Monday, September 30, 2013

NAIB PRESIDEN PAS: CALON PILIHAN ANDA?

Pertandingan jawatan Naib Presiden Pas amat menarik pada muktamar kali ini.

Antara calonnya ialah 3 penyandang sedia ada iaitu Salehudin Ayub, Husham Musa, Mahfuz Omar  yang akan dicabar oleh Nik Ammar dan Idris  Ahmad.   Tuan Ibrahim lebih dilihat akan bertanding jawatan  Timbalan Presiden Pas.  Calon lain jika ada dilihat tidak memberi cabaran hebat. 

Kali ini Husham tidak berstatus Exco Kerajaan dan Salehudin tidak berstatus YB. Tetapi Idris Ahmad sudah berstatus YB.  Kempen  kumpulan ulamak yang mahu jawatan Naib Presiden  diisi dari kalangan ulamak, sedikit sebanyak akan mempengaruhi perwakilan  rasanya.  

Apakah selera perwakilan?

Anda boleh mengundi 3 calon Naib Presiden yang anda yakini di sebelah kanan blog.






Saturday, September 28, 2013

Kaji balik hubungan Pakatan Rakyat kerja kurang bijak, kata Mat Sabu


Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan tindakan untuk mengkaji balik hubungan dengan parti dalam Pakatan Rakyat sebagai satu tindakan 'kurang bijak'.

"Bagi saya bercerai dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sekarang satu perkara yang tidak baik. Istana yang kita bina sejak sekian lama, tiba-tiba kita nak runtuhkan begitu saja. Ini tindakan paling kurang bijak," katanya.

Mohamad berkata demikian dalam wawancara khas dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.
Beliau mengulas cadangan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib yang mencadangkan PAS mengkaji semula tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan parti dalam Pakatan khasnya dengan PKR.
Cadangan Haron itu kemudiannya dijadikan resolusi dalam Multaqa Ulama Se-Malaysia yang diadakan di Alor Setar baru-baru ini.

Mohamad berkata, PAS sudah bekerja sejak sekian lama untuk mendapatkan undi orang bukan Islam khasnya Cina dan India di negara ini.

Ini kerana, katanya, PAS memerlukan undi mereka bagi membolehkan PAS menang dalam pilihan raya kerana ia berdasarkan undi popular.

"Kita sakit kepala setiap kali pilihan raya untuk menang kerana ia berdasarkan undi popular atau undi orang ramai.

"Jadi, kita akan tolak kawasan pilihan raya yang mempunyai peratusan orang bukan Melayu lebih 20 peratus kerana tahu tidak akan menang," katanya bercerita mengenai bagaimana PAS berjuang untuk mendapatkan undi mereka sebelum ini.

Katanya, sejak 2008, suasana itu sudah berubah iaitu orang Cina dan India sudah tidak takut menyokong PAS hasil kerjasama PAS dengan parti dalam Pakatan Rakyat dan pendekatan lain yang dibuat oleh PAS.
"Bagi saya ini satu rahmat. Kita sudah exhausted (keletihan) untuk mendapatkan sokongan mereka sebelum ini. Tiba-tiba kita dapat," katanya.

Beliau berkata, pelbagai usaha cuba dibuat oleh MCA dan Umno sendiri untuk menjauhkan semula orang Cina dan India dari PAS tetapi tidak berjaya selepas 2008.
"Masa pilihan raya 1999 lalu, MCA letakkan serban di atas kepala Karpal Singh dan Lim Kit Siang, mereka kalah di Pulau Pinang.

"Tetapi menjelang pilihan raya umum ke 13 baru-baru ini, MCA kempen menggunakan Hudud, kononnya sokong DAP bermakna sokong PAS bermakna sokong hudud, tetapi orang Cina tetap tolak mereka.
"Bagi saya ini satu perubahan minda yang sangat mahal, ini satu anugerah Allah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengaku, sokongan Melayu  berkurangan dalam pilihan raya umum lalu tetapi itu bukan kerana kerjasama dengan Pakatan Rakyat.

"Kita diperangkap isu perkauman oleh BN. Kalau Pakatan menang, DAP akan perintah, Cina akan kuasai negara ini yang dimainkan oleh BTN (Biro Tata negara), Jabatan Penerangan, media BN dan sebagainya.
"Itu yang kita kena perbetulkan.

"Menjadi tugas PAS tiga hingga empat tahun ini untuk memberikan tumpuan kepada orang Melayu bagi memberikan keyakinan kepada mereka bahawa mereka tidak akan terjejas bahkan akan terlebih baik di bawah Pakatan Rakyat," katanya.

Mohamad berkata, Tun Dr Mahathir sendiri mengakui bahawa BN ini bukan hebat tetapi menang kerana berjaya memerangkap rakyat dengan isu ini.
Oleh itu, katanya, ulama dan bukan ulama kena bekerja keras ke arah itu bukannya bercerai dengan parti dalam Pakatan.

Katanya, negeri yang paling berpotensi dalam pilihan raya umum ke-14 nanti ialah Johor.
"Selama ini Johor adalah kubu BN. Umno sangat nervous sekarang apabila Cina dan India tidak takut lagi kepada PAS.

"Usaha yang dibuat pakar strategi mereka sekarang adalah bagaimana nak buat supaya Cina dan India takut kepada PAS semula.

"Kenapa kita pula hendak masuk perangkap Umno," katanya. – 28 September, 2013.

Wednesday, September 25, 2013

Mat Sabu tidak gentar kerusinya jadi rebutan

 Sumber: MI

Mohamad Sabu tidak peduli dengan apa yang dirancangkan pihak lain yang mahu merampas kerusinya sebagai Timbalan Presiden PAS dan hanya akan menumpukan kepada apa yang beliau mahu buat jika terpilih semula dan ini termasuk menguatkan lagi Pakatan Rakyat (PR).

"Masing-masing ada rancang strategi, saya serah kepada ahli muktamar untuk tentukan. Saya akan teruskan dengan idea saya untuk parti iaitu fokus kepada etika dan integriti," kata Mohamad dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan ulama dalam parti Islam itu yang mahu menaikkan "orang mereka" sebagai timbalan presiden dalam Muktamar PAS ke-59, November ini.
Ia tertera dalam resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan Dewan Ulama PAS di Alor Setar baru-baru ini. 

Antara strategi ulama ialah memastikan hanya seorang sahaja calon mereka bertanding untuk jawatan timbalan presiden kali ini bagi mengelak berulangnya kekalahan pada muktamar ke-57 yang lalu.
Pada muktamar 2011, dua calon ulama iaitu Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tewas di tangan Mohamad bagi kerusi timbalan presiden.

"Saya akan terus dengan idea saya untuk berjuang  atas dasar demokrasi termasuk memobilisasikan rakyat," katanya yang dikenali dengan panggilan Mat Sabu.

Meluahkan pendapat, beliau berkata, sistem pilihan raya di negara ini belum berjalan dengan sempurna dan masih memerlukan penambahbaikan.

"Jika diberikan mandat lagi, saya akan fokus kepada isu integriti dan etika. Ini kerana saya lihat etika kita di kalangan orang Asia ini rendah khasnya dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Katanya, beliau akan terus membantu presiden PAS dalam memperkuatkan konsep demokrasi dan "perjuangan dengan tangan kosong tanpa senjata."

Malah, beliau menolak sama sekali perjuangan dengan senjata kerana ia terbukti gagal sebagaimana berlaku di negara timur tengah."Saya berkeyakinan, perjuangan bersenjata hanya untuk melawan musuh dari negara luar sahaja bukan untuk menukar kerajaan," katanya. 

Beliau berkata, hasil kerja PAS dan rakan-rakan NGO selama ini berjaya mencapai beberapa perkara penting dalam negara ini."Kita dapat Akta Perhimpunan Aman dan kita juga dapat ubah sedikit Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya. 

Mohamad berkata, beliau berbangga dengan kehadiran Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi dalam PAS. "Mereka akan memastikan apa yang kita buat sentiasa berada di jalan yang betul. Jika kita lari, mereka akan tegur," katanya. - 25 September, 2013.


Monday, September 23, 2013

HUSHAM VS TUAN IBRAHIM?

Tinjauan umum menunjukkan  calon pilihan ramai untuk jawatan  Timbalan Presiden Pas ialah  antara Husham Musa dan Tuan Ibrahim

Nik Ammar tidak dilihat orang  sebagai aktivis parti di peringkat nasional.

Mohamad Sabu,  dilihat sudah melalui zamannya. Ha ha.


Apakah Mohamad Sabu sedia memberi laluan mudah kepada Husham Musa dan Tuan Ibrahim.  Katanya Mohamad Sabu rela mati digelanggang. Jika Husham sanggup memberi laluan kepada Mohamad Sabu pada 2011,  apakah Mohamad Sabu sedia  berkorban  dengan  memberi laluan kepada Husham Musa pula  pada persaingan kali ini. 

Jika persaingan 2 penjuru antara Mohamad Sabu dengan Tuan Ibrahim,  Tuan Ibrahim dijangka menang dengan mudah.  

Jika persaingan 2 penjuru antara Husham Musa dan Tuan Ibrahim, sukar diramalkan siapa yang menang.

Golongan ulama dan profesional dijangka akan meletak seorang calon sahaja dari kumpulan mereka.

Moga Mujahid Yusof Rawa, tak kacau  daun dalam persaingan ini. Anda cukuplah dengan AJK Pas  Pusat sahaja. Wooooo

Siapa pilihan anda, sila buat undian disebelah  kanan blog

Saturday, September 21, 2013

YANG LAYAK DAN MERIT PILIHAN KITA

Ulamak, perkataan yang digemari dalam Pas.

Kita mahu ulamak. Tetapi ulamak yang rajin, cerdik dan berani selain faktor asasi - berilmu dan bertakwa.

Ada yang tak pernah atau jarang mengisi program ceramah umum anjuran Pas dan program rakyat membantah penyelewengan BN. 

Ada yang baru nak aktif dalam Pas, perlembagaan Pas pun masih tak reti.

Bak kata Dr Mujahid, kita mahu yang layak lagi merit....bukan sekadar bernama ulamak sahaja.




Thursday, September 19, 2013

NASHARUDIN TANTAWI TEWAS

Ketua Pemuda Pas, Nasharudin Tantawi  tewas dalam pemilihan jawatan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Indera Mahkota, Pahang beberapa hari lalu.  

Suhaimi Saad berjaya mengalahkan Tantawi dengan undi sebanyak 140 undi berbanding 40 undi  yang diraih oleh Tantawi.


Thursday, September 12, 2013

SULOHLAH DIRI WAHAI CALON YANG NAK BERTANDING

Rupa-rupanya golongan agama atau golongan Ustaz dalam Pas begitu menderita perasaannya apabila Hj Mohamad Sabu menjadi Timbalan Presiden Pas dan Husham Musa, Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub menjadi Naib Presiden Pas sejak 2011 lalu.

Mereka diatas menang pertandingan jawatan dalam parti kerana mereka dilihat istiqamah dan bekerja keras memajukan Pas sejak zaman muda lagi. Bukan sehari dua berjuang dalam Pas.  Keempat-empat nama diatas lebih terserlah sumbangannya  di dalam Pas sejak zaman muda lagi, tanpa menunggu umur pencen  untuk aktif  macam beberapa Ustaz dalam Pas. Ha ha.

Perwakilan memilih pemegang jawatan dalam parti bukan kerana brand profesional atau ulama  tetapi  kerana sumbangan mereka yang berterusan dalam Pas. Ada juga profesional yang malas dan ada juga ulama yang bodoh, maka ianya tidak menjadi pilihan  para perwakilan Pas.

Bagi sesiapa yang nak menawarkan diri untuk bertanding, eloklah  menyuluh diri sendiri. Jika anda bersifat "lokal", malas, tak pro aktif, janganlah cuba-cuba memegang jawatan tinggi dalam Pas.  Kok merugikan dan melemahkan Pas nanti.

Saya lebih percaya dengan Mazlan Aliman yang rajin membuat program dari Taib Azamudin yang tidur dalam parlimen dan tidak buat apa-apa apabila memegang jawatan Lujnah Pendidikan satu masa lalu.

Kepada Nik Ammar, sahabat lama saya di UKM, eloklah  menilai diri.....

Tuesday, September 10, 2013

NAKHAEI DULU ULAMAK JUGA

Pemuda Pas Pusat  menyokong  calon ulamak sebagai Timbalan Presiden Pas.  Siapa dia, tak kira asalkan ulamak.  

Moga-moga calon ulama bukan macam Nakhaei Hj Ahmad atau Nasharudin Mat Isa.

Ulama dalam Pas pun bukanlah baik sangat oi.   Janganlah jadi syiah, memaksumkan ulamak dalam Pas.

Woooooo.

Saturday, September 7, 2013

BUKAN ULAMA AKAN DIBUANG DALAM PAS

Dalam Pas pilih pemimpin kerana mereka itu  Ustaz  atau Ulamak. Faktor lain  semacam diabaikan.  Nampak gaya pada muktamar kali ini, ramailah yang bukan Ustaz dan Ulamak bakal ditendang. Ha ha. Bersiap sedialah wahai ......

Moga-moga pemimpin yang dipilih nanti adalah ulamak cerdik  dan rajin bukannya ulamak bodoh dan pemalas....

Thursday, September 5, 2013

MUKTAMAR PAS: MERIAH DENGAN PEMILIHAN

Wah...

Dengar khabar Muktamar Pas kali ini lagi hebat pemilihannya.

Sudah ada nama nama  baru bakal bertanding, disamping nama-nama lama.

Semua  orang terasa layak memegang jawatan.

Tetapi tidak semua orang itu   rajin dan mampu bekerja untuk memajukan parti.

Para perwakilan kenalah bijak membuat analisa kemampuan para calon yang bertanding.  Kekadang para perwakilan yang gagal menilai kebiolehan calon.  Setakat ada title Datok, Ustaz, dan Haji   belum tentu  mampu bekerja untuk  memajukan  parti.