Sunday, August 31, 2008

BAJET: SIAPA BUAT ATAU SIAPA DAPAT

BAJET 2009 mengumumkan peruntukan pelbagai projek pembangunan yang besar nilainya. Terliur sang kontraktor mendengarnya.

Pegawai kerajaan yang menyediakan bajet menentukan golongan sasar manakah yang akan menerima manafaat projek pembangunan itu. Tetapi bagi sang menteri ia memikirkan siapakah yang akan diberi tender melaksanakan projek itu. Yang dapat kontrak tentu akan kaya tetapi yang dapat manafaat projek itu, belum tentu hidup senang lagi!. Kontraktor ini tentulah kroni dan geng sang menteri. Ainon Mohamad dalam www.universitipts.com pernah mendedahkan bagaimana kroni Hishamudin menyapu projek mega di Kementerian Pendidikan.

Projek koridor dan pelaksanaan prasarana di Sabah dan Sarawak melibatkan berbilion ringgit. Sudah pasti tender runding yang berlaku, bukannya tender terbuka. Jika runding tender, maka kosnya tentu meningkat berkali ganda, kerana peruntukan habuan politik kena dibuat. Bukankah itu budaya BN selama ini. BPR sekadar membuka fail penyiasatan sahaja, tetapi tiada pendakwaan.

Jika ini yang berlaku, buatlah bajet 100 tahun lagi, rakyat entah bila mendapat faedahnya.

Saturday, August 30, 2008

PEJUANG KEMERDEKAAN

Al Fatihah dan doa keampunan dosa kepada pejuang kemerdekaan yang sengaja dilupakan oleh buku sejarah di sekolah:

Antara tokoh atau pimpinan utama ialah:

Ibrahim Hj Yaakob - Kesatuan Melayu Muda (KMM)
Mustapha Husain - KMM
Abu Bakar Baqir - Hizbul Muslimin
Dr Burhanuddin Al Helmi - Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)
Pak Sako @ Ishak Hj Muhammad - PKMM
Ahamad Boestamam - API
Rashid Maidin - Rejimen ke 10
Kamarulzaman Teh- Rejimen ke 10
Musa Ahmad - BATAS
Wahi Anwar - PETA

Antara yang masih hidup

Abdullah CD - Rejimen ke 10
Ibrahim Chik - Rejimen ke 10
Abdul Majid Salleh - PKMM
Shamsiah Fakeh - AWAS

Ketika mereka berjuang menentang British, Umno belum wujud lagi dan bila Umno ditubuhkan, ia menjadi talibarut British dan memperlekeh perjuangan kemerdekaan. Itulah sejarah.

Jika berkesempatan, akan disenaraikan semua nama aktivis utama pejuang kemerdekaan.

TERAS BELANJAWAN

Petang jumaat kelmarin Pak Lah telah siap membentang Belanjawan 2009. Pesta memuja belanjawan itu pun terbentang di dada akhbar hari ini. Semua orang akan menunggu apabila Anwar membahaskan belanjawan ini selaku Ketua Pembangkang. Tentulah umph apabila bekas Menteri Kewangan sendiri yang membahaskannya. Dan tidak kurang penting, kita nak melihat bagaimana Pak Lah menggulungnya nanti.

Aku hanya nak sentuh satu isu belanjawan sahaja.

Isu utama belanjawan ialah keberkesanan sistem agihan secara adil dan berkesan kepada golongan sasaran. Ia memerlukan pelaksana yang cekap dan bebas rasuah. Bajet sudah 51 tahun, tetapi isu-isu asas ekonomi seperti kemiskinan rakyat dan kelengkapan prasarana asas masih tidak selesai. Kos projek termasuk 'kos rasuah' dan kos kontraktor pelbagai peringkat(main con, sub con, sub-sub con) menyebabkan projek yang bernilai RM 10 juta menjadi RM 50 juta. Sepatutnya projek prasarana di seluruh negara boleh disiapkan dalam tempoh 10 ke 30 tahun tetapi sehingga 51 tahun pun belum berjaya disempurnakan.

Pengalaman di kampong sendiri, projek PPRT pun diselewengkan. Bukan isu orang bukan Umno yang tak dapat bantuan PPRT, tetapi bantuan hanya diagih-agihkan kepada klik pimpinan Umno cawangan sahaja. Yang patut dapat menganga sahaja.

Jika negara masih lemah dalam sistem kawalan samada terhadap sumber maanusia atau sistem pengurusan serta pelaksanaannya, maka belanjawan hanya indah semasa hari pembentangan sahaja. Dan hari belanjawan ialah hari menunggu berita bonus gaji kepada kakitangan awam. Jika ada bonus, belanjawan bagus. Jika tiada, belanjawan tidak prihatin.

Friday, August 29, 2008

16 SEPTEMBER PENUH DEBARAN

Anwar telah pun menjadi Ketua Pembangkang di parlimen. Sekarang semua menunggu rancangannya untuk menarik 30 MP lagi untuk membentuk kerajaan baru. Semalam juga MP BN dari Sabah dan Sarawak membuat aku janji tetap setia dengan BN. Mesyuarat MT Umno pun dibatalkan semalam. Nampak ada sedikit kegawatan apabila Anwar berada di parlimen kini. TV Astro pun terbuka menemu ramah Anwar.

Menjelang 16 September, ramai yang menunggu gembira jika Anwar jadi PM, tetapi dalam diam-diam ramai juga yang gusar dan gundah gulana.

Golongan Islamik baik Pas, Abim, Teras dan NGO lain masih meletakkan kerisauan sejauh mana kemampuan Anwar mahu meningkatkan lagi persekitaran islamik dengan keadaan suara liberal dalam PKR, DAP, NGO hak asasi begitu kuat mendokong Anwar selama ini.

Golongan peniaga Melayu cemas jika tidak dapat bersaing dalam sistem ekonomi bebas yang akan diperkenalkan oleh Anwar. Selama ini syarikat taraf bumiputera terus menerima habuan kerana adanya peruntukan projek khas untuk bumiputera dan syarikat ini boleh mendapat projek walaupun harganya lebih 30% dari syarikat bukan bumiputera.


Golongan akademik dan perkhidmatan awam risau jika pintu perkhidmatan awam terbuka sama rata dengan bukan Melayu. Dalam keadaan golongan Melayu tidak mudah menyertai sektor pekerjaan swasta, kubunya pula akan dimasuki oleh golongan bukan Melayu.

Inilah antara yang golongan yang cemas jika Anwar jadi PM. bolehkah dan mampukah Anwar mempertahankan dan mengimbangkan kepentingan dan keperluan mereka ini.

Banyak lagi isu yang perlu Anwar garap. Untuk hari ini cukup 3 perkara besar itu.

Thursday, August 28, 2008

GANGSTER BARU MALAYSIA

Petang kelmarin ada seorang gangster baru di Negeri Sembilan. Sila klik di sini.

Wednesday, August 27, 2008

MAHATHIR GILA

Dr Mahathir kata PKR tidak menang Pilhanraya Kecil Permatang Pauh tetapi BN yang kalah.

Aduh! Baru kali ini aku terpaksa percaya Dr M memang dah gila dan terlalu benci dengan Anwar. Benci kerana apa aku tak tahu. Beberapa hari lalu dia bersumpah nak keluar Malaysia jika Anwar jadi PM. Nampak sangat dia tak boleh terima Anwar jadi PM Malaysia.

Kita teringin nak tahu mengapa Dr M tersangat membenci dan berseteru dengan Anwar. Pada wawancaranya dengan RTM atau TV3 pada 1998 dahulu, Dr M memecat Anwar kerana tak mahu penggantinya nanti seorang yang rendah moralnya. Oleh kerana Anwar ada kes liwat, maka beliau tidak layak jadi PM. Tetapi banyak pemimpin Umno yang terlibat kes moral termasuk Nazri yang pernah ada kes dengan anaknya sendiri pun tidak dipengapakan juga. Kita tak berapa percaya alasan moral ini.

Aku menjangka ada dua sebab besar mengapa Dr M tak suka Anwar. Pertama, beliau terlalu cemburu kepada Anwar kerana Anwar akan mengalahkan imej dan ketokohannya selepas 22 tahun dia menjadi PM Malaysia. Anwar disukai dan popular di kalangan pemimpin Asia, Arab dan Barat kesemuanya. Anwar boleh bicara falsafah Islam dan Barat. Anwar diminati oleh pemerintah Filipina dan MILF sekaligus. Mahathir kuat menghentam Amerika dan Australia tetapi Anwar disukai oleh mereka. Pelik kan. Mana Mahathir boleh terima kondisi ini.

Kedua, semasa krisis ekonomi 1997, Anwar tak tolong syarikat anak Dr M. Pantang oi kalau orang yang kita naikkan dalam politik, tetapi kemudiannya tak membantu ahli keluarganya pula.

Faktor lain, seperti hasutan Daim dan gengnya hanya sebagai penambah benci Dr M kepada Anwar sahaja. Anwar dan Daim kan berebut harta karun negara.

Nak juga kita menengok Dr M keluar dari Malayisa, bukan sekadar mati di luar Umno!

Monday, August 25, 2008

SUMPAH OH SUMPAH

Menjelang hari pengundian esok drama sumpah bertambah rancak. "Berapa banyak sumpah dah" tanya P.Ramlee, jika allahyarham ada lagi.

Akuan Bersumpah Raja Petra tentang Rosmah dalam kes Altantunya.
Akuan Bersumpah Bala tentang kes Altantunya
Akuan Bersumpah Dr Pusrawi tentang jubur Saiful

Kini Akuan Berumpah Thangarajoo tentang Najib guna Sami Hindu lak.

Sumpah Saiful tentang liwat Anwar
Sumpah Najib tak kenal Altantunya
Sumpah Nalla tentang duit judi RM 60 juta ke Anwar
Sumpah Ezam lawan Anwar habis-habisan
Sumpah Mahathir nak keluar Malaysia jika Anwar jadi PM


Top-top Gerakan dan MCA pula bersumpah nak keluar BN jika Umno dok sibuk berjuang Ketuanan Melayu. Baru betul bib.

Jangan termakan sumpah dah le!!!!!

DOSA ANWAR DALAM BN

Tanpa menafikan kehebatan Anwar, beliau juga dilihat membuat banyak kesilapan ketika dalam BN. Sepanjang kempen PRK Permatang Pauh, ianya didedahkan satu persatu. Kecuali kes liwat, semua kesalahannya ialah ketika beliau di dalam BN. Bukan calang-calang nak bertanding dalam PRK; dosa ketika dalam perut ibu pun dibongkar habis-habisan.

Soalannya sekarang mengapa kesalahan ini didedahkan ketika Anwar bukan TPM lagi dan di luar Umno/BN. Semasa beliau dalam kerajaan, beliaulah tokoh yang disanjung sakan sehinggalah Mahathir memecatnya. Dasar Umno/BN ialah hanya salah apabila sesorang itu di luar Umno/BN. Jika di dalam Umno/BN, semua kesalahan didiamkan. Bukan budaya Umno/BN menentang penyelewengan. Tambahan pula kalau penyelewengan dilakukan oleh pimpinan atasannya. Jika ada aktivis Umno yang lantang menegur pimpinan Umno, maknanya orang itu bebas dari rasuah. Kalau tidak, sekejap sahaja BPR menerpa rumah depa. Katakan Samy Vellu keluar MIC dan menentang BN, maka BPR akan membongkar bertan-tan kesnya!

Apa yang Nalla bangkitkan, telah dibongkar oleh Mohamad Sabu dalam ceramahnya dahulu. Tu fasallah Mohamad Sabu bukan pemuja Anwar macam kekawan lain dalam barisan pimpinan Pas. Mohamad Sabu mengatakan Umno hidup dengan duit judi. Ketika di parlimen dahulu, MP Umno yang menyokong lesen judi. Yang menentangnya ialah PAS dan DAP serta beberapa parti kompenen BN di Sabah dan Sarawak.

Apakah Pakatan Rakyat bersedia menghapuskan lesen judi di negara ini jika memerintah. Jangan sebut hal negara islam tetapi memadailah menghapuskan lesen judi terlebih dahulu. Perkara ini DAP boleh setuju kot?. Dengar kabarnya Kedah yang dikuasai Pas pun tak bersedia menghapuskan 'judi haram', bukannnya 'judi halal' lagi. Seriuslah Pas oi.


Sunday, August 24, 2008

JIKA BPR BEBAS

Hebat BPR bila dengan pantas akan mendakwa 2 orang exco Perak pada Isnin 25 Ogos ini. Tanpa prejudis kepada BPR, saya merasakan BPR boleh menangkap banyak kes rasuah lagi jika ianya bebas dan pemerintah menyokong pentadbiran yang bersih. Malangnya selama ini pemerintah dilihat menghalang kes rasuah disiasat dan didakwa. Dan teramat malang lagi apabila pimpinan atasan dilihat melakukan rasuah atau paling tidak mengamalkan nepotism atau kolusi dengan korporat terpilih.

Kes rasuah di Malaysia hampir sama parahnya dengan negara-negara Islam yang lain seperti Indonesia, Pakistan dan Sudan. Walaupun majoriti penduduknya beragama islam, kes rasuahnya lebih teruk berbanding dengan negara Eropah khususnya yang diperintah oleh Parti Sosialis Demokrat. Apakah rakyat yang percaya syurga neraka dan dosa pahala tidak mampu menghalang penganutnya dari amalan rasuah. Lemah sangat ke iman penganut islam ini. Atau terlalu miskinkah penganut islam ini sehingga terpaksa hidup dengan rasuah. Atau tonggak pemerintahannya tidak mampu mewujudkan komitmen dan keseriusan memerangi rasuah.

Rasuah berkait sekali dengan ketidakadilan dan pembaziran. Saidina Ali (r.a/kwj) mengatakan kemiskinan hanya wujud kerana ketidakadilan dan wujudnya pembaziran. Prof Ungku Aziz pernah mengatakan; Yang Universiti Harward tak ajar mengapa terjadinya inflasi ialah inflasi berlaku kerana adanya rasuah dalam sesuatu ekonomi negara. Orang Melayu dan Islam sendiri dilihat tidak menganggap rasuah suatu yang menjijikan dari zina, judi dan arak, malah dari makan babi. Bahkan perkataan 'biasalah bib' sering terdengar apabila membicarakan kes rasuah. Masyarakat kita terlalu kompromi dengan rasuah. Dari peon ke menteri berlakunya rasuah. Lagi banyak permit yang dikenakan, lagi banyak rasuah yang berlaku. Lebih mudah berurusan di airport Singapura yang bebas rasuah dari airport Jakarta yang banyak renyahnya.


Kita perlu kerajaan baru untuk untuk menyuburkan pentadbiran yang telus dan bebas dari rasuah. Kalau Islam/Melayu yang haprak rasuah yang memerintah, baik kita buang sahaja. Yang hairannya majoriti anggota perkhidmatan awam kita komited dengan kerja yang bersih tetapi tidak mampu membenteras segelintir kakitangan yang terlalu besar nilai rasuahnya. Kita perlu wujudkan semangat jihad dan semangat nahi mungkar dalam perkhidmatan awam. Tidak cukup Raja Petra seorang sahaja yang berusaha membenteras rasuah. MP Melayu tidak seserius Lim Kit Siang membongkar kes rasuah di parlimen. Walau pun kerajaan Pakatan Rakyat yang rasuah, wajib juga kita bongkar. Cuba pantau MB dan Exconya!!

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh; isunya ialah kerajaan rasuah atau kerajaan bersih. Bukannya liwat atau tidak.


Saturday, August 23, 2008

ANWAR PERKENAL SISTEM SATU PARTI

Geng Pas meragui Anwar boleh bawa masuk 30 MP ke dalam Pakatan Rakyat. Geng PKR kata Anwar sudah ada 43 MP termasuk dari Umno, malah ada 2 menteri. Bagi saya Anwar boleh wujudkan sistem satu parti bila dia berjaya menjadi PM!!

Ini saya perkatakan kepada kekawan sejak dia mula jadi TPM. Jika Ustaz Fadhil ada lagi, dan Anwar jadi PM melalui Umno, dengan mengambil kira tiada kes 1998; saya menjangka Anwar boleh memujuk Pas bersama BN. Hubungan Anwar-Fadhil terlalu intim. Bila saya sebut perkara ini dan didengar oleh Uztaz Fadhil dulu, dia sikit tak syok dengan spekulasi ini. Harap saya tak perasan. He he.

Pas ada sebab kuat untuk bersama Anwar; demi menjaga kepentingan Islam. Umno ada sebab bersama Anwar demi menjaga kepentingan ekonomi orang Melayu. Anwar boleh melayan semua kehendak ini. Beliau pakar pengimbang kehendak rakyat Malaysia. Mohamad Sabu yang tak ngam dengan Anwar sejak Anwar menyertai Umno, pun mengakui kehebatan manusia bernama Anwar ini. Hanya geng yang berpenyakit KKS (kurang kasih sayang) seperti kata Hishamudin Rais sahaja yang merajuk dan lari dari Anwar.

Saya tidak yakin Umno bersedia jadi pembangkang. Orang Umno bukan macam ahli Pas yang sanggup berkorban tenaga percuma dan memberi wang ringgit kepada parti. Orang Umno dah lama kerja berupah. Tanya le Ibrahim Ali, berapa dia habis setiap bulan semasa jadi Ketua Bahagian Pasir Mas. Jika tak ada RM 60 ribu, jangan jadi Ketua Bahagian bib. Pairin yang ada semangat paderi kristian dan anti Semenanjung dulu pun tak sanggup jadi pembangkang.

Yang sanggup jadi pembangkang ialah Pas dan DAP. Tetapi mereka telah bersama dengan Pakatan Rakyat kini. Takkan mereka hendak keluar dari PR, jika Umno dan Gerakan hendak bersama PR. MCA dan MIC serta lain-lain parti di Sabah dan Sarawak bila-bila masa akan bersama dengan Anwar. Mereka kagum dengan Anwar sejak Anwar di dalam kerajaan lagi.

Mungkin Pakatan Rakyat atau Barisan Rakyat.

Tunggu dan lihat.

Thursday, August 21, 2008

DEBAT 2 CINA

Malam tadi berlangsung debat Lim Guan Eng dengan Dr Koh Tsu Koon. Aku tak hendak perkatakan siapa yang menang atau kalah dalam debat itu. Ada beberapa perkara yang menarik dalam isu debat ini.

Pertama, debat berlangsung dalam Bahasa Melayu. Kedua-dua tokoh ini lancar Bahasa Melayunya. Kalau dilihat dalam parlimen, ramai tokoh politik bukan Melayu, tahap bahasa Melayunya 'hancus'. Tahniah Guan Eng dan Tsu Koon!

Kedua, Guan Eng bersedia mendedahkan kes kerajaan lama yang dianggap ada penyelewengan. Dan Dr Koh Tsu Koon pula bersedia menjawabnya secara terbuka. Ini politik jantan. Kedua-duannya berbangsa Cina. Mereka langsung tak berjiwa asobiyyah. Walaupun sebangsa tetap di lawan. Pas pun tak berani dedah kejahatan pemerintahan Umno. Kelantan menang 1990, tiada pendedahan macam ini. Terenganu menang 1999, walaupun dikatakan ada berkotak kesnya, sampai habis penggal memerintah pun tak ada yang dibongkarnya. Kini Kedah, Pas-Umno macam abang adik, langsung tak dengar suara mau dedahkan apa yang dok dibisingkan semasa pra pilihan raya umum ke 12 lalu.

Tahniah DAP!!

Wednesday, August 20, 2008

SYABAS BPR

Berita panas hari ini BPR tahan 2 exco Perak untuk soal siasat kes rasuah. Baru soal siasat aja. Jika ada kes barulah didakwa. Walaupun ada yang prejudis dengan siasatan ini, aku sokong sebarang usaha menyiasat kes rasuah dengan segera. Biar hakim yang menentukan betul atau salah dakwaan itu. Harapnya mahkmah pun bebas dan adil. Bukan mudah nak dakwa seseorang jika tak bersalah. Kes Perwaja yang beratus juta pun terlepas. Aduhai.

Janganlah bertahun-tahun rakyat bangkitkan kes rasuah Pak Menteri, tetapi BPR buat pekak aja. Konsistenlah untuk semua kes yang sedang dibangkitkan oleh rakyat. Berkhidmatlah untuk rakyat dan negara yang cintakan sebuah negara yang bebas dari rasuah. Kes KPN yang dibangkitkan oleh Raja Petra pun tak dengar beritanya lagi. Kes correct Lingam pun belum ada yang didakwa, walaupun Suruhanjaya Di Raja mendapati ada kebenaran rasuahnya.


Tuesday, August 19, 2008

KELUAR PAS JIKA TAK SETUJU MUZAKARAH

Terkejut juga bila mendengar Timbalan Mursyidul Am, Dr Harun Din meminta sesiapa yang tak bersetuju dengan keputusan Majlis Syura supaya keluar dari Pas.

Ketika menggulung perbahasan pada muktamar lalu, isu muzakarah menjadi tumpuan penggulungan Dr Harun Din. Apa yang menjadi kerisauan ahli Pas mutakhir ini bukanlah hal muzakarah tetapi adanya perjumpaan tertutup pimpinan Pas dengan pimpinan Umno, yang dikatakan merancang kerjasama memerintah dengan Umno/BN.

Pas hanya mengeluarkan kenyataan rasmi selepas perjumpaan itu di adakan. Pas Pusat mengatakan itu muqabalah atas restu Majlis Syura Ulama. Sebahagian AJK Pas Pusat pun tak tak tahu perjumpaan itu. Inikan pula ahli biasa Pas. Itu yang menimbulkan pelbagai reaksi panas dari ahli Pas.

Jika ahli Pas sendiri tak tahu keputusan Majlis Syura Ulama, maka wajarkah Dr Harun Din mengatakan begitu. Nak patuh apa kalau tak tahu apa yang hendak dipatuh.

Bukan soal hukum muzakarah yang ahli Pas bangkitkan selama ini. Pas memang terbuka dengan muzakarah. Panel Pas hadir dan berhujah di forum anjuran RTM dan TV 9. Pas pernah sedia berdebat isu mengkafirkan Umno pada awal 8oan. Pas juga menjadi ahli MAPEN untuk mengemukakan pandangannya. Ustaz Fadhil pernah berucap bersama Dr Mahathir dalam isu Palestin. Tak seorang pun ahli Pas membantahnya.

Yang ahli Pas bangkitkan dalam tempoh 5 bulan ini ialah perjumpaan tertutup dengan Umno. Ini misteri. Kekadang melibatkan satu orang sahaja. Ia dilihat semacam mahu membentuk pakatan baru untuk memerintah. Isu-isu Islam dalam Pakatan Rakyat hanya alasan untuk menghalalkan pakatan dengan Umno.

Dr Harun Din gagal melihat mengapa ahli Pas tidak bersetuju kepada muzakarah. Ianya bukan berkaitan dengan kesetiaan ahli Pas kepada Pas dan pimpinannya. Tetapi kerana ahli Pas tidak mahu parti dan pimpinannya masuk kepada perangkap Umno.

Wednesday, August 13, 2008

PAS KELUAR PAKATAN RAKYAT?

Kenyataan Hj Ab Hadi semasa konvensyen Pas Pulau Pinang pada Ahad lalu amat jelas dan berterus terang. Sepatutnya senario inilah yang Pas perlu perhitungkan sebelum jauh belayar bersama-sama dengan lain-lain parti dalam pilihan raya lalu. Jika itu perhitungan Pas, Pas sepatutnya menarik diri dari memerintah Perak kerana majoriti exconya ialah dari bukan Melayu. Adakah Pas bersedia?

Pandangan atau keputusan Hj Ab Hadi yang menekankan kepentingan majoriti MP dalam kerajaan PR hendaklah di kalangan bangsa Melayu terlalu sukar untuk dipenuhi dalam masa terdekat ini. Kumpulan Melayu dalam Pakatan Rakyat banyaknya dari Pas dan PKR. Pas 100% Melayu atau Islam. PKR pula 60% Melayu. Jika ada sokongan dari Sabah dan Sarawak pun majoritinya bukan Melayu. Di Sabah dan Sarawak, hanya parti bukan Melayu sahaja yang berani dan kritikal kepada pucuk pimpinan BN Pusat. Bukankah pada PRU 12 ini menunjukkan bahawa bukan Melayu lebih ramai menolak BN. Majoriti Melayu masih berpihak kepada Umno/BN. Malah kerusi yang Pas menang di luar Kelantan juga kerana sokongan majoriti bukan Melayu.

Jika Hj Ab Hadi mahu majoriti MP Melayu dalam kerajaan pusat PR, Pas kena menang semua kerusi yang ditandinginya. Dan dalam masa yang sama Umno Sabah dan Parti Pesaka Sarawak perlu menyertai Pakatan Rakyat. Eloklah Pas pergi berunding dengan mereka dan mengajak mereka menyertai Pakatan Rakyat demi Islam dan Melayu dalam kerajaan baru Pakatan Rakyat.

Kerisaun Hj Ab Hadi ada asasnya. Inilah masa terbaik Pas mengambil tindakan strategik mengetuai parti Melayu/Islam dalam Pakatan Rakyat. Pas boleh mengajak MP Umno menyertai Pas dan menjemput Parti Pesaka Sarawak menyertai Pakatan Rakyat.

Pas JANGAN SESEKALI BEKERJASAMA DENGAN UMNO. Pilihan ini akan memecah belahkan Pas itu sendiri.

Nota rujukan kerusi PR sila klik di sini dan analisa MP PR mengikut kaum di sini

Monday, August 11, 2008

PERPADUAN MENURUT SYED NAQUIB AL ATTAS

Ketika di UKM 1979-1982, syarahan atau ceramah Prof Syed Naquib Al Attas antara yang diminati oleh ramai mahasiawa. Walau pun program ceramah ini khusus untuk mahasiswa, kekadang aku ternampak Dr Kamal Hassan, pensyarah Fakulti Pengajian Islam (kemudiannya sebagai Rektor UIAM) pun turut hadir mendengar. Betapa Dr Kamal pun bersedia menuntut dengan Prof Al Attas ini.

Isu PERPADUAN merupakan antara persoalan utama yang beliau kupas. Oleh kerana isu ini sedang hangat di pasaran politik, aku pun tengah cuba mengingat hujah Prof Al Attas itu. Aku bertuah apabila ada seorang anak muda yang masih belajar di bidang kejuruteraan meminati pemikiran Prof Al Attas dan mencatat di dalam blognya. Sila klik di sini untuk bacaan seterusnya.

Saturday, August 9, 2008

BUKAN ISLAM AHLI PAS

Antara isu panas yang bakal dibincangkan di dalam muktamar Pas di Ipoh yang akan bermula pada 15 Ogos ini ialah bolehkah bukan Islam menjadi Ahli Pas. Setiap isu baru tentu ada pro dan kontranya, baik dan buruknya.

Jika Pas mahu dilihat sebagai badan politik sahaja, bukan islam dengan mudah sahaja boleh diterima sebagai ahli Pas. Tetapi selama ini Pas mengaku ia sebagai Harakah Islamiah. Banyak sudah buku dan kertas kerja yang ditulis oleh ulama Pas yang mencatat dan menghuraikan konsep, ciri, sifat dan syarat untuk menjadi harakah Islamiah. Pas begitu beria-ia mengatakan dialah harakah islamiah di Malaysia ini berbanding badan islam yang lain. Pas terpaksa menangkis hujah di dalam dan luar kampus bahawa Paslah pertubuhan yang sinonim sebagai Harakah Islamiah. Dan sama sekali tidak boleh berbilang jemaah.

Jika Pas menerima bukan islam sebagai ahli, dengan mudah sahaja ia dikatakan ia sudah tidak lagi sebagai Harakah Islamiah. Mana mungkin Harakah Islamiah jika anggotanya tidak mengaku keesaan Allah dan bernabikan Muhammad (s.a.w). Bukankah payah kita menjawabnya. Jika sebagai parti politik Islam, itu gampang sahaja, kata orang Indonesia.

Selama ini kita setia dengan Pas kerana ianya Harakah Islamiah. Harakah Islamiah ada kaitan dengan konsep kewajiban kita terus berjemaah selepas khilafah Islamiyyah yang berpengkalan di Turki runtuh pada 1924. Harakah berciri global tetapi parti bersifat lokal.

Dengan ahli Pas yang sedia ada kini pun, pelbagai firkah dianut oleh ahli Pas dan sentiasa 'berperang' secara senyap. Apakah Pas bersedia melayan satu lagi aliran firqah yang baru pula. Pas kena cari idea lain untuk meraikan kumpulan bukan Islam yang menyokong Pas ini.

Saya tengah berkira-kira untuk membuang sebahagian kertas kerja dan buku yang ditulis oleh ulama Pas; yang mengatakan haram berbilang jemaah.

Friday, August 8, 2008

MENGAPA PENARIK BECA DITAHAN

Jam 5.38 petang Penarik Beca atau Bakak Hak dibebaskan polis dengan jaminan isterinya Salwa Ab Samad. Zain Hashim atau Zain Janggut, bekas exco Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan pada era 80an mengiringi Salwa di Pejabat Bahagian Jenayah Perdagangan tadi. Aku hanya drebar mengejut mereka sahaja.

Isu utama Bakak Hak ditahan ialah kerana posting KENAPA TAK USIK RAJA PETRA dalam blognya bertarikh 14 Julai 2008 lalu. Yang sensitif nya ialah gambar logo polis tu. Perhati baik-baik ya.

Tunggu komen dari Bakak Hak sehari dua lagi. Beliau kena cari komputer baru kerana komputernya masih lagi dalam simpanan pihak Polis.

Bakak Hak atau nama sebenarnya Abu Bakar bin Mohd Rashid, 50 tahun, anak kelahiran Taiping, mendapat didikan haraki awal dengan ABIM. Beliau pernah bertugas dengan Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Penapisan. Bekas aktivis Pas ini, pernah menjadi Setiausaha Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan dan Setiausaha Kerja Dewan Pemuda Pas Pusat di era awal 80an.

Kini beliau menjadi blogger sepenuh masa.

PENARIK BECA BEBAS 4 PETANG HARI INI

Sahabatku Zain Janggut, Penghulu tak rasmi Markaz Tarbiyyah, Taman Melewar baru memberitahu aku, bahwa isteri Bakak Hak alias Penarik Beca menaliponnya dan mengatakan Bakak Hak akan bebas pada 4 petang hari ini.

Mengapa Bakak Hak ditahan akan diketahui apabila dia mengadap lap topnya hari ini. Walaupun aku ada beberapa teori megapa Bakak Hak ditahan, eloklah Bakak Hak sendiri melaporkannya nanti.

Semasa minum pagi tadi dengan Zain Janggut, dia dok risau nak cari duit jaminan jika Bakak Hak didakwa hari ini. Depa berdua "rakan sepermainan' di Markaz Tarbiyyah sejak markaz itu diwujudkan. Sama-sama menyimpan rahsia Pas di balik tabir.


Thursday, August 7, 2008

MISTERI DAKWAAN LIWAT ANWAR

Sah Anwar didakwa hari ini. Pelbagai andaian tidak terjadi kali ini. Pertamanya, kemungkinan Anwar diheret secara ganas ke mahkamah tidak berlaku. Sebaliknya Anwar menerima surat jemputan sahaja ke mahkamah. Tidak perlu digari dan diiringi oleh Polis. Nampak aman sikit, tidak semacam perang gerila pada tahun 1998 lalu.

Kedua, andaian Anwar tidak boleh dijamin pun tidak berlaku. Anwar boleh diikat jamin RM 20 ribu, malah paspotnya pun tidak perlu diserahkan ke mahkmah. Ini sudah sukup selesa bagi Anwar berpolitik dan meneruskan perjalanannya ke Putrajaya.

Sebaik sahaja isu liwat timbul awal Julai lalu, tercetus pelbagai reaksi awam. Seorang rakan saya bekas Akauntan mengatakan; Jika benar Anwar liwat, dia sendiri yang menjahanamkan cita-citanya untuk menjadi PM dan betapa bodohnya Anwar mengulangi kesilapan lama setelah terlepas hukuman bersalah pada 2004. Dan jika benar konspirasi jahat pemimpin BN memfitnah Anwar, sesungguhnya pemimpin BN telah bankrap idea untuk menjatuhkan Anwar dalam politik.

Fokus dakwaan hari ini ialah liwat pada 26 Jun 2008, jam 3-4 petang di Kondo Desa Damansara. Pihak pendakwa akan cuba membuktikan bahawa:

  • Anwar ada di kondo itu pada ketika itu.
  • Anwar berjaya menggoda atau memaksa Saiful membuka duburnya.
  • Saiful tidak berupaya melawan Anwar sehingga dubornya ditikam oleh Anwar

Jika Saiful rela suka sama suka, Saiful pun sepatutnya didakwa kata Anwar hari ini. Kalau Saiful tidak rela, tentu banyak kesan pergaduhan dengan Anwar ketika kejadian itu berlaku.

Yang penting nanti ialah kenyataan alibi Anwar yang membuktikan bahawa beliau tidak berada di kondo pada masa itu. Kali ini isu kesahihan CCTV akan dibicarakan dengan terlalu teknikal sekali.

Ya, fokus Anwar sekarang ialah di Permatang Pauh dan mempastikan 43 MP BN melangkah ke Pakatan Rakyat.

Mari kita saksikan detik-detik bersejarah ini.

Wednesday, August 6, 2008

KES MEMALI DI MAHKAMAH TELAH DITUTUP

Baru sebentar tadi tertembung dengan Pegawai Arkib Pejabat Pas Pusat. Katanya kes Memali telah pun diselesaikan di luar mahkamah beberapa tahun yang lalu. Kerajaan Malaysia sedia membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa Memali dan jumlahnya dirahsiakan. Sungguh aku tak perasan berita ini jika ada dilapurkan oleh akhbar dahulu. Atau aku memang dah jadi pelupa. Harap-harapnya tidak begitu.

MADINAH MODEN

Aku masih teringat satu intipati tulisan Almarhum Dr Kallim Siiddique berkaitan komennya dengan Revolusi Islam Iran. Ia pernah diterjemahkan dan diterbitkan di dalam akhbar Harakah lebih sedekad yang lalu. Malangnya buku dan artikel itu sudah kehilangan dari simpananku. Ralat sungguh kerana tidak dapat dijadikan bacaan ulangkaji ketika Pas kini ada 3 MBnya di Malaysia. Ralat sungguh!

Ada dua intipati penting dalam tulisan Almarhum Dr Kallim Siddique tersebut. Pertama ialah keperluan pemimpin islam menjadi pemimpin yang muttaqin. Muttaqin merupakan pra syarat kejayaan sesuatu kepimpinan. Sifat, ciri dan perwatakan seorang muttaqin sentiasa dibicarakan dan diterangkan di dalam alquran. Ia berkaitan sekali dengan sifat keadilan, pemurah, menepati janji dan benteng segala penyelewengan diri. Ia asas kepada seseorang untuk memimpin dan merubah dunia. Memang hebat kupasan itu bila dikaitkan dengan politik kepimpinan moden masa kini.

Kedua, menurut Almarhum Dr Kallim Siddique ialah betapa pentingnya kita berusaha menjadikan menjadikan wilayah atau negeri/negara yang kita perintah sebagai sebuah model negara Madinah sepertimana yang Rasulullah bina dahulu. Segala sifat dan kebaikan negara Madinah hendaklah diekspot ke seluruh dunia; paling tidak pun keseluruh Malaysia. Jika tidak, wilayah atau negeri yang kita kuasai ini, tidak membawa hasrat sepertimana yang Rasulullah membina Madinah dahulu. Jika negeri yang kita tadbir ini sekadar seperti pemerintahan biasa, itu bukan tujuan kita menawan negeri-negeri berkenaan.

Itulah kehebatan Rasulullah, menjadikan Madinah sebagai pusat peradaban, pusat pentadbiran, pusat pembinaan akhlak dan ilmu serta model keadilan untuk diekspot keseluruh dunia. Dengan asas ini, Saidina Abu Bakar(r.a) dan Saidina Umar (r.a) dengan mudah dan pantas menguasai dua pertiga dunia. Tidak mungkin, dengan kekuatan senjata Islam menakluki dunia. Tentunya melalui ketakwaan dan keadilan pemimpinnya.

Ya, aku merindukan Madinah moden. Apakah Pas kearah itu? Harap-harap balak, jet, banglo besar tidak menghambat pemimpin Pas ke arah cita-cita itu.

Bacaan tambahan klik di sini.

Tuesday, August 5, 2008

PERPADUAN MELAYU SHEIKH

Minat aku dalam politik bermula ketika di Tingkatan 2 (1973). Sejak hari itu perkataan "demi Melayu" sentiasa dijual dan dijaja oleh Umno/BN. Itulah modal utama Umno bila berkempen dalam pilihan raya.

Apabila menjejak kaki di Universiti, geng mahasiswa pro Umno pun mengggunakan isu ini. Syoknya, kawan-kawan yang pro GPMS itu mengatakan kepada aku " demi Melayu, sheikh".

Ketika bertugas sebagai pegawai kerajaan pada 1983-1993, BTN juga menggunaka guna isu Melayu untuk memujuk kakitangan kerajaan untuk menyokong UMNO/BN. Semuanya itu meluatkan aku.

UMNO/BN terus selamat mendapat dokongan majoriti Melayu atas nama demi "kepentingan Melayu". Walaupun isu rasuah, pembaziran, ketidakadilan, penindasan setinggan, skandal BMF, kerugian Bank Bumiputra dan Sime Bank, kegagalan penswastaan MAS dan Perwaja , pembunuhan Memali dan Mustakizah, kehancuran Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara, kepincangan sistem kehakiman dan kezaliman ISA dan OSA; ianya tidak menjejaskan Umno/BN sehinggalah tsunami PRU 12 yang lalu.

Dengan mengunakan perkataan "demi Melayu" , orang Melayu terus dipengaruhi menyokong dan mengundi UMNO/BN. Top-top PAS pula termakan isu Melayu. Ia bersedia bermuzakarah dengan Umno. Muzakarah ini lebih dilihat sebagai langkah mula untuk bekerjasama dengan Umno/BN ! "Tak ko poning kepalo dibueknya", komen kawanku Amran di Gemencheh.

Monday, August 4, 2008

PEMIMPIN ISLAM SEDEKAH HABIS-HABISAN

Menyingkap sejarah silam, pemimpin Islam menghabiskan hartanya untuk ummah. Rasulullah bersedekah sehingga tiada lagi barang makanan di rumahnya. Saidina Abu Bakar(r.a) dan Umar (r.a) menghabiskan hartanya untuk jihad di jalan Allah serta bersedekah kepada fakir miskin.

Amalan wakaf dan sedekah berjaya memperkukuhkan institusi pendidikan Islam seperti Universiti Al Azhar sehingga kini.

Selain strategi pembangunan yang dibuat oleh sesebuah kerajaan, PR khususnya yang ditadbir oleh PAS wajar memulakan tradisi wakaf dan sedekah untuk membangunkan pusat-pusat pendidikan milik ummah.

Teringat saya akan tulisan wartawan Harakah Utara yang mengatakan MB Kedah ketika itu, Syed Razak, mendapat elaun lebih RM 60 ribu sebulan. Pada pandangan Pas Kedah, elaun itu terlalu berlebihan. Sekarang bagaimana? Jika terlalu berlebih, eloklah disedekahkan kepada pelbagai institusi Islam di Kedah.

Sunday, August 3, 2008

PAS LUPAKAN MEMALI

Semalam, 2 Ogos, saya turut hadir di program SENI TANPA BICARA anjuran GMI di Medan Selera, Taman Melawati, Kuala Lumpur. Ada tayangan slide, bacaan sajak, persembahan teater dan dan nyanyian solo. Bagi mereka yang masih ada kehalusan hati, memang menikam kalbu dibuatnya.

Yang saya rasa sebak sekali ialah apabila Rahmat Harun membaca sajak khas berkaitan Memali, Ibrahim Libya dan rakan-rakanya; yang menjadi korban penentangan kepada ISA. Sempat beliau memohon kita membaca doa untuk roh mereka.

Peristiwa Memali berlaku ketika saya bertugas di Kedah pada 1985. Anak tunggal saya Fatimah Az Zahra, ketika itu baru sahaja berumur 10 bulan. Saya beserta rakan-rakan dari Jitra terus ke Memali sejurus peristiwa itu terjadi. Antara rakan yang pergi bersama dan telah pun meninggal dunia ialah Dr Azizan Ismail, perumus Examo dan Pak Harun Mamak. Ramai mangsa korban Memali yang saya kenal secara peribadi. Tu yang rasa sebak sangat.

Dan yang paling sebak sekali ialah apabila Pas semacam melupakan peristiwa Memali kini. Semasa Abu Bakar Chik dan Mohamad Sabu menjadi pimpinan Dewan Pemuda Pas Pusat(DPPP), program sambutan ulang tahun peristiwa Memali dibuat setiap tahun, Kini semacam dilupakan. Penyajak berambut panjang macam Rahmat Harun pun sentiasa ingat Ibrahim Libya tetapi Pas pula yang melupakannya. Oh Pas, sibuk dengan politik kuasakah, sehingga melupakan pejuang penentang ISA. Bak kata Ibrahim Libya, biar daku ditembak, namun menyerah kepada undang-undang zalim ISA tidak sesekali. Sejarah mencatat ada jua induvidu yang tidak tunduk menyerah kepada ISA.

Antara tokoh yang terlibat dengan Memali ialah Yusof Husin, kini menjadi Ahli Dewan Negara.

Oh Pas, lupakah akan dikau kepada Memali.

Saturday, August 2, 2008

PANASKAH MUKTAMAR PAS

Muktamar Pas akan berlangsung 15hb Ogos di Ipoh. Isu apakah yang akan panas agaknya. Walaupun Pas menjadi MB di 3 negeri, satu pencapaian terbaik dalam sejarah perjuangan politik Pas, belum tentu muktmar akan menjadi medan puja memuja kepada kepimpinan Pas.

Dua isu dijangka mehangatkan muktamar kali ini. Pertama, agenda perjuangan Islam di dalam kerajaan negeri yang nampak perlahan akibat terlalu berhati-hati atau menghormati rakan kongsi PR. Kedua, isu muqabalah dalam gelap, yang lebih dilihat sebagai usaha nak bersama Umno dalam pemerintahan.

Perwakilan boleh memberi pandangan terbuka atau teguran pedas. Pimpinan tentu sekali bijak manangkis. Yang penting hujjah jangan difalasikan. Nas jangan disalah gunakan. Nas wajib diletak kepada kontek yang betul. Ahli bawahan pun tahu mana hujjah yang tepat atau sekadar jawaban semasa muktamar sahaja.

Yang kita harapkan muktamar akan mempastikan hala tuju perjuangan Pas di landasan yang betul

SELAMAT BERMUKTAMAR

Friday, August 1, 2008

JOM KE PERMATANG PAUH

Inilah agenda sebenar selepas PRU 12 yang kita nanti-nantikan. Bukan muzakarah. Bukan dakwaan liwat. Bukan debat minyak. Bukan Pak Lah letak jawatan. Bukan Najib didakwa. Bukan Razak Baginda digantung. Bukan demo Protes. Bukan bukan bukan.

Dalam kempen Azizah dahulu pun, dia berjanji bahawa Anwar akan menggantikan tempatnya ini. Rakyat mengundi PR pada PRU 12, adalah antara lain dengan dengan mengharapkan Anwar menjadi PM. Anwar lebih bijak dan tangkas dari Pak Lah 1000 kali. Lebih dilihat bersih dari Najib sejuta kali. Anwar boleh membawa masuk pelaburan berbilion dari negara Arab. Anwar boleh berdailog dan berhujjah dengan barat. Fasal itulah Mahathir cemburu dengan Anwar. Para sasterawan pun merindui pimpinan negara yang bisa bersajak dan prihatin dengan bahasa serta budaya Melayu. Dunia pun menanti Anwar jadi PM. Pas sejak 1999, ketika Anwar dalam penjara pun bersetuju Anwar menjadi PM. Inilah agenda rakyat reformis sejak 1998.

Jika Anwar menang dan sekaligus berjaya menarik 43 MP BN, kerajaan baru akan terbentuk dalam tempoh 60 hari. Inilah yang saat kita nantikan. Harga minyak turun 50 sen. ISA dan OSA dihapuskan. Tol dikaji semula. IPP dirombak. Geran pembangunan untuk Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Kedah dan Selangor diberi segera tanpa sekatan birokrasi. Dana untuk rakyat miskin akan ditambah dan diperhebatkan.

Jika Anwar gagal buat semua dalam tempoh 6 bulan, rakyat Malaysia tidak akan percaya dengan POLITIK PEMBANGKANG LAGI. Aku pun nak cari gua untuk bertapa.

Bacaan tambahan klik di sini