah. Itu SPRM punya kerja.

Dengan gaya hidup, ada harta melampau, mampu bagi pinjam duit kepada orang beratus ribu, mampu tebus hutang orang berjuta, mampu membina bangunan parti tanpa wang derma , shoping sakan kat London - menimbulkan keraguan kita...

Kalau tak bersih, paling kurang mahu dilihat bersih. Nasiblah orang Pas sentiasa bersangka baik- "husnul zon ya sheikh". Woooo