Oleh TT
Setiap 15 Mei, warga Palestin akan menyambut Nakba. Tarikh ini bukan
disambut dengan pesta-pestaan. Tarikh Nakba ini - 15 Mei 1948 - adalah
tarikh entiti yang dipanggil Israel dipacakkan ke atas bumi Arab.
Justeru, pada tarikh ini warga Palestin di seluruh dunia akan mengingati
kembali hari musibah ini.
Semenjak 15 Mei 1948 warga Palestin
berhadapan dengan segala macam kesengsaraan. Tanah mereka dirampas,
rumah mereka diroboh. Mereka hilang harta benda, hak demokrasi dan
kampung halaman. Rakyat Palestin diserang, dibunuh dan dihalau dari
kampung halaman. Sesiapa yang berani melawan akan dipenjara.
Nakba
15 Mei adalah Malapetaka untuk warga Palestin. Nakba 31 Ogos adalah
Malapetaka untuk Semenajung Tanah Melayu. Nakba ialah Malapetaka.
Saban
tahun semenjak 31 Ogos 1957 Hari Malapetaka telah di rayakan di Tanah
Melayu ini. Malapetaka yang menimpa warga Persekutuan Tanah Melayu ini
tidak jauh bezanya dari yang sedang dialami oleh Nakba di Palestin.
Untuk
memahami kembali sejarah kelahiran Malapetaka ini, biar saya bawa
kembali para pembaca kepada pensejarahan kelahiran hari Malapetaka ini.
Hendaknya dapatlah kita semua memahami makna Malapetaka ini, yang dieja
dengan huruf M besar ini.
Awalnya, Perjanjian Anglo-Dutch 1824
telah memisahkan kepulauan Melayu kepada dua entiti - Semenanjung Tanah
Melayu di bawah British dan Batavia di bawah Belanda. Pejanjian
Anglo-Thai 1909 telah memisahkan pula lima wilayah Melayu - Pattani,
Jala, Setul, Singgora dan Menara. Wilayah ini menjadi tanah jajahan Siam
hinga ke hari ini. Pada tahun 1874, melalui Perjanjian Pangkor, kuasa
kolonial Britsh telah memasukkan jarumnya untuk menjajah Semenanjung
Tanah Melayu.
Perjanjian Pangkor ini akhirnya membolehkan British
menguasai seluruh Semenanjung Melayu. Akhirnya Tanah Melayu menjadi
tanah jajahan British bawah jagaan England dan bukan lagi East India
Company.
Penjajah Barat datang untuk mencari harta kekayaan. Di
Tanah Melayu British telah bertemu dengan bijih. British juga membuka
ladang getah. Dua punca ekonomi ini menjadi begitu penting sekali untuk
perkembangan ekonomi kolonial British.
Setiakawan melawan penjajah
Untuk
terus melipat gandakan keuntungan, kaum penjajah British telah membuka
bumi Melayu kepada pendatang baru dari Cina dan India. Mereka telah
dibawa masuk sebagai tenaga buruh oleh kuasa kolonial British. Dengan
kehadiran buruh Cina dan buruh India ini maka lanskap Tanah Melayu
berubah untuk selama-lamanya.
Dunia ini bergerak dengan hukum
hakam alam. Hukum alam bergerak dan tidak berubah-ubah. Hukum ini
menetapkan, di mana ada penindasan, di sana pasti akan ada penentangan.
Hukum alam ini mula menapai dan mengampuh di Tanah Melayu. Hasilnya,
Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuh pada tahun 1938. Ini adalah gerakan
politik paling awal yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari British.
Pada
ketika ini Parti Komunis Malaya (PKM) telah wujud di Singapura. PKM
pada ketika itu sedang menyusun kaum buruh Cina di kota-kota seperti
Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Penentangan
terhadap penjajah British dan kuasa modal penjajah ini telah melahirkan
setiakawan diantara KMM dengan PKM. Ikatan setiakawan ini adalah
kerjasama antara kaum tani Melayu dengan kaum buruh India dan Cina.
Inilah bibit-bibit kelahiran negara bangsa.
Kesampaian Jepun pada
tahun 8 Ogos 1941 telah meruntuhkan empayar British. Dalam masa yang
sama ikatan setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu untuk menuntut
kemerdekaan telah diperkukuhkan. Perjungan bersenjata Tentera Rakyat
Malaya Menentang Jepun atau Malayan People Anti Japanese Army telah
memperkukuhkan lagi setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu.
Apabila
Jepun kalah perang pada bulan Ogos 1945 sekali lagi pentadbiran
ketenteraan British masuk untuk mengambil alih pentabiran Tanah Melayu.
Tetapi semuanya telah berubah. Tanah Melayu kini bukan lagi Tanah Melayu
sebelum perang Jepun.
Kini gerakan nasionalisma telah mengampuh
dan laungan kemerdekaan kedengaran di sana sini. Telah wujud Parti
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan
Wanita Sedar ( AWAS). Semua ini adalah gerakan nasionalis kiri yang
bangun berjuang untuk menghalau British dari Tanah Melayu.
British
secara licik dan terancang telah mewujudkan apa yang dipanggil hingga
ke hari ini United Malay National Organisation. Ini adalah organisasi
yang ditelur, yang dieram dan dinetaskan oleh penjajah British. Tarikh
munculnya gerombolan United Malaya National Organisation pada tahun 1946
agak lewat. Ia muncul sebagai reaksi terhadap gerakan nasionalis Melayu
kiri yang mahu menghalau British. Dari segi sejarah, cukup jelas bahawa
gerombolan ini diwujudkan untuk menjadi tali barut dan budak suruhan
British.
Setiakawan antara bangsa-bangsa yang bangun menentang
penjajah British telah melahir setiakawan yang baru. Perlembagaan Rakyat
telah dilahirkan pada tahun 1947 oleh AMCJA-PUTERA. Ini adalah
kerjasama setiakawan antara All Malayan Council Joint Action dengan
organisasi massa Melayu bernama PUTERA.
Semua bangsa dipanggil Melayu
Perlembagaan
Rakyat 1947 ini cukup penting dalam sejarah pembentukan negara bangsa.
Dalam Perlembagaan Rakyat ini sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu
akan dinobat sebagai Melayu. Ertinya anak semua bangsa yang lahir di
Tanah Melayu adalah Melayu. Ini adalah garis politik kiri yang paling
radikal. Garis politik ini dan setiakawan anak semua bangsa telah
mengoncang kekuatan kuasa kolonial British.
Untuk menumpaskan
agenda kelahiran negara Bangsa Melayu ini, secara licik British melalui
gerombolan United Malay National Organisation telah melaungkan slogan
"Hidup Melayu". Para pembaca yang budiman, perhatikan betul-betul slogan
ini. Slogan ini bukan laungan untuk menghalau British tetapi untuk
menunjukan bahawa orang Melayu kurang oksigen.
Gerombolan United
Malay National Organisation dengan kerjasama British telah memulakan dan
menanamkan garis politik Melayu-Melayu, China-China dan India-India.
Maka lahirlah PERIKATAN. Politik perkauman ini amat baik untuk British.
Ini adalah dasar pecah dan perintah. Dalam pertubuhan PERIKATAN masih
lagi Melayu, Cina dan India. Berbanding dengan AMCAJA-PUTERA, badan ini
adalah gabungan anak semua bangsa yang memanggil diri mereka Melayu.
Projek
Perlembagaan Rakyat 1947 telah digagalkan British. Akhirnya, pada 20
Jun 1948 pecahlah perang kolonial menentang British. Perang kolonial
kali ini telah disertai oleh API, AWAS, Hisbul Musliminin, Malayan
Democratic Union, PKM, KMM, PKMM dan ratusan patriot dan nasionalis anak
semua bangsa. Mereka mengangkat senjata untuk menghalau British dari
Tanah Melayu.
Saya harap hingga ke tahap ini para pembaca telah
dapat memahami pejalanan sejarah Tanah Melayu. Saya harap para pembaca
telah dapat memahami dari mana munculnya gerombolan United Malay
National Organisation, Malayan Chinese Association dan Malayan Indian
Congress. Kesemua badan-badan ini adalah boneka British. Dari namanya
kita telah tahu bahawa badan-badan ini dibentuk dan ditaja oleh penjajah
British.
Mari kita lihat apakah yang telah dibuat oleh United
Malaya National Organisation apabila rakyat Tanah Melayu pada thun 1948
bangun mengangkat senjata melawan British. Apa agaknya yang telah
dilakukan oleh United Malay National Organisation? Sejarah membuktikan
bahawa mereka bukan bangun menentang British tetapi bangun berjuang
menentang orang yang menentang British.
Jjika tidak percaya apa
yang saya tulis ini, sila bersabar. Pada bulan Ogos ini nanti, media
milik United Malay National Organisation akan membuka kisah-kisah bodoh
di mana puak-puak gerombolan tanpa segan dan malu akan membuktikan
bahawa mereka dengan bangga telah menjadi suruhan British. Mereka akan
mendabik dada mengatakan bagaimana mereka berjuang menentang komunis.
Walhal, gerila parti komunis ketika itu sedang melawan British.
Ketika
Shamsiah Fakeh, Abdullah Sidi, Rashid Maydin, Chin Peng bangun
mengangkat senjata, apa yang dilakukan oleh United Malaya National
Organisation?
Tidak berkesudahan
Sejarah jelas membuktikan
gerombolan United Malay National Organisation telah bersubahat dengan
British untuk menumpaskan gerakan bersenjata melawan British ini.
Ketika
anak semua bangsa bangun melawan British untuk mencapai kemerdekaan,
gerombolan United Malaya National Organisation bangun berjuang melawan
orang yang berjuang untuk merdeka.
Justeru, sebagai balasan
menjadi budak suruhan yang setia, pada 31 Ogos 1957 penjajah British
telah mengagihkan pentabiran Tanah Melayu kepada United Malay National
Organisation. Tarikh 31 Ogos inilah yang menjadi Hari Malapetaka untuk
Tanah Melayu. Tarikh ini adalah Nakba untuk anak semua bangsa di Tanah
Melayu. Semenjak dari tarikh ini kita telah melihat satu demi satu
musibah telah menimpa Tanah Melayu.
Saya
menobatkan 31 Ogos sebagai Hari Malapetaka untuk menilai kembali
pensejarahan Tanah Melayu. Kita tidak perlu berselindung. Nakba di
Palestin membolehkan tanah-tanah Palestin dirampas oleh kaum Zionis.
Malapetaka di Tanah Melayu memperlihatkan ribuan hektar tanah rizab
Melayu hilang dirampas oleh Zionis tempatan.
Pelentong, Chu
Badak, Tasek Utara, Berembang, Kerpan hanyalah beberapa nama tanah asal
Melayu yang dilupus. Paling akhir tanah Keretapi Api Tanah Melayu di
Singapura lupus. Dan yang akan datang ialah tanah Kampung Baru dan
Kampung Banda Dalam.
Malapetaka ini tidak berkesudahan. Lihat
pula berapa ratus ribu anak semua bangsa menjadi mangsa ditahan tanpa
bicara semenjak British mewujudkan akta ISA pada tahun 1948. Paling
akhir kita melihat enam warga penyokong BERSIH ditahan tanpa bicara
bawah Ordinan Darurat.
Berapa ribu pula warga yang telah gugur
dan mati dibunuh dalam tahanan? Pernah saya terdengar suara dari
parlimen menyatakan lebih dari satu ribu orang telah gugur semenjak
sepuluh tahun dahulu. Nama seperti Altantuya, Beng Hock, Kugan, Francis,
Aminulrashid dan Sarbaini akan terus bertokok tambah. Malapetaka ini
masih berterusan.
Bulan Ogos kelihatan amat ironi untuk Tanah
Melayu kerana 500 tahun lalu, pada 10 Ogos 1511 Portugis telah mendarat
di Melaka. Pendaratan Portugis 500 tahun dahulu hanya akan dilihat
sebagai satu titik dakwat hitam dalam sejarah Tanah Melayu berbanding
dengan Malapetaka 31 Ogos.
Untuk pembaca yang muda biar saya
ditunjukan di sini bahawa Nakba di Palestin pada 14 Mei adalah hasil
dari perancangan British. Manakala Malapetaka di Tanah Melayu pada 31
Ogos adalah juga hasil perancangan British. Nakba di Palestin berterusan
hingga ke hari ini. Malapetaka di Tanah Melayu ini juga tidak akan
reda-reda selagi gerombolan United Malay National Organisation tidak
dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.(TT)