Saturday, March 21, 2009

RESOLUSI KONGRES KEBUDAYAAN KSAAN MELAYU 11

1. MUKADDIMAH

Kongres Kebudayaan Melayu II (KKM II) yang bersidang pada 16-17 Mac 2009, di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur adalah kesinambungan dari KKM I yang bersidang di Melaka pada tahun 1957 dan juga Kongres Kebudayaan Kebangsaan (KKK) yang bersidang di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1970, dengan dihadiri oleh 250 orang peserta terdiri dari pelbagai pertubuhan kebudayaan Melayu dan para peserta perseorangan dari seluruh Malaysia merakamkan asas tindakan serta resolusi-resolusi seperti berikut:

2. ASAS TINDAKAN

Bahawa kami anggota pelbagai pertubuhan kebudayaan Melayu adalah merupakan hati nurani dan juru bicara masyarakat Malaysia yang amat prihatin terhadap keutuhan negara, perpaduan bangsa serta segala pembangunan kemajuannya, berlandaskan seluruh sistem perundangan negara, khususnya Perlembagaan Persekutuan. Kami juga yakin bahawa semua pemikiran dan tindakan berkaitan fenomena kebudayaan di Malaysia mestilah berlandaskan gagasan kesatuan kebudayaan di seluruh Alam Melayu sebagai asas alam yang luas, bersejarah panjang, berperadaban tinggi dan keimanan Islam yang suci dan mulia.

3. RESOLUSI-RESOLUSI:

1. KEBUDAYAAN NASIONAL

a. Kami menjunjung seting-tingginya pelbagai resolusi yang telah dimaktubkan dalam sidang-sidang KKMI dan KKK dan menegaskan kembali pelbagai resolusi itu sebagai wajar dan relevan bagi Malaysia kini. Kami juga, khususnya, menegakkan kembali gagasan ‘kebudayaan Melayu/Bumiputera adalah teras kebudayaan kebangsaan’ dengan erti gagasan ini menjadi landasan serta kerangka bagi semua perkembangan dan pembangunan kebudayaan kebangsaan Malaysia. Maka kami mendesak agar Kementerian dan pelbagai agensi kerajaan sentiasa memastikan pemantauan dan perlaksanaan gagasan ini di sepanjang masa;

b. Kami menegaskan kembali prinsip-prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) seperti berikut:

i. kebudayaan kebangsaan mesti berasaskan kebudayaan pribumi di rantau Alam Melayu,
ii. unsur-unsur kebudayaan lain boleh disesuaikan dengan kebudayaan kebangsaan,
iii. Islam adalah unsur utama dalam kebudayaan kebangsaan;

c. Kebudayaan Melayu/Bumiputera adalah visi dan kerangka budaya yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi landasan pembangunan dan kemajuan kebudayaan Malaysia, maka dengan itu, kami menolak segala gagasan dan tafsiran yang berkait dengan ‘multiculturalism’ sebagai kerangka pemikiran dan pembangunan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebuyaaan bangsa;

d. Kami menganjurkan dan mendesak Kerajaan melaksanakan pembangunan kebudayaan berasaskan nilai-nilai luhur dan mulia kebudayaan Alam Melayu khususnya nilai ‘budi’, ‘adat’ dan ‘adab’ rumpun Melayu dan menubuhkan secara rasmi badan kajian adat bagi melaksanakannya sebaik-baiknya.

e. Kerajaan menubuhkan sebuah yayasan untuk memantau perlaksanaan kebudayaan kebangsaan dan pembangunan segala bentuk dan ciri kebudayaan Melayu/Bumiputera untuk menjadi landasan tamadun bangsa;

11. KENEGARAAN DAN PERLEMBAGAAN

a. Kami menegaskan bahawa Malaysia ialah negara persekutuan terdiri dari Negeri-Negeri Melayu/Bumiputera sebagai kelansungan utuh dari sejarah Negeri-Negeri Melayu/Bumiputera dan pada zaman tadbiran kolonial yang telah diserahkan kembali kepada Raja-Raja dan wakil-wakil rakyat Malaysia pada tarikh kemerdekaan dengan segala persetujuannya termaktub di dalam semua undang-undang perlembagaan negara;
b. Kami menegaskan bahawa pelbagai Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah merujuk kepada keutuhan kenegaraan Melayu sebagai teras mulia dan sakral bagi perundangan itu. Maka dengan itu, kami mendesak dan menuntut semua rakyat menghormati semua peruntukan dalam semua undang-undang perlembagaan itu tanpa tafsiran terpilih-pilih dan serong terhadap setiap peruntukannya;
c. Kami menghormati prinsip ‘pemisahan kuasa’ dalam Perlembagaan negara dan yakin terhadap fungsi pemerintahan adil yang tersirat di dalam prinsip itu, maka dengan itu kami juga menuntut agar Perlembagaan tidak dipinda sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan kemuliaan raja, kepentingan rakyat dan hak istimewa MeJayu/Bumiputera dan serta hak asasi semua rakyat menjadi lemah dan remeh;
d. Keseimbangan kuasa antara kedaulatan serta kemuliaan raja dan rakyat mestilah sentiasa terpelihara melalui adat-istiadat atau konvensi kenegaraan dan pemerintahan demokrasi yang adiJ dan penuh tanggung-jawab dan beradab; kedua-dua pihak ini adalah pengimbang wajar terhadap kemutlakan kuasa masing-masing demi kewujudan seJuruh bangsa;

111. SISTEM POLITIK

a. Kami mendukung sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi, dan kedua bahagian itu menjadi bahagian sempurna dan utuh bagi kerajaan Malaysia. Demikian juga, institusi Raja dan Majlis Raja-Raja adalah menjadi bahagian utuh dari sistem pemerintahan Malaysia, maka segala kemuliaan dan kuasa yang termaktub sebagai ‘pemerintah tertinggi’ mestilah dipelihara dan dijunjung tinggi oleh semua pihak;
b. Sistem demokrasi menuntut semua rakyat melaksanakan kuasa mereka dengan penuh tatasusila, obligasi dan tanggung-jawab terhadap seluruh peruntukan perundangan demi keamanan, kesejahteraan dan kebajikan bersama, maka kami menuntut segala bentuk peruntukan perundangan yang meremehkan dan menjatuhkan kemuliaan raja sebagai puncak pemerintah negara dan negeri-negeri mestilah dipinda dan ditarik balik;
c. Keluhuran Perlembagaan dan dasar-dasar utama Negara yakni dasar pendidikan, dasar kebudayaan, Rukunegara dan dasar bahasa kebangsaaan dikembalikan sebagai asas tindakan semasa terutama DEB untuk mencapai kesimbangan ekonomi antara kaum;
d. Kepimpinan Negara sejak Dato Onn Jaafar sehingga ke zaman kini sentiasa meneguhkan tiga prinsip teras Negara: agama, bangsa dan Negara. Maka kami mendesak supaya prinsip ini kekal menjadi teras perjuangan dan kepemimpinan Negara selamanya.

1V. SISTEM EKONOMI

Sistem ekonomi mestilah memancarkan pengagihan saksama terhadap kekayaan negara tanpa sebarang kaum atau kelompok mendominasi pemilikan kekayaan dan peluang guna tenaga dengan menyusun semula struktur dan asasi ekonomi kolonial yang berterusan di Malaysia demi kedaulatan Negara, maka kami menuntut peruntukan hak-hak istimewa Melayu/Bumiputera terutama berkaitan Perkara 153 dan tanah rezab Melayu sentiasa dilaksanakan sepenuhnya sambil menghargai hak sah semua kaum, maka kami mendesak supaya kajian hasil dan natijah DEB dilakukan untuk memenuhi keperluan keseimbangan ekonomi Bumiputera;

V. PENDIDIKAN

a. Sistem pendidikan mestilah berfungsi sebagai wahana membina keutuhan negara, perpaduan bangsa, jatidiri bangsa, keilmuan dalam semua lapisan masyarakat, minda dinamis serta progreasif, sikap dan nilai patriotik serta nasionalistik dan kemajuan negara di mata dunia;
b. Kerajaan mesti melaksanakan dan mencapai kesakasamaan pendidikan berkualiti melalui perantaraan bahasa kebangsaan tunggal, kemudahan menyeluruh di semua wilayah, meritokrasi yang terpilih dari semua golongan dan penyampaian khidmat yang penuh azam serta dedikasi oleh semua pihak;
c. Kami mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah .hingga universioti demi perpaduan bangsa, keutuhan negara dan kemajuan seluruh lapisan masyarakat; perlaksanaan dasar pengajaran selain bahasa kebangsaan akan melemahkan maruah bangsa, menjatuhkan mertabat negara dan menanam perpecahan antara kaum dan lapisan masyarakat; segala tindakan berkaitan bahasa kebangsaan mestilah selaras peruntukan semua perundangan negara;
d. Pendidikan bahasa kebangsaan mesti diwajibkan kepada semua warganegara sehingga ke tahap fasih, sambil menggalakkan mereka memperolehi kemahiran bahasa kedua dan pelbagai bidang ilmu; semua anggota tadbiran kerajaan dan masyarakat awam terutama anggota dalam perkhidmatan dan pembuatan undang-undang mesti diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan fasih demi pencapaian keadilan dalam masyarakat;
e. Kerajaan mesti melaksanakan pendidikan seni serta nilai-nilai kebudayaan kebangsaan dan sejarah serta peradaban bangsa sebagai landasan untuk mencapai kekuatan pribadi, keutuhan jatidiri serta ketaat-setiaan terhadap negara dan bangsa;
f. Kerajaan mesti meneliti kembali kurikulum pelajaran kebangsaan untuk meneguhkan pendidikan semasa dan antarabangsa serta jatidiri melalui peneguhan pendidikan sastera, budaya dan bahasa.

V1. BAHASA, KESUSASTERAAN DAN KESENIAN

a. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang mesti diperoleh dengan sebaiknya oleh semua lapisan masyarakat demi keutuhan dan dan kesatuan bangsa dan negara;
b. Bahasa Kebangsaan telah membuktikan keupayaannya untuk menjadi perantaraan pendidikan dan pencapaian segala bidang keilmuan serta kemahiran setingginya, bagi semua lapisan masyarakat;.
c. Permerolehan bahasa-bahasa lain adalah kemahiran tambahan yang wajar bagi meningkatkan keupayaan bangsa, mendalami sumber keilmuan dan meluaskan hubungan di serata dunia antarabangsa;
d. Dasar bahasa dalam pendidikan mestilah dikembalikan kepada dasar yang berkuat-kuasa sebelum 2003 sebagai bahasa pengantar di seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah kepada tahap universiti;
e. Kesusasteraan adalah wahana kemanusiaan yang berbudi tinggi demi pembinaan bangsa yang beradab dan berhemah tinggi serta berjiwa besar oleh itu mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mestilah dijadikan mata pelajaran teras dan wajib dalam semua lapisan pendidikan Negara.
f. Kesenian adalah pengucapan dan daya cipta mulia dan tinggi bagi setiap individu dan seluruh bangsa demi pemertabatan maruah dan hemah pada tahap antarabangsa, maka pembinaan dan kemajuan seni mestilah selaras dengan landasan kebudayaan kebangsaan serta dari kekayaan sumbernya di seluruh Alam Melayu dan warisan kemanusiaan global

V11. MEDIA

a. Semua bentuk dan pemilikan media mesti memainkan peranan utama sebagai wahana peneguhan teras nasional, kesadaran nasional, keutuhan bangsa dan negara serta kepentingan dan perpaduan nasional dan juga pemikiran bangsa;
b. Media mesti berperanan sebagai saluran dan wahana maklumat, pendidikan serta hiburan yang terkawal tanpa terlalu terlibat dengan budaya hedonisme, kekerasan dan takberakhlak. Media juga menjadi saluran paling berkesan antara kelompok-kelomppok masyarakat, seluruh negara, serantau dan antarabangsa maka ia menjadi wahana pengembling perpaduan serta kesatuan bangsa. Maka kami mendesak penyelarasan media mesti dilakukan untuk mencapai kesejahteraan dan perpaduan bangsa;
c. Filem adalah media amat berkesan dalam menyampaikan pelbagai gagasan dan tindakan terutama berkaitan kebudayaan, maka kami mendesak supaya filem digunakan sepenuh untuk meneguhkan jatidiri bangsa dan menyaring keselamatan bangsa dan Negara;

V111. ISLAM

a. Kami berpegang teguh kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai piagam yang telah termaktub tentang peranan dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan segala implikasinya mengatasi semua sistem agama dan kepercayaan yang lain dalam negara; maka peruntukan itu menuntut semua rakyat Malaysia menghormati kedudukannya, peranannya dan kemuliaanya, di samping menegaskan hak mengamalkan agama dan kepercayaan lain secara aman dan damai;
b. Islam adalah kekuatan kebudayaan Melayu yang menghadapi pelbagai cabaran dari dalam dan luar Negara. Maka kami mendesak supaya kerajaan mengawal segala bentuk pemikiran dan tindakan dengan lebih berkesan untuk memelihara keutuhan Islam dan bangsa Melayu/bumiputera sebagai bangsa ‘definitif dalam Negara;

1X. PERPADUAN BANGSA

Kami mendesak agar perpaduan dan keutuhan bangsa serta kesejahteraan masyarakat menjadi matlamat dan sasaran utama dalam segala bentuk penggubalan dasar, perancangan program dan perlaksanaan projek pembangunan berlandaskan perundangan negara dan Perlembagaan persekutuan sebagai landasan sahih bagi segala penggunaan peruntukan kewangan negara secara penuh integriti dan telus.

X. GLOBALISASI

Kami mendesak agar kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia memandang dan menangani proses globalisasi dengan penuh waspada dan pengertian demi keutuhan bangsa dan negara serta kelangsungan corak hidup bangsa yang wajar, berakhlak dan beradab.

KAMI, PARA PESERTA KONGRES KEBUDAYAAN MELAYU II YANG BERSIDANG D1 WISMA SEJARAH DENGAN SEGALA RELA HATI MENERIMA SEMUA PERUNTUKAN UTAMA DAN SEMUA PERINCIAN TERHADAP PERUNTUKAN UTAMA RESOLUSI-RESOLUSI INI. KAMI MENYERAHKANNYA KEPADA KERAJAAN SEBAGAI PIAGAM DAN PEGANGAN KAMI DEMI KEUTUHAN NEGARA DAN KESEJAHTERAAN BANGSA MALAYSIA KINI DAN MASA HADAPAN.

KAMI TURUNKAN TANDA TANGAN SEBAGAI PENGESAHAN TERHADAP CITA DAN HARAPAN KAMI SEPERTI TERMAKTUB D1 DALAM RESOLUSI INI:

YBhg Dato’ Narliza Rafli
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

YBhg Dato’ Termuzi Haji Abdul Aziz
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka

YBhg Dato’ Haji Omar Mohd Hashim
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia

YBhg Tan Sri Prof Emeritus Dato’ Dr Ismail Hussein
Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (GAPENA)

Termaktub di Wisma Sejarah Jalan Tun Abdul Razak Kuala Lumpur
Pada 17 Mac 2009
Bersamaan 20 Rabiulawal 1430H

(Kongres ditutup oleh Dato Seri Annuar Zaini, Pengerusi Bernama)

No comments: